KANDUNGAN KITAB

Imam as-Suyuti berkata di dalam kitabnya "Al-Luma` Fi asbabul Hadis":

Direkodkan oleh imam hadis yang enam[1] daripada Umar bin Al Khattab r.a, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

«إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لدُنْيَا يُصِيبُهَا، أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا، فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ»

Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat, dan bagi setiap seseorang itu apa yang dia niatkan, maka sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya kerana Allah dan rasul-Nya, sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang dikehendaki, atau kerana seorang wanita yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu (dinilai berdasarkan) kepada apa yang dia niatkan.”

Sebab Hadis Ini Dilafazkan

Berkata Az Zubair bin Bakar di dalam Akhbar Al Madinah[2]:

Diceritakan kepadaku oleh Muhammad bin Al Hasan daripada Muhammad bin Talhah[3] bin Abdurrahman daripada Musa bin Muhammad bin Ibrahim bin Al Haris daripada ayahnya, beliau berkata: “Apabila Nabi s.a.w tiba di Madinah, selepas beberapa ketika, sebahagian daripada sahabat Nabi s.aw jatuh sakit. Kemudian tiba seorang lelaki di Madinah, lalu dia terus berkahwin dengan seorang perempuan yang juga berhijrah dari Makkah terlebih dahulu. Maka Rasulullah s.a.w duduk di atas mimbar seraya bersabda:

Wahai manusia! Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat sebanyak tiga kali, maka sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang dia kehendaki, atau kerana wanita yang dia pinangi, maka hijrahnya itu (dinilai berdasarkan) apa yang dia niatkan. Kemudian Baginda s.a.w mengangkat tangan seraya berdoa:

Ya Allah, pindahkanlah wabak ini dari kami sebanyak tiga kali. Di waktu pagi, Baginda s.a.w bersabda: Malam tadi aku didatangi seorang tua yang demam panas, terdapat tompok-tompok hitam melingkari (Mulabbabah)[4] tangannya. Dia berkata: demam panas ini apa pendapatmu mengenainya? Maka aku (Nabi s.a.w) menjawab: celupkannya di Khum[5].

ULASAN:

‘Muhajir Ummi Qais’

Kisah Muhajir Ummi Qais ( Lelaki yang berhijrah kerana ingin mengahwini Ummi Qais ) pula selalu dikaitkan sebagai latar belakang kepada perisitiwa kemunculan sabdaan Nabi saw ini. Kaitan kisah ini dengan kandungan hadis ini tidak pernah dipertikaikan. Cuma adakah kisah ini menjadi sebab Nabi melafazkan hadis ini?  Itulah yang menjadi pertikaian.

Kisah ‘Muhajir Ummi Qais’ diriwayatkan di dalam Al Mu’jam Al Kabir karangan At Tabrani dengan sanad perawi-perawi yang dipercayai daripada riwayat Al A’masy dan lafaznya:

Daripada Abi Wail daripada Ibnu Mas’ud, beliau bersabda: Ada seorang lelaki di kalangan kami meminang seorang wanita yang digelar Ummu Qais, tetapi dia enggan berkahwin dengan lelaki tersebut sehingga lelaki itu berhijrah, maka lelaki itu berhijrah dan berkahwin dengan wanita itu. Lalu kami gelarkannya ‘Muhajir Ummi Qais’.

Akan tetapi Ibnu Rajab tidak bersetuju dengan periwayatan kisah ini, dia mengkritiknya di dalam syarah Al Arbain karangan Al Imam An Nawawi:

Ulama’ terkemudian banyak menyebut kisah ini di dalam penulisan-penulisan mereka sedangkan kami tidak ketemui sumber dengan sanad yang sahih bagi kisah ini. Berkata Abu Al Khattab bin Dahyah bahawasanya nama wanita tersebut ialah Qailah, adapun lelaki tersebut tidak pernah disebut namanya oleh seorangpun daripada sesiapa yang menulis tentang sahabat. (Irsyad As Sari Syarah Sahih Al Bukhari karangan Al Qastalani, jilid 1: m/s 55).

Kita simpulkan pendapat seperti berikut:

Ibnu Daqiqul Eid, Ibn Taimiah dan as Suyuti berpendapat bahawa kisah inilah sebab kepada hadis ini.

Ibn Rajab dan Ibn Hajar pula tidak bersetuju bahawa kisah ini menjadi sebab hadis kerana kisah ini sekalipun sahih tetapi tiada petunjuk jelas kaitannya dengan hadis ini.

