• (الجَبَائِر) : Perkataan jama` bagi (جَبِيرَة). Ia ialah pembalut yang dipakaikan di atas anggota yang patah supaya ia sembuh semula.
  • (العَصَائِب) : Perkataan jama` bagi (عِصَابَة). Ia ialah pembalut yang dipakaikan di atas anggota yang luka bagi melindunginya daripada kotoran sehingga ia sembuh.

Apabila diiktiraf  bahawa Islam ialah agama yang memudahkan penganutnya serta mengambil berat isu ini, maka ia mensyariatkan hukum-hukum yang mengandungi kesepaduan diantara menunaikan ibadat serta memelihara keselamatan manusia.

Hukum Hakam Belat dan Barut

Kadangkala seorang pesakit yang cedera dengan luka atau patah perlu dipakaikan pembalut dan ubat di atas luka dan tempat patah berkenaan. Kadangkala ia tidak diperlukan.
Sekiranya dia perlu dipakaikan pembalut, maka dia hendaklah mematuhi 3 perkara berikut:

  • Œ  Dia hendaklah membasuh kawasan yang elok.
  •   Dia hendaklah menyapu di atas pembalut berkenaan iaitu pada belat atau barut itu secara keseluruhannya.  
  • Ž  Ketika berwuduk, dia hendaklah bertayammum bagi menggantikan basuhan ke atas anggota wuduk yang cedera.

Sekiranya dia tidak memerlukan balutan pada anggota yang patah atau luka berkenaan, maka wajib baginya untuk membasuh anggota berkenaan. Serta bertayammum bagi tempat yang luka apabila tidak mampu mengenakan air. Wajib baginya untuk mengulang-ulang tayamum bagi setiap solat fardhu sekalipun tidak berhadas. Tetapi tidak diwajibkan kepadanya untuk membasuh anggota-anggota lain melainkan apabila berhadas sahaja.

Dalil Pensyariatan Sapuan Ke Atas Belat

Dalil bagi pensyariatan sapuan ke atas belat adalah hadis daripada Abu Daud (336)[1] daripada Jabir RA, beliau berkata: Kami keluar di dalam satu permusafiran. Lalu seorang lelaki telah cedera kerana tertimpa batu sehingga kepalanya terkoyak. Setelah itu, dia bermimpi (basah). Dia bertanya para sahabat: “Adakah kalian mendapati sebarang keringanan (untukku supaya) bertayammum?”. Para sahabat beliau menjawab: “Kami tidak menemui keringan padamu. Sedangkan engkau masih lagi boleh menggunakan air”. Lelaki berkenaanpun mandi kemudian dia meninggal dunia.

Apabila isu berkenaan dibawa kepada Nabi SAW, baginda bersabda:

«قَتَلُوهُ قَتَلَهُمُ اللَّهُ أَلَا سَأَلُوا إِذْ لَمْ يَعْلَمُوا فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ، إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيهِ أَنْ يَتَيَمَّمَ وَيَعْصِرَ - أَوْ» يَعْصِبَ « َعلَى جُرْحِهِ خِرْقَةً، ثُمَّ يَمْسَحَ عَلَيْهَا وَيَغْسِلَ سَائِرَ جَسَدِهِ»

Kalian telah membunuhnya, nescaya Allah akan membunuh kalian. Bukankah kalian sepatutnya bertanya apabila tidak tahu? Sesungguhnya ubat bagi ketidakfahaman ialah pertanyaan. Cukup bagi lelaki berkenaan sekadar bertayamum dan membalut lukanya dengan kain perca. Kemudian dia menyapu di atasnya. Setelah itu dia mandi (dengan air) ke seluruh tubuhnya.

Ulasan:

Di dalam Mausu`ah Fiqhiyah disebutkan[2]: Para ulama fikah telah bersepakat tentang pensyariatan menyapu di atas belat dalam keadaan uzur bagi menggantikan mandi wajib dan sapuan sebenar di dalam wuduk, mandi, dan tayamum.

Menurut pendapat Jumhur Ulama', (Maliki, Syafie, Hanbali) menyapu di atas balutan  (الجبائر/الْجَبِيرَةُ) dengan air adalah WAJIB supaya menggunakan air setakat yang mampu. Ia diQIASkan kepada menyapu KHUF kerana kedua-duanya dilakukan kerana darurat, bahkan menyapu balutan lebih besar kadar daruratnya.

