Perkahwinan merupakan hubungan yang sah antara lelaki dan wanita. Ia menghubungkan antara dua buah keluarga.  Ia menjadi penyebab kebahagiaan dan bukti rasa cinta. Perkahwinan membuktikan manusia itu normal.

Tanpa perkahwinan, manusia tidak tentu arah. Tidak tahu yang mana halal dan haram. Tidak kenal apa yang disuruh dan apa yang dilarang. Demikian berlaku kepada ramai orang.

Para ulama Fiqh mendefinasikan perkahwinan sebagai : Sebuah perjanjian yang mengandungi kebenaran bersenang lenang antara kedua pasangan – pada perkara yang dibenarkan.[1]

Ini bermakna, sebelum berkahwin lelaki dan wanita yang tiada sebarang hubungan kekeluargaan tidak boleh duduk dibawah satu bumbung. Mereka tidak boleh bersentuhan. Tidak boleh berkata-kata manis yang melampaui had hubungan lelaki dan wanita, dan sebagainya. 

Tetapi, perkahwinan menghalalkan kesemua perkara tersebut. Lelaki boleh membelai isterinya. Wanita boleh memeluk suaminya. Keduanya boleh bersenang lenang dengan hiburan yang mereka inginkan.

Sungguh, perkahwinan itu mendamaikan bagi mereka yang telah merasainya!

Tidak hairanlah Nabi Muhammad pernah berkata pada suatu hari :

Maksudnya: Wahai para pemuda sekelian, siapa yang mempunyai kemampuan di antara kalian, hendaklah dia berkahwin. Perkahwinan dapat menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Bagi siapa yang tidak mampu berkahwin pula, hendaklah dia berpuasa. Kerana puasa dapat menghalang nafsunya.
[Direkod oleh Al-Bukhari: 5066]

Demikian juga, Nabi sangat suka apabila umatnya berkahwin. Perkahwinan menjadikan bilangan umat Islam menjadi banyak. 

Kata Nabi Muhammad: 

Maksudnya: Berkahwinlah dengan wanita yang boleh melahirkan banyak anak. Aku sangat suka apabila umatku menjadi banyak.
[Diriwayatkan oleh Abu Daud da An-Nasaie, Sahih]

Justeru, bagi yang sudah mempunyai kemampuan berkahwin, cepat-cepatlah mendirikan rumahtangga kebahagiaan. Takut kelak menyesal dek lambat menunaikannya. 


Dumyat 2010

Tahun 2010, menyaksikan mahasiswa Universiti Al-Azhar dari negeri Dumyat berkahwin beramai-ramai. Dulunya, mereka hanyalah sekelompok kumpulan pelajar lelaki yang belajar tidak sekelas dengan wanita. Bahkan tidak pernah pula terjumpa wanita melayu di negeri mereka! 

Jika ada wanita melayu yang ingin berkunjung mengutip kerang Dumyat, mereka perlu memaklumkan kepada Pengerusi persatuan terlebih dahulu. Tidak boleh berseorangan, perlu berkumpulan. Ketat peraturannya.

Tragedi Revolusi Mesir 25 Januari 2010 telah menyebabkan sebahagian besar rakyat Malaysia di Mesir dibawa pulang. Ia merupakan suatu tragedi yang membimbangkan sebahagian pihak, dan menggembirakan sebahagian yang lain. Antara mereka yang merasa bahagia dengan tragedi ini adalah pelajar Dumyat. 

Kami dihantar pulang oleh kerajaan Malaysia dari Dumyat ke Iskandariah, kemudian berhenti rehat di Jeddah, Arab Saudi. Hampir seminggu disana, barulah kapal terbang Malaysia Airline (MAS) tiba. Kami adalah kumpulan terakhir yang pulang ke Malaysia. 

Sampai di Malaysia, kami disambut dengan wakil dari Kerajaan Negeri masing-masing. Saya pula menumpang bantuan dari negeri Kedah kerana pelajar Perlis dari Dumyat ketika itu hanyalah seorang.

Hampir empat bulan kami di Malaysia. Masing-masing bimbang dengan peperiksaan yang akan dihadapi pada bulan Mei. 

April, kami dibantu oleh kerajaan negeri masing-masing untuk kembali ke Mesir. 

Tiba di Mesir. Pelik apabila sudah ada WANITA di Dumyat. Rakan-rakan sekelas yang dahulunya dilihat tidak berpotensi kawin awal, kini sedang berjalan berkepit tangan dengan wanita. Eh, suami isteri rupanya!

Saya yang beriya-iya ingin berkahwin pada tahun tiga pengajian pula, masih lagi terkontang kanting. Itu namanya, jodoh dan tuah!

Tiba-tiba, menjadi adat pula di Dumyat, siapa yang sudah berkahwin akan mendapat keputusan peperiksaan yang tidak mengecewakan. Sekurang-kurangnya lulus, tapi banyak  yang mendapat keputusan cemerlang!

Seorang rakan yang telah berkahwin, bila ditanya tentang perkara itu. Dia berkata: “Perkahwinan itu suatu yang menyeronokkan!”

Itulah perkahwinan.  


[1] Ruj. Fiqh Al-Muyassar, Maktabah Salsabil, Kaherah. 2009. M/s: 290