Sebulan sebelum bertolak ke Mesir, saya menulis status ini di facebook (rujuk gambar). Ketika itu, bahkan sehingga hari ini ramai yang tidak menyedari kewujudan status berkenaan. Ia telah berlalu selama 7 tahun.


Sekalipun begitu, sangat ramai orang terdekat memahami situasi dan keresahan saya, lantas mereka bertindak membantu. Guru-guru, kenalan, masjid kampung, pejabat zakat negeri Perlis, bahkan orang yang kenal saya daripada orang lain!

Ketika mula bertolak ke Mesir, alhamdulillah saya ada bekalan hampir RM 10,000 hasil sumbangan orang-orang berhati mulia tersebut. Wang tersebut habis dalam masa kurang 5 bulan.

Saya habiskan dengan membeli tiket kapal terbang (AlorStar-KL-Cairo = RM 2,500), Laptop LENOVO (RM 1,500), urusan ketibaan di Kaherah (USD 300 = RM 900), pakaian musim sejuk (RM 200), makan minum (5 bulanxRM 200 = RM 1000), urusan ketibaan di Dumyat (USD 300= RM 900), bayaran sewa dan keperluan rumah (RM 300x5 = RM 1,500) dan keperluan lain yang saya telah saya catatkan di dalam nota kecil.

Kemudian bantuan terhenti begitu lama. Ketika itu saya hanya mengharapkan bantuan daripada  mak dan ayah serta Ustaz Abdul Hadi Othman (Ahli Majlis Fatwa Perlis) yang akan memberi sumbangan pukal hasil kutipan untuk pelajar-pelajar susah di Mesir. Kebiasaanya saya akan dapat RM 500.

Setiap bulan, mak dan ayah akan hantar RM 200 untuk perbelanjaan keseluruhan. Ia bermula setelah bulan keenam. Paling banyak diberi ialah RM 400. Sedangkan ketika itu belanja standard ialah RM 500. Tetapi saya tahu benar, ia bukan suatu kerja yang mudah. Mak dan ayah sentiasa bertukar kerja. Daripada menjual ubat-ubatan, kepada membuat kuih, belacan, laksa dan lain-lain. Masih ada 4 orang anak mereka perlu ditanggung.

Bahkan, mak saya meninggal dunia pada jam 9.55 malam, 20 Julai 2011 mungkin kerana kepenatan yang teramat di dalam mengusahakan belanjawan anak-anaknya.

Setiap kali saya bercakap dengan ayah melalui perantaraan talian antarabangsa, ayah akan bersembang panjang. Ayah sering kata: "Ayah tak ada apa pun nak bagi, ayah boleh bagi hang belajaq saja.." Mak pula tidak akan bertanya suatu apa pun melainkan, "Belajaq macam mana?"

Pada saya, hidup ini penuh cabaran. Jika kita benar-benar mahu menuntut ilmu, ramai orang akan datang membantu, dan yang paling setia ialah mak dan ayah kita.

Kita hendaklah menjadi orang yang bersungguh-sungguh kerana masyarakat mempunyai harapan yang tinggi kepada ilmuan. Mereka mahu dekat dengan agama dengan membantu kita. Oleh itu, berbaktilah kepada masyarakat dengan belajar dan memberi.

Siapa yang bersedia menjadi satria, maka dia akan bergembira di kemudian hari. Tetapi jika dia setakat mahu menjadi manusia biasa yang hidup seperti orang biasa dan mati seperti orang biasa, maka dia akan biasa-biasa sahaja. Hidup tidak diingat, mati tidak dikenang.


Akhirnya, saya berdoa sentiasa:

"Ya Allah, rahmatilah orang yang membantu aku di dalam menuntut ilmu agama-Mu. Bahagiakanlah mereka dan keluarga mereka di dunia dan akhirat."

_____________
Syihabudin Ahmad,
Sungai Buloh, Selangor.
Ramadhan 1436H.