Ramai penuntut ilmu di Universiti al-Azhar tidak hadir kelas. Mereka hanya daftar dan hadir pada pertengahan awal tahun pertama. Apabila pulang ke Malaysia, mereka dipanggil "Ustaz". Mereka tidak mengambil manfaat al-Azhar, tetapi mereka hanya mahu kata-kata mereka tidak dipertikai.

Sebahagiannya melebihkan persatuan berbanding pengajian sehingga bertahun-tahun tidak lulus. Sebahagian lagi, mengambil kesempatan poteng kerana al-Azhar tidak menjadikan kehadiran sebagai markah di dalam sistem pendidikannya.

Mereka seolah-olah belajar seminggu, berehat setahun. Sebahagiannya masuk ke kelas hanya untuk ambil "soalan spot". Pensyarah pun mereka tidak kenal. Yang lebih malas akan menghantar utusan sahaja. Mereka bertukus lumus pada minggu terakhir sebelum peperiksaan, dan akan berehat sepenuhnya selepas ujian berakhir sehinggalah peperiksaan berikutnya bermula lagi.

Justeru itu, tidak hairan apabila mereka pulang ke Malaysia dengan membawa ilmu yang tidak berkembang, bahkan kadang-kala mereka seolah-olah tidak pernah menyentuh bumi anbiya' berkenaan.

Saya juga salah seorang daripada lepasan Universiti Al-Azhar. Justeru, sebahagian yang saya sebutkan juga pernah menempek di wajah saya.

Sekarang ini para pelajar Universiti al-Azhar sedang menduduki ujian penilaian fasa akhir di setiap peringkat. Mohon anda doakan semoga orang yang berusaha mendapat ganjarannya, dan yang malas dan sombong akan mendapat pengajaran.

Al-Azhar mempunyai ulama daripada pelbagai aliran. Ada Sufi, Ahli Tarikat, Salafi, Ikhwani, Mazhabi, Non-Mazhabi dan lain-lain. Ia menyimpan ilmu dan ulama. Tetapi malangnya, ia tidak dimanfaatkan.

Di al-Azhar kita belajar tentang khilaf dan akibat tidak memahami cara berinteraksi dengan khilaf. Tetapi apabila pulang ke Malaysia, kita pula yang membuat huru hara dan perpecahan.

Ulama al-Azhar itu hebat-hebat belaka, tetapi kita ini tidak akan menjadi hebat dengan hanya mengatakan, "Aku pelajar al-Azhar! Dia ini guru aku". Tetapi kita akan menjadi hebat apabila kita menyedari bahawa; “Saya adalah penuntut ilmu yang berkhidmat sepenuhnya pada perjuangan agama.”


_______
Syihabudin Ahmad,
Sungai Buloh, Selangor.
28 Mei 2015.