1.       Realiti zaman ini,

Dalam dunia tanpa sempadan ini, lelaki dan wanita sangat mudah bertemu. Samada bertemu secara berdepan mahupun di alam maya. Bahkan pertemuan ini pula bukan atas sebab-sebab yang mendesak, tetapi sekadar suka-suka. Mereka mula bercinta dan menyampaikan kata-kata rindu tanpa sebarang had dan sekatan. Ia sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat.

Lelaki dan wanita muda sudah terbiasa dengan hubungan. Sesiapa yang belum mempunyai teman lelaki atau wanita dianggap kolot dan tidak mengikut zaman. Seolah-olahnya orang yang tidak mempunyai teman wanita atau lelaki sudah berpenyakit. 

Isu ini juga berkait rapat terhadap ibu bapa yang mempunyai anak dan membiarkan anak mereka bersosial dengan sesuka hati. Sehingga anak mereka dibenarkan untuk mempunyai teman wanita dan teman lelaki. Bahkan ada ibu bapa yang membiayai hubungan tersebut dengan bantuan kad kredit, kredit telefon, dan perkakas elektronik seperti tablet dan telefon.

Lebih menyedihkan apabila ada diantara ibu bapa yang membiarkan anak wanita mereka bersama-sama dengan teman lelakinya di dalam bilik tidur tanpa sebarang pengawasan. 

Isu ini menjadikan umat Islam tidak peka dengan hubungan antara jantina sehingga berleluasa isu zina dan anak zina. Rasulullah saw pernah berkata, 

إِذَا ظَهَرَ الزِّنَا وَالرِّبَا فِي قَرْيَةٍ، فَقَدْ أَحَلُّوا بِأَنْفُسِهِمْ عَذَابَ اللَّهِ

Apabila menjadi jelas masalah zina dan riba dalam satu kawasan, maka mereka telah memohon halalnya azab Allah kepada mereka.
[Direkod oleh al-Hakim, 2261. Sahih]

Kos perkahwinan yang tinggi juga menyebabkan zina berleluasa. Kerana melakukan zina cukup mudah, manakala berkahwin pula cukup susah. 

Rangsangan media dari pelbagai sudut seolah-olah berkempen kepada zina dengan menayangkan wanita-wanita berpakaian seksi dan mengghairahkan. Video lucah dapat disaksikan cukup mudah hanya dengan menekan satu butang komputer sahaja. 

Ibu bapa yang tidak lagi mahu bertanggungjawab mendidik anak sehingga memberikan tanggungjawab itu kepada pembantu rumah atau guru secara sepenuh masa. Menyebabkan anak-anak tidak dapat hidup dalam suasana yang sebetulnya. Sehingga mereka mencari jalan lain untuk berhibur, iaitu dengan memulakan hubungan sosial tanpa sempadan dengan rakan yang dikenali. 

Justeru, umat Islam memerlukan fatwa dan bantuan agama bagi menyelesaikan isu yang semakin merosakkan kehidupan mereka. Apabila ia tidak diselesaikan, maka masyarakat akan hancur, negara akan musnah, dan kehidupan manusia terumbang ambing.


2.      Nikah “Friend” satu penyelesaian, 

Bagi mengelakkan ibu bapa menerima cucu yang dilahirkan di dalam bilik anak perempuannya sedangkan mereka tidak tahu siapakah bapa kepada cucu mereka itu, maka dicadangkan nikah “friend”.

Pernikahan ini menolak hubungan Boyfriend dan Girlfriend. Tetapi ia menjadikan hubungan rapat tanpa sekatan antara lelaki dan wanita itu sah menurut agama.

Nikah Friend ialah satu akad nikah yang berlangsung antara lelaki dan wanita mengikut syarat dan rukun dengan sempurna yang telah ditetapkan agama Islam. Tetapi pihak lelaki tidak diberatkan buat satu tempoh untuk memberikan nafkah fizikal seperti makanan, rumah, dan pakaian. Mereka boleh berjumpa dan melakukan persetubuhan di mana-mana yang mereka suka, sama ada di rumah ibu bapa, mertua, hotel, atau di tempat lain.


