2518 - حَدَّثَنَا أَبُو مُوسَى الأَنْصَارِيُّ قَالَ: حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ إِدْرِيسَ قَالَ: حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ بُرَيْدِ بْنِ أَبِي مَرْيَمَ، عَنْ أَبِي الحَوْرَاءِ السَّعْدِيِّ، قَالَ: قُلْتُ لِلْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ: مَا حَفِظْتَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: حَفِظْتُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ، فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ، وَإِنَّ الكَذِبَ رِيبَةٌ» وَفِي الحَدِيثِ قِصَّةٌ. وَأَبُو الحَوْرَاءِ السَّعْدِيُّ اسْمُهُ: رَبِيعَةُ بْنُ شَيْبَانَ. وَهَذَا حَدِيثٌ صَحِيحٌ حَدَّثَنَا بُنْدَارٌ قَالَ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ قَالَ: حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ بُرَيْدٍ، فَذَكَرَ نَ            حْوَهُ
Diceritakan kepada kami oleh Abu Musa al-Ansari, dia berkata: diceritakan kepada kami oleh Abdullah bin Idris, dia berkata; diceritakan kepada kami oleh Syu`bah, daripada Buraid bin Abi Maryam, daripada Abi al-Hawra’ as-Sa`ady, dia berkata; Aku bertanya al-Hasan bin Ali: “Apakah yang engkau hafal/simpan daripada Rasulullah SAW? Dia menjawab: “Aku menghafal/menyimpan daripada Rasulullah: Tinggalkan apa yang kamu ragukan kepada apa yang kamu tidak ragu. Sesungguhnya kebenaran membawa ketenangan, dan dusta itu menimbulkan keraguan.  Dalam hadis ini terdapat kisah[1]. Abu al-Hawra’ as-Sa`ady namanya ialah: Rabi`ah bin Syaiban. Hadis ini Sahih. 

[HR Imam at-Tirmizi: 2518, Sunan at-Tirmizi]

PENJELASAN TAJUK:

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah -rahimahullah- berkata, (الزهد ترك ما لا ينفع في الآخرة والورع ترك ما تخاف ضرره في الآخرة) “Zuhud adalah meninggalkan apa yang tidak memberi manfaat di akhirat, sedangkan wara’ adalah meninggalkan apa saja yang dikhawatirkan bahayanya di akhirat.”
Hadis ini menyuruh untuk kita meninggalkan yang syak dan mengambil yang yakin. 

ULASAN:

Al-Munawi[2] menyebutkan: (Tinggalkan apa yang kamu ragukan) ialah tinggalkan apa yang kamu ragui sama ada ianya baik ataupun buruk, halal ataupun haram. (kepada apa yang kamu tidak ragu) ialah tukarkan kepada sesuatu yang tidak kamu ragui, iaitu apa yang hati kamu yakin ia adalah sesuatu yang baik dan halal. (Sesungguhnya kebenaran membawa ketenangan) ialah hati menjadi tenang dan tenteram. (dan dusta itu menimbulkan keraguan.) iaitu hati sentiasa merasa khuatir dan bercelaru. At-Tibbi[3] berkata: Kata-kata ini memudahkan perenggan awal ucapan, maknanya: Apabila kamu dapati diri kamu ragu-ragu dalam sesuatu, maka tinggalkanlah ia. Diri seorang Muslim itu menjadi tenang dengan kebenaran dan merasa ragu-ragu pada pendustaan. Keraguan kamu terhadap sesuatu terbina daripada sangkaan kepada kebatilan, maka berhati-hatilah dengannya. Ketenangan kamu terhadap sesuatu adalah rangsangan kepada hakikatnya, maka berpegang teguhlah padanya” – Rujuk Faidhul Qadir 3/529.

Syeikh Ibnu Uthaimin[4] pula mengulas: Hadis ini salah satu daripada Jawami`il Kalim[5]. Ia sangat berharga dan bermanfaat buat hamba sekiranya menggunakannya. Hamba meninggalkan apa yang diraguinya dalam pelbagai perkara. Kami katakan: Tinggalkan apa yang kamu syak kepada yang tidak kamu syak sehingga diri kamu menjadi selesa dan selamat. Setiap sesuatu yang melekati syak, khuatir, dan ragu-ragu: tinggalkanlah ia kepada sesuatu yang tidak melekati keraguan. Perkara ini sekiranya ia tidak sampai ke tahap was-was, sekiranya sampai ke tahap was-was maka ia ditinggalkan terus. 

PERBEZAAN SYAK & WAS-WAS

Ibnu Hajar al-Makki menyebutkan: Perbezaan antara was-was dan syak ialah syak mempunyai tanda seperti membuang pakaian yang secara adatnya terkena najis, meninggalkan solat dibelakang orang yang bermudah-mudah dalam menanggalkan najis, kerana asalnya ia adalah bersih tetapi ia terdedah kepada kemungkinan besar najis, maka berjaga-jaga dalam perkara ini adalah dituntut. Ia berbeza dengan was-was kerana ia : Menghukum sesuatu bernajis tanpa sebarang tanda dalam keadaan tidak terdedah pada apa-apa pada asalnya, seperti kemahuan membasuh baju baru atau yang dibeli kerana mahu berhati-hati. Ia adalah Bidaah sepertimana yang telah dijelaskan oleh an-Nawawi dalam Syarah al-Muhazzab.  – Al Fatawa al-Fiqhiyah al-Kubra: 1/220.

Banyak syak juga membawa kepada was-was. Ulama menyebutkan: Syak apabila banyak, ia membawa kepada was-was. Antara tanda ia banyak syak adalah: Seorang insan ingin berwuduk tetapi tidak berwuduk kerana merasa syak, seseorang mahu bersolat tetapi tidak solat kerana syak. – Rujuk Ibnu Uthaimin, Syarah Arbain.

