Ulama zaman ini berbeza pendapat tentang keharusan menyambut Hari Ibu. Pendapat mereka berbeza bukan atas tujuan emosi, tetapi hujah dan ilmu yang mereka ada.


Pendapat 1 :
Tidak harus menyambut Hari Ibu atau hari sambutan yang lain melainkan Hari Raya umat Islam sahaja. Kerana umat Islam dilarang untuk mengkhususkan ibadat yang umum. Memuliakan ibu termasuk dalam ibadah apabila ia dikaitkan dengan Islam.


Menurut pendapat ini, Ibu hendaklah dimuliakan setiap hari, bukan mengkhususkan satu hari sahaja untuk mereka sepertimana yang berlaku kepada orang barat.


Pendapat ini dipegang oleh ramai ulama termasuk Ulama Arab Saudi, As-Syeikh Abdul Aziz bin Baaz.


Pendapat 2 :
Harus menyambut hari ibu dengan syarat tidak meletakkan martabat hari ini seperti Hari Raya yang disambut gilang gemilang. Kerana mengambil prinsip asas dalam agama Islam pada hal komunikasi masyarakat, "Asal bagi segala sesuatu ialah harus selagimana tidak ada dalil yang mengharamkannya."


Menurut pendapat ini, Islam sangat mengutamakan untuk memuliakan ibu di setiap waktu dan keadaan. Hari Ibu juga dapat kembali mengingatkan anak-anak yang kehilangan ibu kepada Ibu mereka. Begitu juga anak-anak yang terpisah kerana hal penceraian, mereka tinggal dengan ibu baru yang tidak mesra bahkan berlaku jahat terhadap mereka. Hari ini dapat menggembirakan hati anak-anak ini.


Pendapat ini dipegang oleh ramai ulama juga termasuk As-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.

Kesimpulan,

Umat Islam digesa untuk tidak berbalah dalam mendepani isu ini. Ambil mana-mana hujah dan berlapang dadalah dengan orang ramai.


Apa yang lebih penting, Tahun ini, Hari Ibu jatuh pada bulan Rejab yang mulia. Kita selayaknya membanyakkan amal kebaikan pada bulan ini. Oleh itu, tambahkan nilai-nilai kebaikan dan penghargaan kepada ibubapa kita kerana ia salah satu dari amalan soleh.
Allah Lebih Mengetahui.


------
Syihabudin Ahmad,
Jabatan syariah Islamiah,
Universiti Al-Azhar, Mesir.