3.      Definisi pernikahan dan rukun-rukunnya

Sebelum kita menjelaskan hukum nikah “Friend”, hendaklah kita mengenal dahulu erti akad nikah dan rukun-rukunnya. Apabila rukun-rukun ini tidak disempurnakan maka pernikahan tersebut tidak sah dan terbatal. Jika rukun itu sempurna, maka ia sah dan diterima.

Definisi Akad nikah ([1])
Mazhab Hanafiah
Ø  Satu perjanjian yang mengakibatkan pemilikan seks secara sengaja.
Mazhab Malikiah
Ø  Satu perjanjian bagi menghalalkan hubungan seks dengan wanita yang bukan mahram, majusiah atau hamba kitabiah dengan shighoh/ucapan.
Mazhab Syafi`iyah
Ø  Satu akad yang mengandungi keharusan untuk bersetubuh dengan lafaz nikah (inkah), atau pernikahan(Tazwij), atau terjemah kepadanya.
Mazhab Hanbali
Ø  Satu perjanjian perkahwinan, iaitu perjanjian yang diiktibar padanya lafaz nikah, atau tazwij, atau terjemahan kepadanya.

Rukun nikah ([2])
Mazhab Hanafiah
Ø  Ijab dan Qabul sahaja (Ucapan serah dan terima)
Mazhab Malikiah
Ø  Wali, Bakal Suami dan Isteri, dan Shighah/Ijab dan Qabul
Mazhab Syafi`iyah
Ø  Shighah, bakal suami, bakal isteri, dua orang saksi, dan wali
Mazhab Hanbali
Ø  Bakal suami dan isteri, ijab (ucapan serah), dan qabul (ucapan terima)
Sebahagian Ulama
§  Sebahagian ulama lain menambah mas kahwin dan redha dari bakal isteri.

Setelah kita jelaskan definisi dan rukun nikah, maka kita ketahui bahawa nikah akan menjadi sah dengan adanya rukun-rukun tersebut. 

Peringatan : Tempat tinggal, makanan, dan pakaian tidak termasuk dalam akad nikah dan definisi nikah. Ini kerana ia adalah kesan selepas nikah. Ia tidak wajib ada sebelum dan ketika akad, tetapi ia terjadi selepas akad. Maka, nafkah fizikal itu tidak mencacatkan akad pernikahan sekalipun ia tidak ada ketika waktu akad berlangsung.

4.      Wanita menarik diri dari mendapatkan haknya

Wanita berhak untuk menarik diri dari mendapatkan nafkahnya. Sepertimana suami dibenarkan makan dari nilai mas kahwin yang dihadiahkan oleh isteri. 

Begitu juga keharusannya seperti si isteri menggunakan hartanya untuk membeli barang keperluan rumah tanpa meminta harta suami, sedangkan barang keperluan rumah adalah hak isteri yang perlu dipenuhi oleh suami. 

Dalilnya, surah an-Nisa` ayat 4

       ﮦﮧ                       

Berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin-mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

Tempat tinggal, makanan, dan pakaian merupakan nafkah yang menjadi hak isteri. Isteri boleh menarik diri dari mendapatkan haknya. Tetapi ia adalah atas budi bicara isteri selepas akad, bukan sebelumnya. Justeru, apabila isteri mahukan haknya, maka dia boleh meminta kepada suami tanpa apa-apa syarat.

5.      Nikah “Friend” lebih menyerupai Nikah Misyar 

Nikah Misyar ialah pernikahan yang lengkap dengan syarat dan rukun nikah. Ia juga membicarakan tentang isteri yang menarik diri dari mendapatkan nafkah fizikal. 