CONTOH & PRAKTIKAL

Ibnu Uthaimin melanjutkan penjelasan: (Syak) Ini boleh berlaku dalam urusan ibadat, muamalat, nikah, dan semua bab ilmu. Contohnya dalam ibadat: Seorang lelaki telah terbatal wuduk kemudian dia solat. Kemudian dia berasa syak adakah dia telah berwudhuk setelah terbatal wuduknya atau belum? Maka dia sudah syak. Sekiranya dia berwuduk maka solatnya sah sekiranya dia tidak berwuduk maka solatnya terbatal. Maka dirinya merasa khuatir. Maka kami nasihatkan: Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada sesuatu yang tidak meragukan. Yang dikuatirkan di sini adalah kesahihan solat,dan yang tidak ragu di sini ialah kamu berwuduk dan solat semula. 

Contoh yang berlawanan pula: Seorang berwuduk kemudian dia solat dan syak adakah wuduknya masih ada atau sudah terbatal? Maka nasihat kami: Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada sesuatu yang tidak meragukan.Kamu merasa yakin bahawa telah berwuduk, kemudian kamu syak adakah wuduk itu telah dilanggar dengan hadas atau belum? Apa yang kamu perlu tinggalkan adalah syak, iaitu adakah telah berhadas atau belum. Maka tenangkan diri kamu dan tinggalkan syak.

WallahuA`lam.


_____________
Ustaz Syihabudin Ahmad - USA,
Sungai Buloh, Selangor.
13 Oktober 2014.



[1] Dalam hadis lain, disebutkan kisah ini secara lebih lanjut di dalam Sahih Ibnu Khuzaimah,

َثَنَا بُنْدَارٌ، وَأَبُو مُوسَى قَالَا: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ قَالَ: سَمِعْتُ ابْنَ أَبِي مَرْيَمَ يُحَدِّثُ عَنْ أَبِي الْحَوْرَاءِ قَالَ: قُلْتُ لِلْحَسَنِ: مَا تَذْكُرُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: أَذْكُرُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنِّي أَخَذْتُ تَمْرَةً مِنْ تَمْرِ الصَّدَقَةِ، فَجَعَلْتُهَا فِي فِيَّ فَانْتَزَعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِلُعَابِهَا، فَأَلْقَاهَا فِي التَّمْرِ فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عَلَيْكَ مِنْ هَذِهِ التَّمْرَةِ لِهَذَا الصَّبِيِّ قَالَ: «إِنَّا آلَ مُحَمَّدٍ لَا تَحِلُّ لَنَا الصَّدَقَةُ» وَكَانَ يَقُولُ: «دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكُ؛ فَإِنَّ الْخَيْرَ طُمَأْنِينَةٌ، وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ» ثُمَّ ذَكَرَ الْحَدِيثَ

Diceritakan kepada kami oleh Bundar dan Abu Musa, kedua-dua mereka berkata: Diceritakan kepada kami oleh Muhammad bin Ja`far, diceritakan kepada kami oleh Syu`bah, dia berkata: Aku mendengar Ibnu Abi Maryam menceritakan hadis daripada Abi al-Hawra’, dia berkata: Aku bertanya al-Hasan: Apakah yang kamu ingat daripada Rasulullah SAW? Dia menjawab: Aku ingat sesuatu daripada Rasulullah SAW, aku pernah mengambil buah tamar daripada tamar sedekah, lalu aku letakkan di dalam mulutku, lantas Rasulullah SAW mengeluarkannya berserta air liur. Kemudian dia membuangnya. Dikatakan kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, mengapa kamu melakukan tamar seperti ini pada budak kecil ini? Baginda menjawab: Kami keluarga Muhammad tidak halal bagi kami sedekah. Kemudian baginda berkata: Tinggalkan apa yang kamu ragukan kepada apa yang kamu tidak ragu. Sesungguhnya kebenaran membawa ketenangan, dan dusta itu menimbulkan keraguan.

[HR Ibnu Khuzaimah: 2348, Isnadnya disahihkan oleh al-A`zami]

[2] Biodata: `Abd al-Ra`uf Muhammad al-Munawi, pengarang kitab terkenal Faidhul Qadir Syarah al-Jamai` as-Saghir as-Suyuti. Meninggal pada 1031H di Kaherah. Beliau juga lahir di situ.

[3] Biodata: Al-Husain bin Muhammad bin Abdullah, Syaraffudin at-Tibi. Meninggal pada tahun 743H. Salah seorang daripada ulama hadis, tafsir, dan bahasa. Beliau juga adalah seorang ahli perniagaan yang menghabiskan banyak waktu mengajar dan menafkahkan harta untuk kerja-kerja kebajikan. Beliau sangat keras menentang pelaku bidaah. Antara kitab beliau ialah: At-Tibyan fil Ma`ani wal Bayan, Al-Khulasah fi Ma`rifatil Hadis, Futuh Ghaib fi al-Kasyfi `an Qina`I ar-Raib, Syarah Misykatul Masabih dan lain-lain. 

[4] Diulas dalam Syarah al-Arbain an-Nawawiyah: 155.

[5] Jawami` Kalim ialah kata-kata yang ringkas tetapi mempunyai makna yang sangat luas. Ini adalah salah satu daripada keistimewaan Nabi SAW. Oleh itu Nabi SAW bersabda: Aku dibangkitkan dengan Jawami`il Kalim – HR Al-Bukhari, 7013. بُعِثْتُ بِجَوَامِعِ الكَلِمِ