المسَحُ عَلَى الخٌفَّين
Menyapu Khuffain
Definasi
الخُفّان: تثنية خف، وهما الحذاءان السائران للكعبين المصنوعان من جلد. والكعبان كما مر: هما العظمان الناتئان عند مفصل الساق.
Khuffan: ialah kata tasniyah bagi khuf. Kedua-duanya ialah pasangan kasut (yang menutupi sehingga kedua buku lali. Ia diperbuat daripada kulit.
Maksud buku lali ialah seperti berikut: Kedua-duanya ialah dua tulang yang timbul di antara pemisah (kaki dan) betis.

Hukum menyapu di atas kedua-duanya (bagi menggantikan menyapu kaki ketika wuduk).

Menyapu di atas kedua-duanya (dengan air) adalah satu keringanan (رخصة) yang diharuskan kepada lelaki dan wanita dalam semua keadaan. Sama ada ketika musim panas (الصيف) atau sejuk (الشتاء), ketika musafir atau mukim (الحضر), ketika sihat atau sakit. Ia adalah ganti bagi membasuh kedua-dua kaki ketika berwuduk.

Dalil keharusan tersebut adalah perbuatan Nabi SAW. Jarir bin Abdullah al-Bajali RA menyebutkan:

«رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَالَ، ثُمَّ تَوَضَّأَ وَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ»
Aku melihat Nabi SAW pergi buang air kecil, kemudian berwuduk dan menyapu kedua-dua khuf baginda.[1]
(HR al-Bukhari: 1478, Muslim: 272)
Syarat Bagi Menyapu di atas Kedua-duanya

Harus menyapu di atas kedua-dua khuf dengan (melengkapi) lima syarat berikut:

Kedua-dua khuf dipakai setelah berwuduk dengan sempurna.

Daripada al-Mughirah bin Syu`bah RA, beliau berkata:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَأَهْوَيْتُ لِأَنْزِعَ خُفَّيْهِ، فَقَالَ: «دَعْهُمَا، فَإِنِّي أَدْخَلْتُهُمَا طَاهِرَتَيْنِ». فَمَسَحَ عَلَيْهِمَا
Aku pernah bersama-sama Nabi SAW di dalam satu permusafiran. Lalu aku memanjangkan tangan bagi menanggalkan kedua-dua khuf baginda. Lantas baginda bersabda: ((Biarkan kedua-duanya, kerana aku memakainya ketika suci[2].)) lalu baginda menyapu di atas kedua-duanya.
(HR al-Bukhari: 203, Muslim: 274)[3]

Hendaklah kedua-dua khuf tersebut menutupi kesemua tempat basuhan yang wajib pada kedua-dua kaki. Kerana kedua-dua khuf tidak dinamakan kecuali dalam keadaan demikian.[4]

Ia menghalang aliran air kepada kedua-dua kakikecuali tempat jahitan.[5]

Hendaklah kedua-duanya kuat (tahan lasak) sehingga boleh dipakai berjalan selama sehari semalam bagi orang yang bermukim, dan tiga hari tiga malam bagi orang yang musafir.[6]

Hendaklah kedua-duanya suci sekalipun dibuat daripada bangkai yang telah disamak (الدبغ) sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini bahawa kulit bangkai menjadi suci dengan disamak.


Tempoh Menyapu di atas kedua-duanya

Tempoh menyapu di atas khuffain: ialah sehari dan semalam bagi orang yang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi orang yang bermusafir.

(Imam) Muslim (276) dan selainnya meriwayatkan hadis (dengan sanadnya) daripada Syuraih bin Hani’, beliau berkata:

أَتَيْتُ عَائِشَةَ أَسْأَلُهَا عَنِ الْمَسْحِ عَلَى الْخُفَّيْنِ، فَقَالَتْ: عَلَيْكَ بِابْنِ أَبِي طَالِبٍ، فَسَلْهُ فَإِنَّهُ كَانَ يُسَافِرُ مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلْنَاهُ فَقَالَ: «جَعَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيَهُنَّ لِلْمُسَافِرِ، وَيَوْمًا وَلَيْلَةً لِلْمُقِيمِ»
Aku telah menemui Aishah dan bertanya berkenaan menyapu di atas al-Khuffain. Maka dia menjawab: “Hendaklah engkau (pergi bertemu Ali) anak Abi Tholib[7], lalu tanyalah dia kerana dia pernah bermusafir dengan Rasulullah SAW”. Lalu kami bertanya beliau (Ali). Maka beliau berkata: ((Rasulullah telah menetapkan (tempoh) tiga hari tiga malam bagi musafir dan sehari semalam bagi orang yang bermukim.))