Pendapat kedua mendapat sokongan tokoh pengkaji hadis kontemporari seperti Syeikh Ahmad Shakir dan Bakar Abu Zaid.[6]

Daripada kisah ini, kita dapati hal berikut:

Setiap amalan mempunyai niat tertentu. Sekalipun bentuk amalan itu nampak serupa tetapi balasan amalan itu berbeza-beza.

Orang yang melakukan amalan akhirat tetapi dengan niat mendapatkan keduniaan, maka dunia juga yang diterimanya. Seorang yang pergi ke Mekah pada bulan haji untuk berniaga, maka dia akan mendapat pahala berniaga, bukan haji.

NIAT MENGANGKAT DARJAT AMALAN

Islam menghargai apa sahaja yang dapat membangkitkan perbuatan mulia. Niat yang mempunyai peranan dalam membangkitkan kemuliaan tersebut.

Dengan niat yang baik, perkara yang harus dan adat dapat diangkat menjadi ketaatan dan ibadah kepada Allah. Sesiapa yang makan makanan dengan niat untuk memelihara kehidupannya, menguatkan tubuh badannya, supaya dapat melaksanakan kewajipan terhadap Tuhan, maka makan dan minumnya itu menjadi ibadah.

Sesiapa sahaja yang melepaskan syahwat seks bersama isterinya dengan niat untuk mendapatkan anak atau untuk memelihara diri dan keluarganya dari terjebak ke lembah maksiat, maka perbuatannya itu adalah ibadah yang berhak diberi pahala.

Sahabat Nabi pernah bertanya: Wahai Rasulullah, Apakah kalau kami melepaskan keinginan syahwat juga akan mendapat pahala? Lantas Rasulullah menjawab :

أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِى حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِى الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ


Apakah kalau dia lepaskan pada yang haram, dia juga akan beroleh dosa? Maka begitu jugalah halnya kalau dia lepaskan pada yang halal, dia pun akan beroleh pahala.”

[HR Muslim di dalam Sahih Muslim: 1006]

Demikianlah keadaannya pada amalan kebaikan orang Islam yang disertai niat yang baik. Amalannya diterima Allah dengan diberi ganjaran pahala yang bersesuaian. Manakala, perkara haram akan tetap menjadi haram sekalipun orang yang melakukannya berniat baik.

NIAT TIDAK MENGHALALKAN CARA

Islam selama-lamanya tidak mengakui perbuatan menjadikan perkara yang haram itu sebagai jambatan untuk mencapai matlamat yang terpuji.

Islam memelihara kemuliaan tujuan dan jalan melakukannya secara serentak. Islam tidak mengakui sama sekali prinsip: “Matlamat menghalalkan cara.” atau: “Untuk menuju kebenaran. Tidak mengapa jika bergelumang dengan banyak kebatilan.” Malah, Islam mengatakan, untuk menuju matlamat yang benar mestilah melalui cara yang benar juga.

Sesiapa yang mengumpul harta dengan riba, maksiat, permainan yang diharamkan, judi atau apa sahaja amalan yang diharamkan untuk membina masjid atau untuk projek-projek kebajikan atau sebagainya, maka ia tidak menjadi syafaat sekalipun niat tujuannya adalah baik.

Orang yang melakukan perkara tersebut juga tidak akan dapat menghapuskan dosanya dengan melakukan hal demikian. Perkara yang diharamkan tidak terkesan dengan niat dan tujuan yang baik.

Rasulullah pernah berkata :

أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ ( يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّى بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ) وَقَالَ (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ) ». ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِىَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ ».


"Sesungguhnya Allah itu baik, Ia tidak hendak menerima kecuali yang baik juga. Allah pun memerintah kepada orang mu'min seperti halnya perintah kepada para Rasul." Kemudian bagida membaca ayat:

"Hai para Rasul! Makanlah dari yang baik-baik (halal) dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa saja yang kamu perbuat." (al-Mu'minun: 51)

"Hai orang-orang yang beriman! Makanlah dari barang-barang baik yang telah Kami berikan kepadamu." (al-Baqarah: 172)

"Kemudian ada seorang lelaki yang datanq dari tempat yang jauh, rambutnya tidak terurus penuh dengan debu. Dia mengangkat kedua tangannya ke langit sambil berdoa: yaa rab, yaa rab (hai Tuhanku, hai Tuhanku), padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan barang yang haram pula, maka bagaimana mungkin doanya itu dikabulkan?"

[HR Muslim di dalam Sahih Muslim: 1015]

KEMUSYKILAN : BENARKAH IMAM SYAFIIE MENYURUH LAFAZ NIAT?

