Semalam, selepas menyampaikan kuliah kitab ar-Rahiq al-Makhtum di Masjid al-Mustaqim, Ampang, saya bersembang dengan seorang sahabat tentang beberapa perkara. Beliau nyatakan bahawa dia mempunyai 2 orang adik yang sedang belajar di Jordan. Seorang tahun 3, seorang lagi tahun 1. Allah sedang uji mereka dengan kejatuhan mata wang Malaysia yang hampir mencecah JD 1 = RM 6. Ketika itu saya hanya berdoa semoga Allah mudahkan urusan mereka sekeluarga.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya dan isteri berbincang bagaimana kami mahu membantu mereka. Jika ditebalkan huruf ‘DUIT’, maka kami belum mampu kerana kita berada di dalam kesempitan yang sama. Tetapi kami memikirkan beberapa cadangan lain yang lebih menarik!

1. Freelance Penterjemah Kitab

Saya bersama Komuniti Penterjemah Antarabangsa – Malaysia telah bergerak selama 2 tahun untuk menghasilkan sebanyak-banyaknya terjemahan tempatan berbahasa Melayu (Malaysia). Tetapi kami kekurangan tenaga, kami memerlukan freelance. Mungkin pelajar-pelajar yang belajar di Timur Tengah dapat mengisi kekosongan tersebut.

Kami akan buat bayaran terjemahan secara profesional serta memberikan jadual dan panduan terjemahan yang memudahkan pelajar. Jangan bimbang, kami mempunyai panel penyemak daripada tenaga pakar.

Jika pelajar-pelajar berkenaan berminat, sila emailkan resume ke email berikut. Saya akan berikan percubaan terjemahan terlebih dahulu untuk mengenalpasti tahap kualiti terjemahan. Emailkan ke: mutarajimin@gmail.com dan CC kepada: syihabudinpenulis@gmail.com

2. Penulis Buku-Buku Agama

Ketika di Mesir, saya menampung pengajian dengan menulis buku. Alhamdulillah, penerbit bersetuju membuat bayaran royalti setiap 6 bulan. Jadi, saya berfikir kaedah ini sangat bagus untuk membantu pelajar memandangkan kami memerlukan penulis-penulis di dalam kategori agama.

Bayaran royalti sebenarnya tidak banyak membantu penulis-penulis baharu. Lebih baik ambil bayaran sekaligus. Maka kami bersedia memberikan bayaran seumpama itu.

Tetapi, kategori penulisan tidak terbuka luas. Ia terhad kepada penulisan berunsur agama sahaja. Kami tidak menerbitkan novel atau cerpen.

Menarik! Saya mahu lebih membantu pelajar-pelajar  dengan memberikan judul-judul yang memang kami mahu terbitkan. Jadi, anda cuma perlu ambil judul daripada kami, kemudian buat rangka penulisan dan hantar. Kami akan berikan cadangan dan penambah baikan. Setelah itu, mulakan menulis dan hantar segera!

Menarik! Jika pelajar-pelajar tidak yakin dengan penulisan sendiri, maka ayuh kita berkolaborasi! Saya akan cuba baiki penulisan anda berdasarkan sedikit kemahiran penulisan. Kemudian kita terbitkan dengan nama kita bersama. Hasil ‘tong-tong’ yer..

Jika berminat, terus berhubung dengan saya melalui email: syihabudinpenulis@gmail.com atau facebook: Syihabudin Ahmad (Abu Dehyah).

Akhirnya,

Saya berharap dua perkara di atas mampu membantu pelajar-pelajar kita yang sedang bertukus lumus menuntut ilmu di Timur Tengah.

_________________
Syihabudin Ahmad,
Saujana Utama, Sungai Buloh,
19.08.2015