Justeru itu, sesiapa yang mula menyapu khuf ketika bermukim kemudian dia bermusafir, maka dia (hanya boleh) menyapau selama sehari semalam. Sesiapa yang mula menyapu ketika bermusafir kemudian bermukim, maka hendaklah dia menamatkan tempoh sapuannya sebagaimana orang bermukim.

Ini kerana keadaan asal seseorang itu adalah bermukim, sedangkan sapuan itu pula adalah rukhsah. Oleh itu, ambillah cara yang lebih selamat.

Bilakah Tempoh Itu Bermula?

Tempoh menyapu (bagi mengangkat) hadas bermula setelah memakai kedua-dua al-Khufain. Justeru, seseorang yang berwuduk[8] untuk solat Subuh, kemudian berhadas ketika matahari terbit, maka tempohnya bermula daripada terbit matahari.  

Kaedah Sapuan keatas kedua-duanya

Fardhu: Menyapu sesuatu sekalipun sedikit daripada bahagian atas al-Khuf[9]. Tidak memadai dengan menyapu bahagian bawahnya sahaja. Disunatkan menyapu bahagian atas dan bawah dengan sekali lalu, iaitu dengan cara meletakkan jari-jari tangan kanan dalam keadaan terbuka di bahagian atas hujung kaki, dan jari-jari tangan kirinya pula di bahagian bawah tumit. Kemudian lalukan tangan kanan ke belakang sambil tangan kirinya ke hadapan.

Perkara-perkara Yang Membatalkan Sapuan

Sapuan terbatal dengan tiga faktor:

Menanggalkan kedua-dua khuf atau salah satu daripadanya. Atau tertanggal kedua-duanya atau salah satu daripadanya.

Tamat tempoh sapuan: Apabila tempoh sapuan telah tamat ketika masih berwuduk, maka dia hendaklah menanggalkan kedua-dua khuf tersebut dan membasuh kedua-dua kakinya, setelah itu pakai semula. Sekiranya dia tidak dalam keadaan berwuduk, maka dia hendaklah berwuduk, kemudian pakai semula jika dia mahu.

Berlaku perkara yang mewajibkan mandi: Apabila wajib mandi, maka dia hendaklah menanggalkan kedua-dua khuf tersebut dan membasuh kedua-dua kakinya kerana sapuan keatas kedua-duanya adalah ganti bagi menyapu kedua-dua kaki di dalam wuduk, tidak pada mandi (wajib).

Direkodkan oleh at-Tirmizi (96) dan an-Nasaie (1/83) – dan ini adalah lafaz an-Nasaie- daripada Sofuan bin `Asal RA, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «يَأْمُرُنَا إِذَا كُنَّا مُسَافِرِينَ أَنْ نَمْسَحَ عَلَى خِفَافِنَا وَلَا نَنْزِعَهَا ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ غَائِطٍ وَبَوْلٍ وَنَوْمٍ إِلَّا مِنْ جَنَابَةٍ»
Rasulullah SAW memerintahkan kami apabila bermusafir untuk menyapu di atas khuf kami dan tidak menanggalkannya selama tiga hari, sama ada selepas buang air besar (berak), air kecil (kencing), atau tidur kecuali apabila bersetubuh. [10]

Ia (bersetubuh) adalah perkara yang menyebabkan wajib mandi sepertimana yang akan dijelaskan selepas ini.
  

