Soalan: Adakah hadis berikut menunjukkan larangan melilit tudung dua kali atau lebih? Dikatakan Nabi SAW bersabda ketika melihat Ummu Salamah memakai tudung: “Hanya satu kali lilit, dan jangan dua lilitan!”

Jawapan: Hadis tersebut Dhoif (Lemah). Menurut para ulama, hadis dhoif tidak boleh dijadikan hujah di dalam hukum hakam agama.

Fakta:

Tudung boleh dipakai dengan pelbagai cara. Apa yang penting, ia mestilah bertepatan dengan sifat-sifat menutup aurat yang digazet oleh agama.

Sifat tudung yang ringkas menurut ajaran agama Islam:

  1. Menutupi kepala (kecuali muka), leher dan belahan dada
  2. Tidak jarang sehingga menampakkan warna kulit atau rambut.
  3. Tidak menyerupai lelaki

Penjelasan Hadis:

❶ Hadis yang lengkap direkod seperti berikut:

HS Zuhair bin Harb, HS `Abdurrahman (ح) HS Musaddad, HS Yahya, daripada Sufyan, daripada Habib bin Abi Sabit, daripada Wahab – pembantu Abu Ahmad, daripada Ummu Salamah. (Beliau berkata:)

Nabi SAW telah masuk menemuinya ketika itu beliau sedang memakai tudung. Lantas Nabi SAW bersabda kepadanya:

«لَيَّةً لَا لَيَّتَيْنِ»
Hanya satu lilitan (lipatan), bukan dua lilitan.

Abu Daud berkata: Maksud sabda Nabi “Hanya satu lilitan (lipatan), bukan dua lilitan.” Ialah baginda mahu berkata: Janganlah kamu melilit kepala seperti (serban) lelaki. Jangan mengulang-ulang satu atau dua lilitan.
(HR Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, bilangan: 4115)

❷ Hadis ini Dhoif kerana masalah yang ada pada seorang perawi bernama: Wahab – pembantu Abu Ahmad.

Syeikh Syu`aib al-Arnaout berkata: Perawi hadis ini adalah Siqat (orang-orang dipercayai) melainkan Wahab pembantu Abu Ahmad. Dia adalah perawi yang diperselisihi peribadinya. Ad-Daruqutni dan al-Hakim menyatakan bahawa beliau ialah Abu Sufyan pembantu Ibnu Abu Ahmad, seorang yang dipercayai yang telah direkodkan hadisnya di dalam Sahihain. Justeru itu dia turut dianggap siqah oleh Ibnu Sa`ad, Ibnu Hibban dan ad-Daruquthni. Al-Mizzi juga beranggapan seperti itu.

Manakala Ibnu Abdul Bar pula berkata: Tidak sahih nama bagi Abu Sufyan melainkan hanya gelarannya sahaja. Kami (Syeikh Syuaib) pula berpendapat: Al-Munziri, Ibnu al-Qattan, az-Zahabi, Ibnu Hajar telah menjahilkan (menganggap ia sebagai perawi yang tidak dikenali-majhul) Wahab pembantu Abu Ahmad.

Sekiranya Wahab ini ialah Abu Sufyan seperti mana yang dinyatakan oleh ad-Daruquthni dan al-Hakim, maka sanad hadis ini sahih. Tetapi jika tidak, maka dia ialah seorang perawi yang majhul seperti mana yang dinyatakan oleh al-Munziri dan orang yang mengikutinya, maka sanad hadis ini adalah Dhoif.

WallahuA`lam.

Sekiranya kita andaikan bahawa hadis ini sahih, maka kita simpulkan seperti berikut: Hadis ini tidak menunjukkan kepada pengharaman lilitan tudung tetapi ia menunjukkan kepada larangan memakai pakaian yang menyerupai lelaki. Inilah yang cuba dijelaskan oleh Imam Abu Daud di dalam ulasan ringkas di atas.

Tambahan pula, tiada hadis lain yang sahih atau yang lebih sahih daripada hadis ini yang mengharamkan lilitan. Tetapi hadis yang mengharamkan wanita menyerupai lelaki sangat banyak.

Antaranya, Ibnu Abbas berkata:

لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ
Nabi SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita (pondan) daripada kalangan orang lelaki dan perempuan yang menyerupai lelaki (tomboi) daripada kalangan wanita.
(HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 5886)

Maksud menyerupai dalam konteks hadith di atas termasuklah daripada aspek gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya.

WallahuA`lam.