Artikel ini mengumpulkan beberapa fatwa ulama di dalam isu Solat Musafir.

Mufti 1: Syeikh Muhammad Abu Zahrah[1]

S1: Apakah sebab Qasar solat bagi orang yang bermusafir?

Jawapan: Telah sabit qasar solat ketika musafir berdasarkan hadis Nabi SAW sehingga al-Hanīfiyyah menyatakan: Solat pernah disyariatkan sebanyak dua rakaat. Kemudian ia masih kekal dua rakaat pada solat musafir, namun ia ditambah pada solat al-Haḍhar.

S2: Sekiranya satu kumpulan bermusafir untuk haji secara berjalan kaki, adakah harus bagi mereka untuk qasar solat? Adakah harus juga bagi mereka untuk berpuasa ketika dalam musafir ini?

Jawapan: Harus bagi orang yang bermusafir dengan berjalan untuk qasar solat serta harus juga baginya untuk berpuasa sekiranya dia mampu. Namun Allah berfirman:

وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ ... ٧٨

... dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. ...

(Al-Haj: 78)

Maka lebih baik (Aulā) untuk menyibukkan diri dengan perbuatan yang digunakan oleh orang lain. Dia berhaji sepertimana orang lain mengerjakan haji. Amalan tersebut juga adalah ibadah dan memberi manfaat kepada umat Islam.

S3: Allah berfirman:
وَإِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَقۡصُرُواْ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ ...١٠١

Dan apabila kamu bepergian di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu men-qashar sembahyang(mu), …

(An-Nisa’: 101)

Adakah qasar solat lebih baik (Afḍhal) atau menyempurnakannya?

Jawapan: Sebahagian ulama’ menyatakan bahawa farḍhu ketika bermusafir ialah solat dua rakaat, sebahagian yang lain pula menyatakan bahawa ia adalah berdasarkan kepada pemilihan daripada musafir berkenaan: Sekiranya orang berkenaan memilih rukhsah, maka kewajipanya ialah dua rakaat. Sekiranya dia memilih `Azimah, maka kewajipan baginya ialah empat rakaat. Allah suka memberikan rukhsah sepertimana dia suka memberikan `azimah. Urusan al-Afdhaliyyah adalah pada diri musafir daripada sudut kesusuahan (al-Masyaqqah) dan kesenangan (al-Yusr).
S4: Kami mempunyai rakan yang tinggal di Khourtoum. Ketika beliau datang kepada kami yang tinggal tidak sampai 16 KM dari Khourtoum, beliau mengqasarkan solat. Apabila kami bertanya lalu beliau menjawab dengan jawapan yang tidak menyenangkan. Kami harapkan satu jawapan yang tepat dalam urusan ini.

Jawapan: Para sahabat berkenaan tidak boleh qasar solat kerana jarak 16KM tidak mencukupi jarak yang membolehkan qasar.

S5: Saya adalah seorang pekerja di Syarikat an-Nasr pembuatan kenderaan. Pernah waktu hampir habis lalu saya menjama` di antara zohor da `Asar serta Maghrib dan Insyak. Adakah ini dibolehkan?

Jawapan: Imam Ahmad mengharuskan jama` di antara dua waktu ketika dalam uzur.

Mufti 2: Yusuf al-Qaraḍhawi[2]

S6: Adakah harus bagiku untuk mengumpulkan (Jama`) antara dua solat iaitu Zohor dan Asar kerana menghadiri kenduri yang mengambil masa daripada Zohor sehingga Maghrib?

Jawapan: Para fuqaha’ al-Hanābilah mengharuskan bagi para muslim dan muslimah untuk mengumpulkan solat Zohor dan Asar atau Maghrib dan `Isyak pada beberapa keadaan kerana keuzuran. Ini adalah kemudahan yang besar. Telah direkodkan bahawa Nabi SAW telah jama` solat pada waktu yang bukan musafir ataupun hujan. Lalu Ibnu `Abbas ditanya: Apakah yang Nabi mahukan daripada perkara berkenaan? Beliau menjawab: Baginda mahu supaya tidak menyusahkan umatnya… hadis berkenaan di dalam Ṣahih Muslim.

Apabila terdapat kesusahan di dalam solat fardhu pada waktunya, maka ia membolehkan jama`. Namun wajib bagi umat untuk tidak menjadikan ia sebagai kebiasaan atau adat, setiap dua hari atau tiga hari… setiap kali dia mahu keluar ke majlis-majlis ia mencari waktu yang dekat-dekat.

Harus baginya untuk melaksanakan perkara berkenaan pada keadaan-keadaan yang jarang-jarang, dalam keadaan sedikit bagi mengangkat kesusahan dan kepayahan yang dihadapi.
Contohnya polis trafik yang waktu gilirannya ialah sebelum Maghrib sehingga selepas Isyak, maka dia hendaklah jama` solat Maghrib degan Isyak sama ada taqdim atau ta’khir, berdasarkan kepada kemampuannya.

Atau doktor yang menjalankan pembedahan ke atas pesakit. Dia tidak mampu meninggalkannya. Maka baginya keadaan yang membolehkan jama` sama ada taqdim atau ta’khir… demikianlah pensyariatan kemudahan daripada Islam kepada umatnya, serta mengangkat kesusahan daripada diri mereka.

Adapun pergi ke kenduri, aku tidak melihat adanya kemudaratan atau keuzuran untuk solat jama` selagimana seseorang manusia itu mempunyai waktu untuk solat maka dia hendaklah tidak malu mengerjakannya sekalipun lelaki atau perempuan. Kerana malu dalam perkara ini tidak dibenarkan bersangkutan ia berkaitan solat dan mendirikannya pada mana-mana tempat. Bahkan wajib bagi orang yang mendirikan solat menjadikan dirinya ikutan yang baik kepada hadirin yang lain sehingga orang belajar tentang solat. Solat ialah syiar Allah yang wajib dizahirkan. Umat Islam menyatakannya serta membesarkannya.

Allah berfirman:

 ذَٰلِكَۖ وَمَن يُعَظِّمۡ شَعَٰٓئِرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقۡوَى ٱلۡقُلُوبِ ٣٢

32. Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syi´ar-syi´ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati

(Al-Haj: 32)

Apa yang memalukan bagi majlis-majlis rasmi ialah ia didirikan di banyak negara Islam yang telah menelan waktu solat – khususnya Maghrib – tanpa melaksanakan hak Allah Taala. Kesedaran orang yang beriman ialah yang benar-benar menjaga bagi melaksanakan waktu solat pada waktunya.

….

Apa-apa pun, sesiapa yang mengalami kesusahan ataukepayahan pada solat di waktunya, maka dia boleh jama` solat sepertimana yang telah kami sebutkan. Wallahu Muwaffiq….






[1] Fatāwā Al-Syaīkh Muhammad Abu Zahrah, Penerbit Dar al-Qalam, Damsyiq, Syria. Tahun 2010, h. 208-211.
[2] Fatāwā Mu`āsirah, Jil. 1, Penerbit Dar al-Qalam, 2011. H.245.