Apabila kita tersilap dalam mendakwa sesuatu yang Nabi Muhammad SAW tidak buat atau sebut, maka lebih baik kita mengakui kesilapan tersebut. Ini adalah disiplin seorang yang amanah dalam menyampaikan risalah Nabi Muhammad SAW.

Kerana kita nampak pentingnya mempertahankan Nabi SAW berbanding batang tubuh kita. Itu sebenar-benar tanda kita cintakan Rasulullah SAW dalam isu ini.

Kita sentiasa gerun dengan ancaman Nabi SAW berikut:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ، مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
"Sesungguhnya pendustaan terhadap diriku tidak sama seperti pendustaan terhadap orang lain. Sesiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka ambillah tempat duduknya daripada api neraka."

[Sahih Al-Bukhari: 1291]

Nabi Muhammad SAW juga dikatakan pernah bersabda:

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Setiap anak Adam ada melakukan kesilapan. Dan sebaik-baik pelaku kesilapan ialah orang-orang yang bertaubat.
(Sunan at-Tirmizi: 2499)

Imam at-Tirmizi memberi ulasan hadis tersebut: "Hadis ini Ghorib (ganjil), aku tidak mengetahuinya melainkan daripada jalan perawi Ali bin Mas`adah daripada Qatadah"

Menurut Syeikh Syu`aib al-Arnaout, Ali bin Mas`adah al-Bahili ialah seorang yang dhoif. Manakala Syeikh Thoriq `Iwadhullah menambah: Hadisnya tidak diterima jika bersendirian.

Manakala ulama hadis yang lain seperti al-Albani menghasankan hadis ini, al-Hakim mensahihkannya. Tetapi setelah meneliti secara umum penjelasan ulama tentang hadis ini, saya lebih berpegang pada pendapat pertama. Para pakar ilmu hadis adalah orang yang lebih tahu dalam isu ini, sedangkan saya bukan salah seorang daripada mereka.