Saya adalah graduan Universiti al-Azhar di dalam bidang Syariah yang menfokuskan isu Fikah sebagai subjek utama di samping subjek-subjek lain. Di dalam memahami agama, maka saya dan rakan-rakan diajar untuk menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai rujukan utama.

Tetapi persoalannya, bagaimana memahami al-Quran dan al-Hadis sebagai rujukan? Adakah boleh membaca al-Quran atau hadis, kemudian terus berhujah?

Kami para penuntut ilmu agama tidak diajar begitu. Kami diajar supaya menjadikan penjelasan ulama bagi membantu memahami a-Quran dan al-Hadis. Ulama mempunyai kepakaran yang banyak. Mengikut ulama bukan bererti jumud atau beku, tetapi mengikut ulama dengan maksud mengambil hujah ulama berkenaan, menilainya semula, kemudian sebarkan kebenaran.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

«بِحَسْبِ الْمَرْءِ مِنَ الْكَذِبِ أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ»
"Cukuplah dikatakan seorang itu sebagai pendusta apabila dia berbicara tentang apa sahaja yang dia dengar” – Hadis Sahih dalam rekod Sahih Muslim (5).

Ketika di tahun 2, saya telah menulis sebuah buku berjudul "Lateral al-Bukhari" terbitan syarikat Must Read Sdn Bhd​. Buku tersebut adalah himpunan 50 kisah yang diceritakan oleh Rasulullah SAW atau para sahabat sepertimana yang telah direkodkan oleh Imam al-Bukhari. Ia adalah buku pertama saya di dalam bidang penulisan buku bercetak.

Bagi memastikan terjemahan saya tepat dan tidak tersasar, maka saya menjadikan kitab Fathul Bari sebagai rujukan terjemahan. Maka saya dapati, jika terjemahan tanpa dilihat kepada kefahaman hadis, maka ia mampu menyelewengkan ajaran agama yang tulin.

Kemudian di tahun 4, saya menulis sebuah buku berjudul "Fikah Islam dan Kemusykilan Agama". Pelbagai persoalan berkaitan isu fikah daripada bab niat sehingga perkahwinan telah saya sebutkan. Setiap persoalan saya rungkaikan dengan terlebih dahulu meneliti pandangan ulama dalam pelbagai mazhab. Bahkan, kadangkala saya melihat juga pendapat ulama yang tidak berpegang kepada mazhab.

Di al-Azhar, kami diajar untuk merujuk pelbagai sumber rujukan. Kami tidak hadkan kepada ulama 4 Mazhab sahaja, tetapi ia lebih meluas sehingga ke gerbang fikah Syiah Ja`fariyah dan Zohiriyyah.

Pada Ramadhan 2014, saya menulis sebuah buku kecil berjudul "24 Jam Amalan Puasa Rasulullah SAW" yang diterbitkan oleh Kemilau Publika SDN BHD. Saya jadikan guru saya Dr. Mohsin asy-Syazuli sebagai panduan di dalam mengarang buku kecil berkenaan. Buku tersebut menyebutkan amalan-amalan di bulan Ramadhan sejak daripada bangun tidur sehingga tidur semula.

Semuanya ditulis dengan merujuk, bukan sekadar ‘pandangan saya’. Saya yakin bahawa saya bukan ulama. Lalu menjadikan ulama sebagai panduan adalah keutamaan saya.

Malang pula apabila timbul satu atau dua orang yang melihat saya berbeza dengan mereka, lalu dituduh terus saya sebagai 'mengambil hadis tanpa panduan ulama', 'tak belajar habis',’anti ulama’, dan 'Wahabi!'.

Semoga Allah ampuni kita.
_____________
Syihabudin Ahmad,
Sungai Buloh.