Masyhur Hasan Salman menulis dalam bukunya : Al-Qaulul Mubin Fi Akhta`ul Mushollin, bahawa Abu Abdullah Az-Zubairy telah tersalah faham dari kata-kata Imam Asy-Syafie. Abu Abdullah menyangka bahawa Imam Asy-Syafie mewajibkan lafaz niat pada sembahyang.

Sebab salah faham tersebut adalah : lemah kefahamannya terhadap ibarat yang diberikan oleh Imam Asy-Syafie.

Bagi menjelaskan perkara tersebut, ayuh kita melihat buku yang popular dalam Mazhab Asy-Syafie, iaitu Al-Majmuk. Buku ini ditulis oleh Imam An-Nawawi.

Buku tersebut merekodkan pandangan Imam Nawawi :

“Para ulama telah bersepakat bahawa: Sembahyang tidak sah melainkan (disertai) dengan niat.. Sekiranya seseorang berniat dalam hatinya maka telah memadai menurut mazhab, dan itu juga yang diputuskan oleh majoriti ulama. Di sana terdapat pandangan yang disebutkan oleh penyusun, dan juga disebutkan oleh yang selain itu.

Telah berkata pemilik (kitab) Al-Haawi, dan ia adalah kenyataan Abi Abdulah Az-Zubairy, bahawa tidak mamadai (dengan hanya berniat di dalam hati) sehinggalah bergabungnya niat hati dan lafaz dengan lidah, kerana Asy-Syafie pernah berkata dalam (permasalahan) haji:

Jika seseorang itu berniat untuk mengerjakan haji atau umrah, maka ia sudah memadai, walaupun ia tidak dilafazkan. Tidak seperti sembahyang, yang tidak dianggap sah melainkan dengan “an-Nutq”.

Ashab (mazhab) kita telah berkata : Orang yang mengatakan (kenyataan) ini telah salah. Asy-Syafie tidak memaksudkan (An-Nutq) dengan melafazkan (niat) dalam sembahyang, bahkan dia menghendaki maksud: Takbir (takbiratul ihram).

Sekiranya seseorang itu melafazkan (niat) dengan lidahnya, tapi tidak berniat di hatinya, maka tidak sah sembahyangnya secara sepakat para ulama. Walaupun dia berniat dihatinya untuk sembahyang zohor, tetapi lidahnya berkata sembahyang Asar, maka sah sembahyang Zohornya.”[7]

Dengan itu jelas kepada kita bahawa, Imam Asy-Syafie tidak mewajibkan lafaz niat. Lagipula, lafaz niat dan hakikat niat itu sendiri adalah dua perkara berbeza.

IBNU QAYYIM MEMPERTAHANKAN ASY-SYAFIE

Ibnu Qayyim pernah berkata:

“Apabila Rasulullah bangun untuk bersembahyang, baginda melafazkan ((Allahu Akbar)). Baginda tidak berkata apa-apapun sebelumnya, mahupun sesudahnya sedikitpun. Baginda tidak berkata: ‘Aku bersembahyang ini (contoh zohor, asar, dll –pent) kerana Allah, dengan menghadap kiblat, sebanyak empat rakaat selaku Imam, atau makmum”. Baginda juga tidak berkata : tunai atau ganti (qadha`), tidak juga kefardhuan waktu. Semua itu adalah bidaah (perkara yang diada-adakan). Tidak pernah dinukilkan dari siapa pun dengan sanad yang sahih, lemah (dhaif), musnad (bersambung sanadnya), ataupun mursal (ada perawi yang gugur dalam sanadnya) satu perkataan pun tentangnya. Bahkan, tidak juga dinukilkan dari seorang sahabat nabi, para tabiin, dan Imam mazhab empat.

Pendapat ini muncul akibat sebahagian ulama lampau yang tersilap faham dari kenyataan Asy- Syafie ra dalam perihal sembahyang: (katanya) ‘Sembahyang tidak sama seperti puasa, tidak ada seorang pun yang memasuki sembahyang melainkan dengan zikir. Mereka menyangka zikir itu adalah lafaz niat orang yang ingin bersembahyang, sedangkan Asy-Syafie rh menghendaki maksud zikir itu dengan takbiratul Ihram, tidak selain itu.

            Bagaimana Asy-Syafie akan menggalakkan sesuatu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah sekalipun? Tidak juga dilakukan oleh para pengganti (khulafa`) baginda, tidak juga para sahabat-sahabatnya. Demikianlah petunjuk mereka dan jalan hidup mereka.

