"Antara bidaah yang dilakukan yang menjadikan ia musim-musim yang dianggap diiktiraf oleh syariat ialah bidaah pada malam Nisfu Sya`ban di zaman kita ini. Telah dilakukan perbuatan bidaah dalam pelbagai bentuk. Berikut dinyatakan sebahagian bidaah yang popular di beberapa buah negara:

Solat enam rakaat pada malam Nisfu Sya`ban dengan niat untuk dijauhi bala', dipanjangkan umur, serta diberi kekayaan. Juga bacaan Yaasin dan doa di antara solat-solat berkenaan.

Tiada syak lagi bahawa ini adalah perkara baharu di dalam agama yang bercanggah dengan sunnah penghulu segala utusan (Nabi Muhammad SAW)."

- Syeikh Abu `Ubaidah Masyhur bin Hasan Ali Salman, buku: Husnul Bayan Fi Ma Warada Fi Lailah an-Nisfu minasy Sya`ban"

Nota:

Asy-Syeikh mensahihkan hadis yang menyatakan bahawa Allah mengampunkan dosa setiap manusia pada malam nisfu Sya`ban kecuali Syirik. Selain daripada hadis yang serupa seperti itu, asy-Syeikh menyatakan ia berlegar antara Dhoif atau Palsu.

Tiada sebarang amalan khusus pada malam nisfu Sya`ban yang dibuktikan daripada al-Quran dan as-Sunnah. Sebahagian orang melakukannya kerana melihat orang lain melakukannya.

Mengkhususkan perkumpulan di masjid semata-mata menganggap wujudnya kelebihan malam nisfu sya`ban juga antara isu bidaah yang disebut oleh asy-Syeikh.

Asy-Syeikh berkata: "Malam ini serupa seperti malam-malam yang lain. Tidak disyariatkan apa-apa padanya sama ada solat khusus, zikir-zikir khusus, perkumpulan khusus, serta tidak juga bacaan al-Quran dengan bilangan tertentu.

Penentuan ini tidak diterima melainkan daripada sandaran agama. Apabila ia tidak sabit, maka menjadi kewajiban buat umat Islam untuk tidak menyertainya."

WallahuA`lam.