Sejak darjah 3, saya sudah tanam cita-cita mahu jadi doktor. Saya mahu sembuhkan penyakit orang. Tika itu, saya fikir bahawa doktor ini hebat.

Jubah putih, bercermin mata,
Hatinya bersih, gaji serata.

Ketika saya berumur 14 tahun, saya mula mencari jalan untuk ‘menjadi doktor’. Saya rabunkan mata dengan membaca buku dalam kenderaan bergerak. Saya tonton televisyen dengan jarak dekat. Akhirnya, saya berjaya rabun.

Selepas dapat keputusan PMR, saya gembira dengan keputusan 4A. Boleh masuk aliran sains, boleh jadi doktor! Jadi, saya mohon masuk aliran Sains di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor. Alhamdulillah, diterima.

Saya belajar Biologi, Kimia, Fizik, EST (English For Sains And Technology), Matematik Tambahan dan lain-lain. Saya belajar sungguh-sungguh.

Di sekolah dengan cikgu, di asrama dengan kawan-kawan, dan di rumah dengan buku teks. Saya belajar dan terus belajar.

Saya kumpul buku-buku latihan pelajar lama yang belum habis dijawab, saya buat latihan dengannya.

Dapat keputusan SPM, saya mengeluh. Biologi okey, Kimia okey, EST okey. Tapi Fizik, English dan Matematik Tambahan saya dapat pangkat 7.

Tanpa sebarang panduan, saya rasa dunia doktor itu semakin jauh dan menjauh.

Saya bincang dengan Abang Fauzi. Kemana arah tuju seterusnya?

Beliau mencadangkan Universiti Al-Iman, di Yaman. Bermakna, “Hentikan cita-cita mahu jadi doktor. Jadi ustazlah!”.

Fikir dan fikir, akhirnya saya buat keputusan untuk masuk MATRI di Perlis supaya boleh ambil STAM dengan kos rendah. Saya mahu masuk Universiti Al-Azhar. Mahu jadi Ustaz.

Rupa-rupanya….. di MATRI saya di ajar untuk menjadi DOKTOR! Tetapi doktor yang lebih hebat dari apa yang saya bayangkan.

Doktor yang memberi nasihat untuk menjauhi punca-punca penyakit. Doktor yang memberi ubat kepada pesakit. Doktor yang merawat pesakit yang hampir putus nyawa!

Lebih hebat lagi, guru-guru MATRI sedarkan saya bahawa, “Sekarang ialah masa untuk beri ubat pada masyarakat!” “Kerja bermula sekarang!”

-----------------

Kini, saya seorang Doktor. Bukan beri ubat untuk penyakit Heart Attack, tetapi Heart Disease. Bukan penyakit gila, tetapi sakit jiwa. Saya pandu pesakit yang katanya sudah tiada harapan hidup, saya katakan, “Allah bersama anda!”

---------------

Sekalipun tidak dapat menjadi doktor di hospital kerajaan Malaysia, saya gembira dapat menjadi Doktor Kerajaan Allah Yang Maha Kuasa.

Arah Allah kepada saya dan rakan-rakan lain, dalam Surah Ali Imran, 104,

Maksudnya,

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebaikan ( mengembangkan Islam ), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) , dan mereka yang bersifat demikian adalah orang-orang yang berjaya.

Syihabudin Ahmad,

Tahun 4, Jabatan Syariah Islamiah,

Universiti Al-Azhar, Mesir.

893786_286768098124781_349673628_o