            Sekiranya ada yang datang dari mereka itu satu huruf pun tentang perkara tersebut, pasti kita menerimanya. Kita akan menerimanya dengan penuh rela, tiada petunjuk yang lebih sempurna melainkan petunjuk mereka. Tiada satu sunah pun melainkan apa yang diambil dari Rasulullah.”[8]

_________________________
[1] Al Bukhari: Bagaimana (Bermulanya wahyu kepada Rasulullah s.a.w), jilid 1: m/s 2, di dalam kitab Iman bab (Perbahasan berkenaan setiap amalan berdasarkan niat dan dikira dan bagi setiap seseorang itu apa yang dia niatkan), jilid 1: m/s 21, di dalam kitab Pembebasan (hamba) bab (Tersalah di dalam membebaskan (hamba) atau talaq dan seumpamanya), jilid 3:m/s 190, di dalam kitab kelebihan Nabi s.a.w bab (Hijrah Nabi s.a.w dan para sahabat ke Madinah), jilid 5: m/s 72, di dalam kitab Nikah bab (Sesiapa yang berhijrah atau melakukan kebaikan kerana hendak bernikah dengan seseorang perempuan maka baginya apa yang dia niatkan), jilid 7: m/s 4, di dalam kitab Sumpah Dan Nazar bab (Niat di dalam bersumpah), jilid 8: m/s 175, di dalam kitab Helah-Helah bab (Pada meninggalkan berhelah dan bagi setiap individu itu apa yang dia niatkan), jilid 9: m/s 29. Muslim: Di dalam kitab Pemerintahan bab (Sabda Rasulullah s.a.w setiap amalan berdasarkan niat dan masuknya seseorang…..) dengan lafaz ini, jilid 4: m/s 571, beliau berkata, bersabda Rasulullah s.a.w- berdasarkan niat- bagi seseorang itu apa yang dia niatkan. Abu Daud: Di dalam kitab Nikah bab (tentang apa yang dimaksudkan dengan lafaz Talaq dan niatnya) dengan lafaz ini, jilid 2: m/s 262, hadis ke 2201, An Nasai: Di dalam kitab Bersuci bab (Niat di dalam wudhu) dengan lafaz ini, jilid 1:m/s 58, beliau berkata: bersabda Rasulullah s.a.w-berdasarkan niat- sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang dia niatkan, kerana Allah kerana RasulNya maka hijrahnya kerana Allah dan kerana RasulNya, atau perempuan yang akan dia kahwini. At Tirmizi: Di dalam bab-bab Kelebihan jihad, bab (perbahasan mengenai seseorang yang berperang kerana menunjuk-nunjuk dan kerana dunia), jilid 4: m/s 179. Beliau berkata: Bersabda Rasul s.a.w-berdasarkan niat dan bagi seseorang itu apa yang dia niatkan-kerana Allah dan kerana RasulNya. Hadis Hasan Sahih. Ibnu Majah: Di dalam kitab Zuhud bab (niat), jilid 2: m/s 1413, hadis ke 4227.

[2] Akhbar Al Madinah: Nama sebuah kitab karangan Az Zubair bin Bakar bin Abdullah Al Qurasyi Al Asadi Al Makki, lahir 172H/788M dan meninggal dunia pada tahun 256H/870M. Beliau merupakan keturunan Az Zubair bin Al Awwam, Abu Abdullah, seorang yang alim di dalam bidang nasab keturunan dan cerita-cerita tentang orang arab, beliau lahir di Madinah dan mempunyai banyak karya penulisan. (Al A’lam, jilid 3: m/s 74).

[3] Di dalam naskhah Andalus tertulis (bin Ali).

[4] Di dalam naskhah Halab tertulis (Malbiyyah). Mulabbah bermaksud: seseorang itu dilingkarkan kain atau apa sahaja di lehernya kemudian ditarik.

[5] Khum: Satu mata air atau kolam di Khum, suatu tempat yang jauhnya 3 batu di Juhfah di antara dua Tanah Haram. (Al Muhit, jilid 4: m/s 109).

[6] Lihat : Ihkam al ahkam 1: 11, Majmu’ al Fatawa 18: 253, 20:222, Tadrib al Rawi 2: 929, Jami’ al Ulum wa al Hikam 1:74,75, Fath al Bari 1:24, al Ta’sil 1: 73.

[7]   Rujuk : Al-Majmuk,-Kitabus Sholah- jilid 3, m/s 241, cetakan Maktabah Irsyad, Makkah.

[8] Ruj: Zaadul Ma`aad, jilid 1, m/s: 201