Menurut Syaikh Ben Bazz rahimahullah hadis-hadis menyapu balutan ini boleh digabungkan dengan hadis-hadis yang membolehkan menyapu khuf bagi menunjukkan dibolehkan menyapu balutan. Sekiranya menyapu khuf dibenarkan bagi mereka yang sihat tentu sekali menyapu balutan bagi mereka yang tercedera adalah lebih patut dibenarkan dalam rangka memberi kemudahan.

Tempoh Kebenaran Sapuan Keatas Belat & Barut

Tidak ada tempoh khusus bagi sapuan ke atas belat dan barut. Bahkan, sapuan itu berterusan selagimana wujud keuzuran. Apabila keuzuran telah hilang dengan luka telah sembuh serta patah telah kembali pulih maka terbatallah hukum sapuan dan wajiblah baginya mandi. Sekiranya dia berwuduk maka batallah sapuan dan dia wajib menyapu anggota wuduk yang wajib disapu serta membasuh pada anggota yang wajib dibasuh.

Hukum untuk belat adalah sama. Sama ada bersuci untuk hadis kecil atau besar melainkan bagi hadas besar, apabila batal hukum sapuan maka wajib membasuh tempat yang dibalut dengan barut atau belat. Tidak wajib untuk membasuh anggota lain.

Wajib bagi orang yang memakai belat untuk Qada solat pada keadaan berikut:

  • Œ  Memakai belat ketika berhadas[3] dan tidak boleh menanggalkannya.
  •   Memakai belat pada anggota tayammum iaitu muka dan kedua-dua tangan.
  • Ž  Memakai belat melebihi kadar balutan anggota yang sepatutnya.  [4]

Ulasan

Syarat-syarat Menyapu Balutan (الجبائر/الْجَبِيرَةُ)

1. Balutan itu tidak boleh dibuang, atau sekiranya dibuang dan dibasuh dibimbangi akan membawa kepada kesakitan atau bertambah sakit atau melambatkan sembuh. Hukumnya sama dengan masalah tayammum.

Ulama' Maliki berpendapat seandainya dibimbangi boleh menyebabkan kematian atau kemudharatan yang teruk, maka hukum menyapu di atas balutan ini menjadi WAJIB.

2. Tidak membasuh atau menyapu tempat itu sendiri disebabkan kemudharatan.

Jika menyapu tempat tersebut boleh dilakukan dan tidak membawa mudharat, maka tidak harus menyapu ke atas balutannya, tetapi hendaklah disapu tempat luka itu sendiri jika tidak mendatangkan mudharat.

3. Hendaklah balutan itu tidak melebihi kawasan yang perlu.

4. Balutan tersebut hendaklah dipasang dalam keadaan seseorang itu telah BERSUCI dengan air. Jika tidak, solatnya WAJIB diulang, menurut ulama Syafie dan Hanbali.

Alasan mereka ialah kerana menyapu di atas balutan lebih utama daripada menyapu di atas KHUF kerana ia berasaskan keadaan darurat. Menyapu di atas KHUF disyaratkan memakainya dalam keadaan SUCI (Berwuduk atau telah mandi wajib). Maka, begitulah juga syarat bagi menyapu balutan ini.

Jika balutan itu diikat semasa dalam keadaan TIDAK SUCI, maka balutan itu perlu dibuka untuk membasuh anggota di bawahnya, jika tidak dibimbangi mendatangkan mudharat. Jika bimbang boleh membawa maut atau bahaya, maka hendaklah berTAYAMMUM untuk ganti anggota yang dibalut tadi. Tapi, sekiranya, balutan itu meliputi semua kws tayammum (muka dan dua tangan), maka Ulama Hanafi berpendapat, kewajipan Tayammum itu gugur (Tidak perlu Tayammum). Ulama Syafie pula berpendapat, dia hendaklah solat semula, kedudukannya sama dengan mereka yang tidak mempunyai kedua-dua alat bersuci (Wudhuk dan Tayammum).

Ulama Maliki dan Hanafi pula tidak mensyaratkan balutan itu dipakai ketika dalam keadaan suci. Oleh itu, sama ada dipakai dalam keadaan suci atau berhadas (kecil/besar), maka dia harus (boleh) menyapunya dan tidak perlu mengulangi solatnya. Kerana kecederaan boleh berlaku secara tiba-tiba sama ada ketika suci atau berhadas. Oleh itu, dengan meletakkan syarat supaya dibalut ketika dalam keadaan suci dikira menjadi satu kesukaran dan kepayahan.