Biasanya ia berlaku kepada lelaki yang mahu berkahwin lebih dari satu, manakala bakal isteri keduanya pula adalah seorang wanita kaya yang tidak perlukan harta suaminya. Atau dia seorang janda yang sudah menopause yang tidak lagi memerlukan layanan seks.

6.      Adakah Nikah “Friend” dibenarkan oleh Islam?
Isu nikah Friend ini mula disensasikan setelah Syeikh Abdul Majid az-Zindani ([3]) mengeluarkan kenyataan bahawa nikah Friend dibenarkan dalam islam. 

Antara hujahnya adalah, 
  1. Nikah ini telah sempurna dari sudut rukun dan syarat perjanjian nikah. Nikah ini sah menurut keseluruhan ahli agama.
  2.  Wanita berhak menarik diri dari mendapatkan haknya.
  3. Pernikahan ini mampu menyelesaikan masalah sosial masyarakat yang semakin membimbangkan.

7.      Aplikasi Nikah Friend dalam masyarakat,

Apa yang membezakan antara nikah ini dan nikah biasa? Nikah ini meringankan tanggungjawab suami dan menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita. Jika berlaku persetubuhan dan anak itu lahir, maka nasab keturunannya sangat jelas. 

Majlis pernikahan yang diadakan juga biarlah sekadar kemampuan sahaja. Cukuplah menjemput orang-orang terdekat dan memaklumkan pernikahan. Tidak perlu hantaran yang berlebih-lebihan atau kenduri yang berlebihan kerana inisiatif pernikahan ini diambil kerana mengelak bebanan harta. 

Apabila harta dilebih-lebihkan atas tujuan pernikahan dan hantaran, maka ia telah menjadi satu pembaziran kerana lebih baik harta itu digunakan untuk membeli rumah atau memberi nafkah kepada isteri tanpa perlu nikah Friend.

8.      Adakah Nikah “Friend” sama dengan Nikah Gantung / Nikah Khitbah?

Saya tidak menemui satu definisi nikah gantung / nikah khitbah yang disepakati oleh semua orang. Sebahagian mereka menyamakan nikah khitbah dengan nikah Friend, maka perbahasannya sama seperti nikah friend. Ia harus sepertimana harusnya nikah Friend.

Sebahagian lagi mendefinisikan ia sebagai nikah yang sekadar akad sahaja. Manakala suami dan isteri tidak dibenarkan tinggal bersama dan bersetubuh dalam satu-satu tempoh tertentu. Maka jenis ini tidak menepati perintah syarak kerana ia telah melanggar maksud perkahwinan dan definasinya. 

والله أعلم بالصواب
Rujukan Utama :
  1. القران الكريم
  2. Mausu`ah Fiqhiyah, Jilid 41
  3. http://www.jameataleman.org : زواج الميسر (زواج فريند)
  4. المستدرك على الصحيحين  دار الكتب العلمية - بيروت /

Biodata Penulis : 

Ustaz Syihabudin Ahmad ialah seorang graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam dan Bahasa Arab (Jabatan Syariah Islamiah), Universiti al-Azhar, Mesir. 

Beliau pernah aktif sebagai penulis dan pengkaji dalam Markaz Pengumpulan dan Hasil Penyelidikan (MANHAL) Pertubuhan Melayu Republik Arab Mesir. 

Kini beliau bertugas sebagai Editor Syariah di syarikat Kemilau Publika SDN BHD. Tugas beliau ialah memastikan kebenaran setiap fakta yang disandarkan kepada agama.

Ustaz Syihabudin Ahmad aktif menyampaikan ceramah di surau, masjid, dan tempat-tempat umum atas jemputan. 

Handfon/Whatsupp : 017-3162287


([1]) Ruj. Mausu`ah Fiqhiyah, Jilid. 41, m/s 205
([2]) Ibid. m/s 233
([3]) Pengasas Universiti al-Iman, di Yaman.