Pengenalan :-

Urusniaga `Arabun ialah pembeli memberi sebahagian dari harga jualan kepada penjual sebelum membuat bayaran penuh. Jika pembeli membatalkan pembelian, wang pendahuluan tadi menjadi milik penjual.

 

Di malaysia, kita kenali dengan istilah “Wang Pendahuluan, atau deposit”

 

Hukum dan penjelasan :-

Para ulama berbeza pendapat pada hukum urusniaga jenis ini.

 

1- Tidak sah dan hendaklah dijauhi.

Pemberi Fatwa : Mereka ialah majoriti ulama yang terdiri dari kalangan Mazhab Hanafi, Maliki, dan Syafiie. Juga Imam Abul Khitab dari Mazhab Hanbali.

Hujah :

(1) Hujah dari perspektif Al-Quran

 

Penjual mengambil harta pembeli dengan cara yang salah apabila dia mengambil wang diposit sedangkan tiada sebarang jualan berlaku. Ini bertepatan dengan cegah Allah dalam surah An-Nisa`, ayat 29.

 

Maksudnya,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu….”

 

(2) Hujah dari perspektif hadis

Rasulullah melarang dari berurusniaga dengan deposit. Larangan ini menunjukkan bahawa urusniaga deposit adalah tidak sah.

 

Datuk kepada Amru bin Syuaib pernah melaporkan bahawa Nabi Muhammad melarang dari melakukan urusniaga `Arabun.

[ Direkod oleh Malik]

 

(3) Hujah dari perspektif akal

Urusniaga `Arabun mengandungi 2 syarat yang tidak sah. Iaitu membuang risiko kerugian bagi pihak penjual, dan memberi keharusan untuk urusniaga tidak disempurnakan.

 

2- Harus

Pemberi fatwa: Mazhab Hambali.

Hujah :

(1) Hujah dari perspektif hadis

 

Zaid bin Aslam pernah bertanya Nabi Muhammad tentang urusniaga `Arabun. Lalu Nabi membenarkannya.

[Direkod oleh Abdul Razzaq]

 

(2) Hujah dari perspektif aplikasi para sahabat Nabi

 

Direkodkan bahawa Umar Al-Khattab pernah menggunapakai urusniaga jenis ini dan dikatakan semua sahabat Nabi yang hidup ketika itu bersetuju.

 

Gabenor Mekah di zaman Khalifah Umar pernah membeli sebuah penjara dari Safwan Ibn Umayyah dengan harga empat ribu dirham. Beliau memberi syarat bahawa jika Umar meluluskan pembelian itu, kontrak akan dimeterai. Namun jika Umar tidak bersetuju membelinya, Safwan akan diberi empat ratus dirham.

[Direkod dalam Kitab `Ilamul Muwaqiin]

 

(3) Hujah dari perspektif akal

 

Apabila pembeli lambat membuat bayaran, kemungkinan penjual akan mengalami kerugian besar disebabkan wang diperlukan segera. Kemungkinan juga barang yang mahu dijual itu akan rosak disebabkan tempoh masa yang panjang tanpa sebarang urusniaga dihjalankan.

 

Begitu juga, boleh jadi barang yang mahu dijual itu hanya laris pada satu tempoh masa sahaja, tetapi pada masa yang lain tidak.

 

Jadi, ini memberi kemudaratan kepada penjual sedangkan urusniaga dalam Islam sangat berusaha untuk mengelak kemudaratan.

 

Fakta :

(1) Hukum asal dalam urusniaga ialah harus selagimana tiada dalil yang mengharamkannya

(2) Islam menjaga kepentingan peniaga dan pelanggan

(3) Peniaga perlu bersedia tanggung kerugian kerana perniagaan ialah kebijaksanaan.

(4) Hadis yang digunakan oleh kedua-dua kumpulan ulama tersebut adalah lemah dan tidak boleh dijadikan hujah utama dalam hukum.

 

Kesimpulan Semasa :

 

Kesatuan Akademi Fiqh Islam telah bersidang pada 27 Jun 1993 dan mengambil keputusan bahawa urusniaga deposit ini boleh digunakan dengan syarat-syarat berikut,

1- Ditetapkan tempoh untuk bayaran penuh dilakukan.

2- Deposit mestilah sebahagian dari nilai bayaran penuh

3- Barang masih menjadi milik penjual selagi bayaran penuh belum dilunaskan.

 

Isu :

(1) Bayaran pendahuluan secara penuh sebelum program dan wang tersebut tidak dikembalikan sekiranya tidak dapat hadir.Akad seperti gambar di bawah,

 

Untitled

Pandangan saya :

Saya berpandangan, urusniaga ini tidak sah kerana penganjur (selaku penjual) mengambil keuntungan 100% sedangkan pelanggan rugi 100% apabila dia tidak hadir. Sedangkan penganjur mampu memulangkan semula wang kepada pelanggan.

 

Cadangan saya,

Penganjur menggunakan kaedah urusniaga deposit yang dibenarkan Islam. Sekalipun majoriti ulama tidak membenarkannya, tetapi kesatuan ulama semasa telah memberi keluasan kita menggunakan kaedah tersebut.

 

Perkara berikut boleh dijadikan panduan,

 

1- Penganjur minta bayaran deposit sebelum program, dan selebihnya pada hari program.

2- Deposit mestilah sebahagian dari bayaran penuh

3- Penganjur menetapkan harga deposit berdasarkan kos yang perlu dikeluarkan sebelum program.

 

WallahuAlam.

 

______

 

Rujukan :

1- Hukum Bursa Saham dalam Nilaian Fiqh Islam Moden, Dr. Husni Abdul Sami` Ibrahim, Darul Fikr Al-Jamii, Iskandariah, Mesir. 2012.

2- Ensiklopedia Fiqah Islam, Jili d 9, m/s 93-95, Kementerian Waqaf Kuwait.

3- http://ar.islamway.net/fatwa/32527

4- Zaharuddin.net : Hangus Deposit Jika Batal Beli : Ulasan Hukum