5. Balutan itu bukan benda yang diharamkan (spt sutera bagi lelaki) dan bukan najis (spt kulit bangkai atau kain yang bernajis). Jika tidak, menyapu balutan itu menjadi tidak sah dan solat juga tidak sah. Syarat ini disisi ulama Hanbali.

Mengulangi Solat Selepas Sembuh

Ulama' Maliki dan Hanafi yang tidak mewajibkan balutan dilakukan ketika Suci, tidak mewajibkan mengulang solat semula apabila telah sembuh.

Sementara ulama Syafie dan Hanbali yang mensyaratkan balutan mesti dilakukan ketika suci, mewajibkan mengulangi semula solat yang telah dikerjakan.

Perkara yang membatalkan Sapuan atas Balutan

1. Apabila balutan dibuang atau tercabut.

Ulama Syafie ; Sekiranya ia tercabut ketika sedang solat, maka solatnya batal sama ada dia telah sembuh atau belum. Kedududukannya sama spt Khuf, begitu juga apabila dia telah sembuh, keadaan sucinya terbatal. Tetapi, jika ia tercabut, sedangkan dia belum sembuh, maka dia bolehlah mengenakan semula balutan tersebut dan hanya perlu menyapunya semula sahaja, kemudian solat semula.

Ulama Maliki ; Sekiranya ia tercabut ketika sedang solat, maka solatnya batal. Balutan tersebut perlu dipakai dengan segera  dan menyapu semula dengan tidak berselang masa yang lama, kemudian solat semula. Jika ketika  ia tercabut atau untuk menukar bulatan lain,  dia masih belum sembuh, hendaklah dia menyapu semula balutan tersebut. Tetapi, jika sudah sembuh, maka hendaklah dia membasuh tempat berkenaan serta merta.

Ulama Hanafi ; Sekiranya ia tercabut ketika sedang solat dan dia belum sembuh, maka solatnya tidak batal. Hukum menyapunya tidak batal, kerana keuzurannya masih wujud. Dalam tempoh kecederaannya, dia boleh menukar balutan dengan yang lain dan tidak wajib menyapu semula di atasnya, tetapi lebih baik disapu semula. Tetapi sekiranya ia tercabut ketika sedang solat dan dia telah sembuh, maka solatnya batal. Maka dia wajib memulakan solatnya semula dengan wudhuk yang sempurna kerana keuzuran telah tiada. Ringkasnya, keharusan menyapu balutan sebagai gantian wudhuk TERBATAL apabila balutan tersebut tercabut ketika kecederaan telah sembuh kerana keuzurannya telah hilang.

Ulama Hanbali ; Tercabut balutan sama hukumnya apabila kecederaan tersebut telah sembuh walaupun kecederaaan/luka tersebut belum sembuh. Keadaannya samalah seperti orang yang telah tercabut khufnya, sapuannya,kesuciannya dan solatnya semuanya terbatal dan perlu diulang semula. Dalam kes wudhuk pula, jika balutan terbuka sedangkan kecederaan belum sembuh, dia perlu berwudhuk dan bertayammum semula. tetapi, jika keceraan telah sembuh, dia hendaklah berwudhuk sahaja.

2. Berhadas.

Mengikut jamhur ulama' sapuan atas balutan batal apabila berhadas. Jadi, dia hendaklah menyapu semula apabila ingin solat.

Isu Hadis

Disebabkan hadis-hadis dalam perkara ini sangat daif, maka terdapat ulama fekah yang berpegang kepada tidak wujud hukum sapuan atas balutan patah atau luka. Sebaliknya anggota yang cedera, atau dibalut tersebut tidak perlu sebarang sapuan atau basuhan kerana telah gugur kewajipan syarak ke atas anggota tersebut. Ini pendapat yang dikemukakan oleh al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (wafat 456H).

Kata Ibn Hazm ketika memberikan alasan pandangannya : “Dalilnya firman Allah:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak bebankan kepada seseorang kecuali apa yang dia terdaya”.

