Tiga Tahun Menjalankan Dakwah Sirriah

Setelah menerima wahyu daripada surah al-Muddasir, baginda bangun menjalankan kerja dakwah di jalan Allah SWT. Kaum baginda ketika itu sangat kasar dan tidak mempunyai agama melainkan menyembah berhala. Mereka tidak mempunyai hujah melainkan warisan daripada datuk moyang mereka sahaja. Mereka juga tidak mempunyai akhlak melainkan hanya menilai kemuliaan dan maruah sahaja. Tiada jalan untuk menyelesaikan masalah melainkan dengan pedang.  Ketika itu mereka adalah teladan pada kepimpinan agama di tanah Arab, mempunyai peranan yang besar, serta teguh menjaga intiti mereka itu. Di antara hikmah permulaan dakwahdengan cara sembunyi adalah supaya tidak mengejutkan penduduk Mekah daripada apa yang mereka yakini.

Kumpulan Orang Islam Yang Pertama

Secara lumrahnya pada peringkat awal, Rasulullah SAW mestilah terlebih dahulu menyampaikan Islam kepada orang yang paling rapat dengannya daripada kalangan keluarganya serta rakan-rakannya.

Baginda juga mendakwahkan Islam kepada orang yang baginda pandang berpotensi menyambutnya dengan baik, iaitu mereka yang telah baginda kenal dan mereka pun mengenali baginda dengan baik. Baginda mengenali mereka sebagai orang yang mencintai kebenaran dan kebaikan, sementara mereka mengenali baginda dengan sejumlah fakta kejujuran dan kesolehan.

Lalu daripada kalangan mereka -yang sedikitpun tidak meragui kebesaran Rasulullah SAW serta kebenaran berita yang disampaikan- tampillah sekumpulan manusia yang menyambut seruan Islam. Dalam sejarah Islam, mereka dikenali dengan sebutan as-Sabiqun al-Awwalun (golongan terdahulu).

Orang pertama yang menyambut dakwah Islam adalah isteri nabi, Ummul Mukminin, Khadijah binti Khuwailid. Kemudian diikuti oleh pembantu baginda, Zaid bin Harisah bin Syurahil al-Kalby.[1] Seterusnya sepupu baginda, Ali bin Abu Talib (yang waktu itu masih kanak-kanak dan hidup dalam asuhan baginda) serta sahabat terdekat baginda, Abu Bakar as-Siddiq. Mereka memeluk Islam paling awal ketika bermulanya dakwah Islam.
Selepas itu, Abu Bakar rajin mendakwah orang ramai untuk memeluk Islam. Dia adalah orang yang murah hati, penyayang, lembut, berakhlak mulia dan gemar melakukan kebaikan. Dia merupakan tokoh terkenal di tengah kaumnya. Mereka sering mendatanginya dan menyukainya kerana dia mempunyai ilmu yang luas, perdagangan yang berjaya serta cara berinteraksi yang baik terhadap orang lain. Maka dia pun berdakwah kepada kaumnya yang mempercayainya, iaitu mereka yang sering datang dan berinteraksi dengannya. Melalui dakwahnya, beberapa orang memeluk Islam, antaranya ialah Usman bin Affan al-Umawi, al-Zubair bin Awwam al-Asadi, Abdurrahman bin Auf, Saad bin Abu Waqqas al-Zuhriyan dan Thalhah bin Ubaidillah al-Taimi. Lapan orang inilah yang mula-mula memeluk Islam.

Setelah lapan orang tadi, menyusul bintang kepercayaan umat ini[2] iaitu Abu Ubaidah Amir bin al-Jarrah daripada Bani Haris bin Fihr, kemudian Abu Salamah bin Abdul Asad al-Makhzumi serta isterinya Ummu Salamah, al-Arqam bin Abu Arqam al-Makhzumi, Usman bin Mazh’un al-Juhami berserta dua saudaranya iaitu Qudamah dan Abdullah, Ubaidah bin al-Haris bin Muthalib bin Abd Manaf, Said bin Zaid al-‘Adawi berserta isterinya iaitu Fatimah binti Khathab al-‘Adawiyah (saudara perempuan Umar bin al-Khathab), Khabab bin al-Arat al-Tamimī, Ja`far bi Abi Ṭolib serta isterinya Asma’ binti `Aumais, Khālid bin Sa`id bin al-`As al-Umawi serta isterinya Aminah bin Khalaf kemudian saudaranya al-Khatab bin al-Haris serta isterinya Fukaihah bon Yasār serta saudaranya Ma`mar bin al-Haris, al-Mutolib bin Azhar al-Zuhri serta isterinya Ramlah binti Abi `Auf, Nu`aim bin Abdullah bin al-Nihām al-`Adawi. Mereka adalah keturunan Quraiyh.

Kumpulan yang mula-mula masuk Islam daripada kalangan bukan Quraisy ialah Abdullah bin Mas`ud al-Huzali, Mas`ud bin Rabi`ah al-Qāri, Abdullah bin Jahsy al-Asadi serta saudaranya Abu Ahmad bin Jahsy, Bilal bin Rabāh al-Habsyi, Suhaib bin Sinan al-Rumi, `Ammar bin Yasir al-`Ansi serta bapanya Yasir dan ibunya Sumayyah, dan Amir bin Fuhairah.

