Tabiat ilmu membuat orang yang belajar semakin merasa dirinya bodoh. Apabila mendalami satu ilmu, dia akan dapati dia bodoh pada ilmu lain.

Maka, dia merasa dirinya bodoh.

Orang yang sebenarnya bodoh pula, mereka merasa cukup selesa dengan sedikit ilmu.

Bagi mereka, memadailah SPM itu. Cukuplah Diploma ini. Puasnya Ijazah Sarjana Muda. Senang hati dengan Pengiktirafan Master. Hebatlah dengan gelaran Dr. selepas PhD.
◆ Al-Kisah

Satu hari, seorang murid bertanya guru silatnya,

"Wahai Pak Guru, kenapa tali pinggang silat kita hanya ada warna merah? Mengapa tidak ada warna putih, kuning, hijau, dan sebagainya seperti pertubuhan silat lain? Kenapa juga tidak seperti Taek Won Do yang mempunyai peringkat tali pinggang yang terakhir, iaitu 9 Dan?"

Gurunya menjawab,

"Ilmu ini Allah punya. Ia tak akan habis sampai bila-bila. Tali pinggang itu menentukan peringkat ilmu, sedangkan ilmu tidak habis."

Jadi, apabila anda senang dengan dunia akademik, maka bersedialah untuk menjadi orang bodoh.

◆ Orang bodoh?

Mereka tidak akan menjawab membuta tuli. Kerana mereka bodoh. Banyak lagi yang mereka tidak tahu.

Apabila ada hujah ilmiah, mereka akan teliti terlebih dahulu. Kerana mereka bodoh, mereka tak pandai menilai terus tanpa usul periksa.

Mereka tidak senang lenang mengutuk keji masyarakat, kerana masyarakat dan mereka tidak jauh beza.

◆ Wahyu

Asbab itu, saya suka menggelar "Ulama bodoh" kepada si bijak. Dan "Ulama bijak" pada si bodoh.

Orang yang berilmu dan merasa diri mereka bodoh, diangkat darjatnya oleh Allah.

Kata Allah dalam surah Al-Mujadalah, ayat 11,

"Allah mengangkat darjat orang yang beriman dikalangan kamu, dan juga orang yang diberikan ilmu dengan beberapa darjat. Sesungguhnya pengetahuan Allah sangat mendalam terhadap apa yang kamu lakukan."

Orang bodoh dan bongkak kononnya dia berilmu sentiasa dikeji Allah.

Kata Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 13,

"Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)."

Like ▶ www.facebook.com/UstazUSA

WallahuAlam