(Al-Baqarah: 286)

Juga sabda Nabi s.a.w:

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُم

“Apabila aku perintahkan kamu dengan sesuatu perintah, maka datangilah ia dengan kadar kemampuan kamu”

(HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 7288)

Berdasarkan dalil al-Quran dan al-Sunnah, sesuatu kewajipan gugur apabila yang seseorang tidak mampu. Maka gantian kepada yang gugur itu hendaklah berasaskan syarak. Syarak pula tidak wajib diikuti kecuali adanya dalil daripada al-Quran atau sunnah. Namun, tiada dalil al-Quran atau sunnah yang menggantikan basuhan dengan sapuan atas balutan patah atau ubat bagi anggota yang tidak mampu dibasuh”.

(Ibn Hazm al-Andalusi, Al-Muhalla, jld 1, m.s. 316,
Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah t.t)

Kritikan terhadap Qiyas:

Qiyas hanya boleh dilakukan apabila suatu yang far’u (cabang) iaitu peristiwa yang tidak ada nas akan hukumnya (dalam hal ini menyapu balutan) disamakan dengan asal (pokok) iaitu suatu peristiwa yang sudah ada nas tentang hukumnya (dalam hal ini menyapu khuf) yang jelas (hukum asal). Apabila far’u dan ashal memiliki ‘illat yang sama iaitu suatu sifat yang terdapat pada kedua-dua asal dan far’u barulah qiyas dapat dilakukan. Ternyata menyapu khuf dan balutan mempunyai struktur hukum yang berbeza. Menyapu khuf adalah satu perkara yang optional (berbentuk pilihan) manakala hukum menyapu balutan menurut jumhur ulamak adalah wajib. Oleh itu tidak boleh kita menqiyaskan menyapu balutan dengan hadis-hadis menyapu khuf.

Ringkasan

Salah satu dari pendapat di atas boleh untuk diamalkan dan lebih mudah dari seseorang yang terikat dengan pendapat yang agak susah untuk diamal sehingga akhirnya dia tidak menunaikan solat. Pendapat al-Imam Ibn Hazm lebih praktikal secara hujah dan perbandingan. Memudahkan hal ini adalah baik daripada memberikan pendapat yang menyusahkan pesakit sehingga kemungkinan mereka meninggalkan solat.

Soal Jawab Bersama Ustaz Ahmad Adnan Fadzil[5]

1. Jika seseorang itu luka, bagaimana caranya untuk ia bersuci?

Orang yang sakit atau luka, jika ia dapat membasuh atau memandikan dengan air sebahagian anggotanya, maka bahagian itu wajib dibasuh dengan air ketika ia mengambil wudhuk atau mandi. Adapun kawasan yang tidak dapat dibasuh dengan air –kerana takut membawa kerosakan atau mudarat- hendaklah diganti dengan tayammum (yakni dengan menyapu debu ke muka dan tangan). Ini adalah pandangan Imam Ahmad dan Imam Syafi’ie.

Menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Malik; toharah adalah dengan salah satu sahaja iaitu dengan air (yakni wudhuk atau mandi) atau dengan tanah (yakni tayammum). Tidak wajib menggabungkan keduanya. Oleh demikian, menurut pandangan kedua ini; jika kebanyakan badan adalah elok dan dapat dibasuh dengan air, memadai dengan membasuh kawasan yang elok/sihat itu dan tidak perlu kepada tayammum. Dan kalau kebanyakan badan adalah sakit/luka, cukup dengan tayammum sahaja, tidak perlu lagi wudhuk atau mandi.

2. Orang yang mengalami luka pada badannya atau patah tulang anggotanya dan terpaksa dibalut, diplaster atau disimen di mana ia tidak dapat ditanggalkan (termasuk semasa ingin mengambil wudhuk), bagaimana caranya ia hendak mengambil wudhuk atau mandi?

Bagi kes tersebut, diberi kelonggaran untuk menyapu air di atas kain balutan atau plaster atau simen yang dipakainya. Orang yang menghadapi masalah sedemikian, ia hendaklah melakukan tindakan berikut semasa mengambil wudhuk;

Pertama; Hendaklah ia membasuh dan meratakan air sebagaimana biasa ke kawasan-kawasan yang sihat (tidak sakit) dari anggota wudhuknya.

Kedua; Bagi kawasan yang berbalut pula, wajib ia menyapu air ke atasnya. Menurut Imam Abu Hanifah; memadai dengan menyapu sebahagian besar balutan. Namun jumhur ulamak (iaitu Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) berkata; “Wajib disapu air meliputi seluruh balutan”.

