Saya tahu Ustaz Ammar Ismail agak kalut dan tidak bersedia ketika menjawab soalan juri. Tetapi saya lihat jawapan beliau menjurus kepada jawapan yang menarik dan padu jika dijawab dengan tenang.


▶ Soalan: Bolehkah ambil rasuah kerana terdesak? Dengan alasan duit makan tak ada, anak sakit kronik dan sebagainya?


▶ Jawapan Ustaz Ammar: Kaedah Fekah menyebutkan, "Ad-Dorurah Tubihul Mahdhurat" (Darurat menghalalkan yang haram) dan perkara darurat mesti diambil berdasarkan kadarnya sahaja.

▶ Komen Ustaz Hariyanto; "Ar-Rasyi ilan Naar" adalah hadis yang menunjukkan bahawa rasuah adalah haram dari semua sudut. Manakala isu seperti anak sakit atau sebagainya tidak menyebabkan ia menjadi darurat disebabkan para ulama menyebutkan bahawa Darurat adalah -alhalak (binasa).

▶Komen saya:

ِAllah berfirman dalam surah al-Baqarah, 173 "... maka sesiapa terpaksa (melakukan perkara haram kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang diambil itu), maka tidaklah ia berdosa..."

◆ Rasuah adalah haram berdasarkan pelbagai dalil sahih sama ada dari sudut nas atau akal. Tetapi ia boleh menjadi halal apabila berlaku darurat. Darurat pula hendaklah diukur dengan sebenar-benarnya. Darurat dari sudut bahasa tidak sama seperti darurat dari sudut agama. Tidak semua isu kecil atau besar boleh dikira sebagai darurat. Inilah yang disebut sebagai "Keanjalan Agama".

Itu yang cuba Ustaz Ammar jelaskan. Mungkin disebabkan isu itu tidak jelas atau dia sememangnya tidak tahu menjawab maka Ustaz Ammar tidak mahu melanjutkan jawapan, buktinya dia berhenti sebelum pengacara menegurnya sedangkan setiap kali persembahan, masanya tidak pernah cukup-cukup. Diam itu lebih baik.

◆ Dari isu ia berlaku darurat atau tidak, sebenarnya Ustaz Ammar harus menfokuskan penjelasan umum berkaitan darurat seperti ciri-ciri khusus darurat. Ustaz Haryanto memberi tambahan yang baik apabila menambah isu Halak.

◆ Antara ciri-ciri darurat ialah :

1) Sekiranya dia meninggalkan yang haram itu, akan rosak atau hancur salah satu atau semua dari kelima-lima perkara yang wajib dipelihara, 1. Agama, 2. Nyawa, 3. Keturunan, 4. Akal, 5. Harta.

2) Kehancuran atau kerosakan itu hendaklah sesuatu yang sudah pasti ataupun sudah menjadi kesinambungan berlaku apabila tidak mengambil perkara haram tersebut.

3) Tidak mampu untuk menangani darurat itu.

◆ Siapa yang perlu memberi keputusan pada soalan ini?

Yang perlu menjawab soalan ini adalah pihak penguasa yang bertanggungjawab menangani kes. Merekalah yang wajib memastikan apakah dakwaan daripada pesalah itu benar? Jika benar dia mengambil rasuah kerana berkait hidup dan mati, maka dia dijatuhkan hukuman setimpal (Ta`dib). Sekiranya dia tidak sampai pada tahap darurat, maka dijatuhkan hukuman yang telah digazetkan.

◆ Seorang guru agama tersohor kelahiran Pulau Pinang pernah mendedahkan bahawa dia terpaksa memberikan rasuah kepada polis Mesir apabila polis-polis itu meminta rasuah. Bukankah ia sesuatu yang haram? Tetapi sila lihat perincian ciri-ciri di atas.

WallahuA`lam.
_____________
Ustaz Syihabudin Ahmad - USA,
Sungai Buloh, Selangor.
17 Oktober 2014.