Pada zaman Muawiyah bin Abi Sufyan, beliau begitu berminat pada penulisan sirah Nabi Muhammad SAW. Lalu `Ubaid bin Syuraiyyah al-Jurahmi daripada Sanaa menulis kitab Al-Muluk wa Akhbarul Madhiyyin untuk khalifah. 

Setelah itu, semakin ramai ulama yang mencuburi bidang berkenaan secara khusus. Kebanyakkan mereka adalah daripada kalangan ulama hadis. Antara yang menulis ialah Urwah bin az-Zubair bin al-Awwam (92H)[1][2] seorang tokoh Tabiin yang faqih lagi ahli hadis. Beliau menulis dengan rujukan daripada bapanya az-Zubair dan ibunya Asma’ binti Abu Bakar. Beliau menyebutkan pelbagai riwayat al-Akhbar dan Hadis yang disandar kepada Nabi SAW. 

Ibnu Ishaq, Al-Waqidi, dan at-Tabari adalah orang yang sangat banyak merujuk penulisan Urwah. Aban bin Usman bin Affan al-Madani (105H)[3][4][5] pula telah menulis lembaran-lembaran yang menceritakan kehidupan Nabi Muhammad .  

Setelah itu Wahab bin Munabbih (110H)[6] juga menuruti mereka dengan meletakkan sebagaian daripada kitab tulisan beliau dengan sirah Nabi. 

Kemudian ilmu itu terus berkembang dan berkembang sehingga ia menjadi popular. Antara mereka ialah Syurahbil bin Saad (123H)[7], Ibnu Syihab az-Zuhri (124H), Asim bin Umar bin Qatadah (120H), Abdullah bin Abu Bakar bin Hazm (135H). Mereka berempat terkenal dalam periwayatan sirah pada ¼ kurun kedua hijrah. 

Pada pertengahan kurun ke dua hijrah pula, muncul ulama-ulama seperti Musa bin Uqbah (141H), Ma`mar bin Rasyid (150H), dan Muhammad bin Ishaq (152H). 

Pada penghujung kurun kedua hijrah muncul al-Bakaie (183H), al-Waqidi (207H) dan Muhammad bin Saad (230H). Kemudian Ibnu Hisyam (218H).


[1] Dr. Mustafa al-A`zhomi telah menulis satu buku bertajuk al-Maghazi yang disandar kepada Urwah bin Zubair melalui periwayatan Abi al-Aswad. Justeru di dalam asas ini kita mengetahui bahawa penulisan Urwah di dalam sejarah adalah penulisan yang paling awal di dalam bab sirah Nabi Muhammad . Tetapi, tidak sampai kepada kita satu naskhah khas yang mengumpulkan penulisan urwah tersebut. Dr Mustafa mengambil asas-asas penulisan tersebut dan mengumpulkannya berdasarkan rekod daripada kitab-kitab hadis dan sirah.
[2] Urwah bin Az-Zubair bin al-Awwam juga dikenali dengan Ibnu Zubair. Beliau adalah seorang Tabiin ahli hadis yang dipercayai dan popular. Hadis-hadis yang beliau riwayatkan direkod di dalam kitab Sittah dan Musnad. Rujuk Taqrib at-Tahzib 19/2.
[3] Yahya bin Al-Mughirah meriwayatkan daripada bapanya menyebutkan: Dia tidak menulis sesuatu hadis melainkan maghazi / sirah Nabi yang diambil daripada Aban bin Usman. Beliau adalah orang yang paling banyak membaca kepada aban dan menyuruh kami mempelajarinya. – Rujuk Ibnu Saad 5/156.
[4] Di dalam beberapa riwayat disebutkan bahawa Aban menulis lembaran sirah untuk Sulaiman bin Abdul Malik. Kemudian lembaran itu hilang pada Sulaiman.
[5] Aban ialah seorang yang Siqah dan direkod hadisnya oleh Al-Bukhari di dalam kitab al-Adabul Mufrad, Muslim di dalam kitab Sahih, dan imam empat. Rujuk at-Taqrib: 1/31.s
[6] Bleiau adalah seorang yang dipercayai. Direkodkan riwayatnya oleh Al-Bukhari, Muslim, at-Tirmizi dann an-Nasaie. Rujuk at-Taqrib 2/329.
[7] Beliau adalah seornag yang jujur (Soduq) tetapi hadisnya bercampur-campur pada akhir hayatnya. Diriwayatkan daripadanya oleh Al-Bukhari di dalam al-Adabul Mufrad, Abu Daud dan Ibnu Majah. Rujuk at-Taqrib: 1/348.