- Tamat terjemahan -
Oleh:


Ustaz Syihabudin Ahmad
Editor Syariah Kemilau Publika SDN BHD
Ijazah Sarjana Muda Syariah Universiti Al-Azhar, Dumyat, Mesir

Pengajian di Surau as-Sobirin, SBCR, Sungai Buloh, Selangor,
Tarikh: 1 Mei 2015




[1] Hadis ini diambil daripada rekod Muslim dengan lafaz berikut:

Imam Muslim bin al-Hajjaj dengan sanadnya merekodkan: Diceritakan kepada kami oleh Yahya bin Yahya at-Tamimi dan Ishak bin Ibrahim, serta Abu Kuraib. Kesemuanya meriwayatkan daripada Abi Muawiyah. (ح) Diceritakan kepada kami oleh Abu Bakar bin Abi Syaibah, diceritakan kepada kami oleh Abu Mu`awiyah dan Waki’ – dan ini lafaz Yahya – beliau berkata: Dikhabarkan kepada kami oleh Abu Mu`awiyah daripada al-A`masy, daripada Ibrahim, daripada Hammam, beliau berkata:

Jarir telah buang air kecil (kencing) kemudian berwuduk dan menyapu pada kedua-dua khufnya. Lalu dikatakan kepadanya: Kamu melakukan hal ini? Beliau berkata: Ya. ((Aku melihat Nabi SAW pergi buang air kecil, kemudian berwuduk dan menyapu kedua-dua khuf baginda.)) al-A`masy berkata, Ibrahim berkata: ((Apa yang menghairankan mereka terhadap hadis ini ialah, Jarir memeluk Islam selepas turun surah al-Maidah.))

[2] Bermaksud suci daripada hadas. Peristiwa itu berlaku setelah memakai kedua-duanya setelah sempurna wuduk. 

[3] Lafaz ini adalah daripada rekod Imam al-Bukhari di dalam kitab Sahih beliau, bilangan: 206. 

[4] Khuf juga dari istilah bermaksud sembunyi. Jadi, menyembunyikan kaki bagi tempat wuduk secara sepenuhnya dikira khuf. Maka kita fahami bahawa selain khuf yang difahami oleh orang Arab, khuf yang mempunyai 5 syarat ini juga layak berada pada hukum khuf. Wallahua`lam.  

[5] Maksudnya, ia kalis air tanpa mengira ia kulit tiruan atau asli. 

[6] Maksudnya, sekiranya ia tidak tahan lasak dalam erti diyakini tidak mampu tahan selama sehari semalam atau tiga hari tiga malam, maka ia tidak melepasi syarat yang ditetapkan untuk khuf. 

[7] Lafaz ini telah dibetulkan daripada kitab asal. Sebutan kitab asal adalah seperti berikut:
ائت علياً فإنه أعلم بهذا منّي،
“..Pergilah berjumpa Ali kerana dia lebih tahu daripadaku..”
Kemudian disambung dengan lafaz yang sama. 

[8] Dengan sempurna

[9] Direkod oleh Abu Daud (162) dengan sanad yang sahih daripada Ali bin Abi Tholib. Beliau berkata:
لَوْ كَانَ الدِّينُ بِالرَّأْيِ لَكَانَ أَسْفَلُ الْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلَاهُ، وَقَدْ «رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ عَلَى ظَاهِرِ خُفَّيْهِ»
Sekiranya agama itu dengan mengambil pandangan, nescaya bawah al-khuf itu lebih perlu disapu daripada atasnya. Sedangkan aku telah melihat Rasulullah SAW menyapu di atas luar kedua-dua khuf baginda.

(Nota: Hadis ini menyatakan bahawa agama diambil daripada sumber wahyu. Bukan dengan pandangan fulan bin fulan.) 

[10] Hadis ini Hasan menurut al-Albani.  Hadis ini secara lengkap adalah seperti berikut: An-Nasaie dengan sanadnya meriwayatkan: Diberitakan kepadaku oleh Ahmad bin Sulaiman ar-Ruhani, beliau berkata: Diceritakan kepada kami oleh Yahya bin Adam, beliau berkata: Diceritakan kepada kami oleh Sufyan as-Sauri, Malik bin Maghlul, Zuhair, Abu Bakar bin `Isyasy dan Sufyan bin `Uyainah, daripada `Asim, daripada Zir, beliau berkata: Aku bertanya Safwan bin `Assal berkenaan sapuan di atas al-Khuf. Dia berkata, (lalu disebutkan hadis seperti di atas.