Soalan: Apa hukum bagi seorang lelaki yang mahu berkahwin dengan seorang janda, tetapi si ibu lelaki berkenaan tidak merestuinya. Seperti ibunya berkata: “Buatlah persiapa kahwin, tetapi setelah berkahwin, jangan pulang lagi ke rumah ibu”?

Jawapan: Seorang lelaki tidak wajib mendapatkan redha ibunya sekiranya telah tekad untuk berkahwin dengan wanita pilihannya. Tetapi nilai-nilai ajaran Islam sentiasa menyuruh untuk berbuat baik kepada ibu bapa selagimana ia tidak menjurus kepada kemaksiatan.  

Penjelasan

Perkahwinan adalah ikatan kekeluarga antara dua keluarga besar. Ia bukan sekadar dua individu sahaja. Seorang lelaki yang mengahwini seorang wanita bermaksud, dia juga telah menjerumuskan dirinya ke dalam ikatan kekeluarga wanita berkenaan. Dia hendaklah melayani keluarga mertuanya seperti mana dia melayani keluarganya sendiri. Ini adalah tanggungjawab yang bertambah besar.

Berbuat baik kepada ibu bapa dalam apa jua keadaan selain maksiat adalah dituntut. Allah berfirman:

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا (23) وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا (24)

23. dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan-Mu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

24. dan hendaklah Engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(Al-Isra’: 23-24)

Apabila ibu tidak restu, maka perlu dilihat tentang pro dan kontranya. Maka di sinilah perlunya istikharah dan istisyarah.

Istikharah adalah hubungan antara Allah dan hamba. Ia dilakukan dengan banyak solat dan berdoa.

Manakala Istisyarah pula adalah perbincangan dan penelitian yang akan menghasilkan pelbagai pendapat dan pandangan.

Situasi Pertama:

Sekiranya ibu bapa tidak merestui perkahwinan berkenaan sedangkan si lelaki telah yakin dengan kesolehan wanita berkenaan serta kemampuan wanita itu bersama-samanya memperbaiki keadaan setelah bernikah, maka silakan memilihnya. Pendapat ini akan menjadi lebih kuat apabila lelaki itu telah begitu medalam mencintai wanita berkenaan sehingga dibimbangi terjerumus ke dalam lembah maksiat sekiranya tidak bernikah.

Situasi Kedua:

Sekiranya lelaki itu tidak yakin dengan kemampuan wanita berkenaan memperbaiki keadaan setelah bernikah, maka digalakkan untuk mencari wanita lain serta terus taat kepada ibu bapanya. Ini adalah usaha besar untuk menjaga hubungan dengan ibu bapanya.

Situasi Ketiga:

Sekiranya ibu bapa mempunyai pilihan wanita yang lebih baik daripada gadis pilihan, maka dahulukanlah pilihan ibu bapa sekiranya cinta masih belum mendalam.

Tiga situasi ini hanya contoh sahaja. Ia boleh digunakan sebagai panduan tetapi mempraktikkannya memerlukan istikharah dan istisyarah yang lebih mendalam.

<Saya mencadangkan untuk kita teliti pandangan Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam hal ini di link berikut: http://www.ustazusa.com/2011/08/nasihat-dr-yusuf-al-qaradhawi-kepada.html

<Demikian juga bagi mereka yang mahu meneliti tentang konsep istikharah dan istisyarah: http://www.ustazusa.com/2013/11/istikharah-dan-istisyarah.html

WallahuA`lam.