Jika ia mandi wajib, hendaklah ia mandi sebagaimana biasa iaitu dengan meratakan air ke seluruh badannya yang sihat (yakni yang tidak berbalut). Adapun kawasan yang sakit (yakni yang berbalut) hendaklah disapukan air ke atas balutan secara menyeluruh atau sebahagian besar darinya mengikut pandangan ulamak tadi. Apabila ia sembuh nanti, tidak diwajibkan ia mengulangi semula mandi wajibnya. Ia hanya diwajibkan membasuh / memandikan anggota-anggota yang berbalut sahaja.

Adakah wajib disertai dengan tayammum?

Mengenai soalan ini, para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut mazhab Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad; tidak wajib lagi bertayammum. Memadai membasuh kawasan yang sihat dan menyapu air di atas balutan bagi kawasan yang sakit. Tidak perlu bertayammum.

2. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; wajib disertai dengan tayammum. Berdasarkan mazhab Syafi’ie, orang yang memakai balutan ia hendaklah melakukan tiga perkara semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib;

a) Membasuh kawasan yang sihat (tidak sakit atau cedera)
b) Menyapu air ke atas balutan dengan meratakannya
c) Bertayammum; bagi mandi wajib, cukup dengan sekali tayammum sahaja sama ada sebelum mandi atau selepasnya. Adapun bagi wudhuk, ada dua pandangan; (Pandangan pertama); wajib bertayammum mengikut bilangan anggota wudhuk yang berbalut untuk menjaga tertib yang disyaratkan dalam wudhuk. (Pandangan kedua); cukup sekali tayammum sahaja iaitu sebelum wudhuk atau selepasnya. Pandangan yang rajih dalam mazhab ialah yang pertama.

3. Mengikut mazhab Imam Ahmad; wajib tayammum hanya jika balutan melebihi kawasan yang perlu, yakni kawasan yang sakit atau cedera. Jika balutan hanya membalut kawasan sakit tanpa menyentuh kawasan yang sihat, tidak perlu bertayammum, cukup dengan menyapu air ke atas balutan sahaja.

Adakah wajib memakainya setelah bersuci?

Ada dua pandangan ulamak;

Pandangan pertama; wajib balutan atau palster atau simen itu dipakai setelah bersuci iaitu setelah mengambil wudhuk atau setelah mandi wajib. Jika tidak, maka solat yang ditunaikan sepanjang memakai balutan atau simen atau plaster itu wajib diulangi semula apabila sembuh nanti. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad.

Pandangan kedua; tidak wajib bersuci terlebih dahulu sebelum memakainya. Dalam pengertian yang lain; tidak disyaratkan pemakaian balutan atau simen atau plaster itu dibuat setelah mengambil wudhuk atau mandi wajib terlebih dahulu. Sekalipun seseorang memakai balutan atau simen dalam keadaan tidak berwudhuk, harus baginya menyapu atas balutan atau simen itu semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib dan tidak perlu ia mengulangi solatnya apabila sembuh. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.

Berapa lamakah tempoh diizinkan menyapu balutan?

Keizinan dari Syarak untuk menyapu balutan tidak ada tempoh masa tertentu. Ia bergantung kepada tempoh kesembuhan luka atau patah. Selagi luka atau patah belum sembuh dan balutan masih perlu dipakai, maka selagi itu keharusan menyapu di atas balutan berterusan. Apabila sakit telah sembuh dan balutan dapat dibuka, hilanglah keharusan tersebut dan wajib mengambil wudhuk atau mandi wajib sebagaimana asalnya.


________________________

[1] Hadis riwayat Imam Abu Daud di dalam Sunannya, Kitab at-Thohaarah. Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani di dalam Bulughul Maram, no: 115 sanadnya dha’if dan juga didha’ifkan oleh Syaikh al-Albani di dalam Dha’if Abu Dawud, no: 236.
[2] Jilid 15, 107
[3] Sama ada hadas kecil atau besar.
[4] Solat tidak perlu diulang apabila ;
1. Apabila balutan itu dibuat selain drp anggota tayammum dan tidak pula menutupi bahagian yang tidak sakit, walaupun dipakai ketika berhadas.
2. Apabila balutan tersebut selain anggota tayammum dan dipakai sewaktu suci wlpn melebihi kadar yang perlu.
[5] http://fiqh-am.blogspot.com/2008/06/bersuci-cara-bersuci-orang-luka-dan.html