Soalan: Apa hukum menjatuhkan maruah saudara sesama Muslim dengan berkata: "Kamu babi!"?

Jawapan: Haram (berdosa) menjatuhkan maruah saudara Muslim dengan apa-apa ucapan atau perbuatan yang keji.

Fakta:

Mengeji saudara Muslim dengan ucapan dan perbuatan kotor adalah sifat orang fasik (jahat) dan maksiat.

Nabi SAW bersabda:

«سِبَابُ المُسْلِمِ فُسُوقٌ، وَقِتَالُهُ كُفْرٌ»

Mencela saudara Muslim adalah satu bentuk kefasikan, manakala membunuhnya pula adalah satu bentuk kekufuran.

(HR al Bukhari di dalam Sahih al Bukhari, bilangan: 48)

Dr. Mustafa al Bugha memberi ulasan:

"Maksud mencela di dalam hadis di atas ialah seseorang mengutuk saudaranya Muslim serta mengatakan sesuatu tentang maruah yang mengaibkan serta menyakitinya."

Imam an Nawawi berkata di dalam ulasan Sahih Muslim:

"As-Sab dalam bahasa Arab bermaksud mengeji dan mengatakan tentang maruah seseorang pada sesuatu yang mengaibkan. Fasq di dalam bahasa Arab pula bermaksud: Keluar. Fasq yang dimaksudkan agama ialah keluar daripada ketaatan.

Maksud hadis ialah: Mengeji seorang Muslim tanpa hak adalah haram secara ijmak (sepakat). Pelaku perbuatan itu telah menjadi seorang yang fasiq sepertimana yang telah dikhabarkan oleh Nabi SAW."

Menurut Mazhab Maliki, orang yang mengeji seorang Muslim telah layak menerima hukuman ta'zir (ta'dib) daripada pemerintah.

Muhammad 'Alisy al Maliki berkata di dalam ulasannya pada kitab Ringkasan Khalil Al Khurasyi:

"Sekiranya seseorang berkata: Wahai si fasik! Atau wahai si jahat! Atau wahai pemabuk arak! Atau wahai anak wanita fasik! Atau wahai anak perempuan jahat! Atau wahai pemakan riba! Atau wahai keldai! Atau wahai anak keldai! Atau wahai babi! Atau sesuatu yang seumpamanya, maka dia dita'zir (ta'dib)."

Islam ialah agama yang mengajar untuk menonjolkan akhlak mulia dan peribadi terpuji.

Kesalahan, kesilapan, dan dosa saudara Muslim hendaklah dilindungi melainkan ada darurat yang menghalalkannya seperti bimbang ia terpilih sebagai pemimpin sedangkan dia diketahui mempunyai rekod rasuah dan korupsi yang teruk. Tetapi, darurat hanya diambil sekadarnya sahaja. Ia tidak boleh membuka aib sehingga menjatuhkan maruahnya selaku manusia dan muslim.

Wallahua'lam