|| Mahu jadi "Good Person" atau "Bad Person"? ||

Dalam surah Al-Zilzalah, ayat 7 dan 8, Allah berkata,

Maksudnya,
 
“Sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”

Dalam 2 ayat ringkas ini, Allah nyatakan bahawa setiap amalan manusia akan dinilai. Baik atau buruk, kecil atau besar.

Apabila kita lihat ayat di atas, kita akan merasa sangat teruja. Begitu hebat alat penimbang Allah. Jika di dunia ini, manusia hanya mampu mencipta penimbang untuk suatu berat sahaja. Tetapi timbangan Allah dapat menimbang suatu nilai yang sangat ringan. Biarpun sekecil zarah.

Zarah ialah satu istilah bagi suatu benda yang sangat kecil. Jika kita samakan zarah dengan semut, maka zarah sekecil itu. Jika ada lagi yang lebih kecil dari semut seperti nukleus atau sebagainya, maka zarah sekecil itu.

Setiap amalan manusia akan dinilai. Jika baik, maka baik pula ganjarannya. Jika buruk, buruk pula balasannya.
 
Imam Al-Bukhari dan Muslim pernah merekodkan sebuah hadis tentang seorang wanita pelacur yang layak masuk Syurga hanya kerana dia memberi minum anjing yang sedang dahaga.

Begitu juga Ummul Mukminin Aisyah pernah bercerita,

“Seorang wanita bersama dua orang anak perempuannya telah masuk ke rumahku. Wanita itu minta sesuatu untuk dimakan. Namun, aku tidak ada suatu apa pun ketika itu melainkan sebiji kurma. Aku beri kurma tersebut kepadanya. Wanita itu bahagikan kurma tersebut kepada kedua anaknya, sedangkan dia tidak pula makan. Kemudian wanita itu bangun lalu keluar dari rumahku.

Apabila Nabi Muhammad pulang, lantas aku ceritakan apa yang telah berlaku.

Nabi Muhammad pun berkata,

‘Sesiapa yang memberi sesuatu kepada anak-anak perempuan wanita itu, mereka ini akan menjadi penghalang dia dari api neraka.’”

[Rekod Sahih al-Bukhari: 1418]

Demikianlah amalan yang kita sangkakan sedikit tapi ganjarannya sangat besar di sisi Allah. Begitu juga dengan amalan kejahatan yang sedikit dibimbangi ia menjadi sebab pelakunya dicampak ke Neraka.

Rasulullah pernah bercerita tentang seorang wanita yang masuk ke Neraka disebabkan seekor kucing sahaja. Cerita Rasulullah,

“Seorang wanita masuk Neraka karena seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makan dan tidak membiar kucing itu makan serangga bumi, sehingga ia mati kelaparan.”

[Direkod oleh Al-Bukhari, 6845]

Kesimpulannya, tetapkanlah pendirian kita untuk menjadi baik atau jahat. Jika kebaikan menjadi pilihan, maka lakukanlah amalan orang baik sekalipun sedikit. Jika kejahatan menjadi pilihan, maka bersiap sedialah untuk menjadi sebahagian ahli Neraka – (Semoga Allah melindungi kita darinya).

Para penggemar Facebook, Twitter, dan internet. Ingatlah bahawa setiap status yang dikemaskini akan dinilai di Akhirat nanti. Tulislah sesuatu yang memberi manfaat pahala, bukan membawa bencana dosa.

Masa tidak menanti kita untuk membuat perubahan. Buatlah keputusan itu sekarang.

WallahuAlam.

url