Daripada kalangan wanita pula yang belum kami sebutkan ialah: Ummu Aiman Barakah al-Habsyiyah, Umu al-Fadhl Lubabah al-Kubra binti al-Haris al-Hilaliyyah (isteri al-`Abbas bin Abdul Mutalib), dan Asmak binti Abu Bakar.[3]

Mereka itu dikenali dengan al-Sabiqin al-Awwalin. Setelah dibuat penelitian, bilangan orang yang disifatkan sebagai terdahulu memeluk Islam mencecah 130 orang lelaki dan wanita. Tetapi tidak dikenali secara tepat adakah mereka semuanya Islam sebelum dakwah terang-terangan atau setelahnya.

Solat Secara Sembunyi-Sembunyi

Antara wahyu yang paling awal turun adalah perintah mengerjakan solat.

Ibnu Hajar mengatakan, “Adalah pasti bahawa sebelum peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah s.a.w. sudah biasa melaksanakan solat. Demikian pula sahabat-sahabat baginda. Namun begitu yang masih diperselisihkan adalah, adakah ada solat yang wajib sebelum diwajibkannya solat lima waktu itu? Ada yang mengatakan bahawa diwajibkan pada waktu itu (sebelum Israk Mikraj) solat sebelum matahari terbit dan solat sebelum matahari terbenam.”

Haris bin Abu Usamah meriwayatkan daripada jalan Ibnu Luhaiah secara maushul kepada Zaid bin Harisah, bahawa ketika pertama kali solat diwajibkan, Rasulullah s.a.w. didatangi oleh Jibril yang kemudian mengajari baginda berwuduk. Selesai berwuduk, baginda mengambil secedok air lalu memercikkannya ke kemaluan baginda. Ibnu Majah juga membawakan riwayat yang semakna dengan ini. Riwayat dengan makna yang sama juga dibawakan oleh Barra’ bin Azib dan Ibnu Abbas. Dalam riwayat Ibnu Abbas ada tambahan, “Itu merupakan kewajipan solat yang pertama.”[4]

Disebutkan oleh Ibnu Hisyam bahawa Nabi Muhammad dan para sahabatnya apabila datang waktu solat, mereka bergegas menuju tempat yang tersembunyi, lalu mereka mengerjakan solat dengan sembunyi-sembunyi agar tidak diketahui kaumnya. Pernah suatu ketika Abu Talib mendapati Nabi Muhammad dan Ali mengerjakan solat. Maka dia bertanya kepada kedua-duanya tentang hal itu. Setelah mengetahui urusan solat secara jelas, Abu Talib menyuruh mereka berdua untuk berteguh hati.[5]

Demikianlah Ibadah yang diperintahkan kepada orang beriman. Tidak diketahui ada ibadat lain atau apa-apa suruhan dan larangan melainkan solat. Wahyu hanya menerangkan tentang pelbagai sisi tauhid dan menggalakkan kepada pembersihan jiwa. Serta menggalakkan kepada akhlak mulia. Lalu disifatkan kepada mereka syurga dan neraka seoalah-olah dapat dilihat dengan mata. Diperingatkan kepada mereka peringatan yang melapangkan dada serta mengenyangkan roh serta membawa mereka kepada panorama lain yang belum dirasai umat manusia ketika itu.

Tiga tahun berlalu, dakwah dijalankan tertumpu kepada individu dan tidak diterangkan-terangkan di dalam masyarakat. Melainkan setelah diektahui oleh Quraisy lalu tersebarlah sebut-sebutan Islam di Mekah, orang-orang menyebutnya, dan sesekali mereka saling bertelingkah dan melawan sebahagian orang beriman. Namun mereka tidak banyak menentang kerana Nabi tidak mempertikaikan agama mereka dan tidak menyentuh isu tuhan-tuhan mereka.

:: Nota Kaki::

[1] Dahulunya dia adalah seorang tawanan perang yang kemudian dijadikan hamba. Dia dibeli oleh Khadijah dan dihadiahkan kepada Rasulullah s.a.w.. Ayah dan bapa saudaranya pernah datang untuk menebusnya dan menjemputnya pulang kembali kepada kaumnya. Namun begitu, dia memilih untuk tinggal bersama-sama Rasulullah. Zaid kemudian diangkat menjadi anak angkat, berdasarkan adat anak angkat yang diamalkan dalam bangsa Arab saat itu. Dia digelar Zaid bin Muhammad. Setelah Islam datang, tradisi pengangkatan anak dilarang. Beliau telah syahid pada peperangan Mu’tah pada bulan Jumādī al-Ulā tahun ke 8 H. Beliau adalah ketua tentera umat Islam.
[2] Penyebutan Abu Ubaidah dengan gelaran ini dapat dilihat dalam Sahih al-Bukhari, jil I, hlm. 530.
[3] Rujuk penjelasan: Sirah Ibn Hisyam 1/245-262. Penamannya sebahagiannya masih diperbincangkan.
[4]Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 88.
[5]Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 247.