Bagi menjawab hukum ini, saya akan bahagikan jawapan kepada tiga perbahasan.

1)      Solat sunat mutlak pada hari Jumaat
2)      Solat Sunat Qabliyyah Jumaat
3)      Solat Sunat Ba`diyyah Jumaat

Semoga Allah berkati kita dengan kesungguhan kita menuntut ilmu.

1) SOLAT SUNAT MUTLAK HARI JUMAAT.

Pada hari jumaat, disunatkan kita untuk melakukan beberapa perkara. Salah satu daripada perkara berkenaan ialah solat sunat. Bermaksud, kita disunatkan untuk solat ketika tiba di masjid sebanyak mana yang kita mampu. Kita boleh lakukan 2, 4, 6, 8 atau lebih banyak daripada itu. Ia tidak dilakukan ketika matahari tegak di atas kepada (lebih kurang 5 minit sebelum azan Zohor) kerana itu adalah waktu yang ditegah untuk solat. Tetapi ia dilaksanakan pada luar waktu berkenaan sama ada sebelum atau selepasnya.

Dalil bagi dakwaan berkenaan ialah hadis berikut:

Rasulullah SAW bersabda:

«مَنِ اغْتَسَلَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ، فَصَلَّى مَا قُدِّرَ لَهُ، ثُمَّ أَنْصَتَ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْ خُطْبَتِهِ، ثُمَّ يُصَلِّي مَعَهُ، غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ الْأُخْرَى، وَفَضْلُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ»

Sesiapa yang mandi[1] kemudian datang (ke masjid untuk solat dan mendengar khutbah) Jumaat, lalu dia bersolat sebanyak yang dia mampu, kemudian dia diam sehingga selesai khutbah, setelah itu solat bersama imam, maka diampuni dosanya ketika itu sehingga Jumaat berikutnya, dan dilebihkan 3 hari.

(HR Muslim: 26/857)

Di dalam al-Badr al-Tamām syarah kepada kitab Bulūgh al-Marām, al-`Allāmah al-Maghribī (1119H) berkata: “Faṣollā mā quddira lahu” menunjukkan bukti bahawa solat sebelum Imam keluar (menaiki mimbar) adalah mustahabbah (sunat). Ia adalah pandangan Jumhūr. Ucapan “mā quddira lahu” menunjukkan ia adalah sunat yang tiada had penentuan.[2]

2) SOLAT SUNAT QABLIYYAH JUMAAT

Pada isu ini, ulama telah berbeza kepada 2 pendapat.

Pertama: Menjadi sunat solat sebelum Jumaat, ia dinamakan solat sunat Qabliyyah Jumaat. Sekurang-kurangnya 2 rakaat tetapi yang paling baik ialah 4 rakaat. Pendapat ini dipegang oleh Mazhab al-Hanafiyyah, al-Syāfi`iyyah dan salah satu pendapat al-Hanābilah.[3]

Kedua: Tiada solat sunat khusus sebelum Jumaat melainkan yang telah disebutkan sebelum ini. Pendapat ini dipegang oleh Mazhab al-Mālikiyyah dan al-Hanābilah.[4]

HUJAH MAZHAB PERTAMA:

❶- Direkodkan oleh Imam al-Bukāri di dalam kitab Ṣahih beliau sebuah hadis yang diriwayatkan daripada `Abdullah bin Mughaffal, katanya Nabi SAW bersabda:

«بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ، بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ»، ثُمَّ قَالَ فِي الثَّالِثَةِ: «لِمَنْ شَاءَ»

“Di antara dua azan ada solat, di antara dua azan akan ada solat”. Kemudian beliau berkata pada kali ketiga “Bagi sesiapa yang mahu”.

(HR Al-Bukhārī: 627)

Alasan Hujah: Perkataan “Kulli” di dalam hadis di atas menunjukkan keumuman solat sunat antara dua azan. Maka, ini menjadi dalil bahawa di antara azan pertama dan kedua solat Jumaat mempunyai solat yang dinamakan solat Qabliyyah.

Sanggahan: al-Imam `Abd al-Rahim al-`Irāqī menyebutkan di dalam Ṭarh al-Tasrīb:

“Telah sabit di dalam al-Ṣahīhaīn daripada Abdullah bin Mughaffal, daripada Nabi SAW, katanya: Di antara dua azan ada solat.” Bapaku (Zain al-`Irāqi) mengulas: Tidak dipersetujui berdalil dengannya (untuk menyatakan wujudnya sunat qabliyyah Jumaat) kerana tiada harapan (ia dilakukan) pada kehidupan Nabi SAW. Kerana ketika itu di antara azan dan Iqamah ialah khutbah. Maka tiada solat di antara kedua-duanya.”

Hadis di atas adalah umum, tetapi hukum solat Jumaat adalah khusus. Contohnya, Nabi SAW melarang melakukan perkara yang melanggar adab ketika khutbah:

" إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ "

Apabila engkau berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: Diam! Sedangkan Imam sedang berkhutbah, maka engkau telah Laghw.

(HR al-Bukhari: 934)

Dr. Muṣṭofa al-Bughā menyatakan maksud al-Laghawta ialah: Engkau telah meninggalkan adab dan telah gugur pahala Jumaatmu.

❷- Direkodkan oleh Imam Ibn Mājah di dalam Sunan beliau sebuah hadis daripada riwayat Ibnu `Abbās, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَرْكَعُ قَبْلَ الْجُمُعَةِ أَرْبَعًا، لَا يَفْصِلُ فِي شَيْءٍ مِنْهُنَّ»

Nabi SAW solat sebelum Jumaat sebanyak empat rakaat. Beliau tidak membataskannya (dengan salam).

(HR Ibn Mājah: 1129)

Alasan Hujah: Hadis di atas secara jelas menunjukkan sunnah Qabliyyah Jumaat. Di dalam kaedah usul menyatakan: Perbuatan ibadah Nabi menunjukkan galakkannya.

Sanggahan: Hadis tersebut terlalu Ḍa`if sehingga tidak mampu dijadikan hujah. Perawinya bernama `Atiyyah al-`Ufī telah disepakati kedhaifannya. Manakala Mubassyir bin `Ubaid pula dalah pendusta[5]. Kaedah Usul menyatakan: Hadis Ḍa`if tidak boleh dibuat hujah didalam menetapkan hukum syara`.

❸- Direkodkan oleh Ibn Majah di dalam Sunan beliau sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah dan Jābir. Kedua-duanya bercerita:

جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِيُّ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَصَلَّيْتَ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ تَجِيءَ؟» قَالَ: لَا، قَالَ: «فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا»

Sulaik al-Ghaṭfānī telah hadir ketika Rasulullah SAW berkhutbah. Lalu Nabi SAW bertanya kepadanya: “Adakah kamu telah solat sebelum kamu datang?” Dia menjawab “Tidak”. Nabi Bersabda: “Maka solatlah dua rakaat dan lakukanlah dengan ringan”.

(HR Ibn Majah: 1114)

Alasan Hujah: Sekiranya hadis berkenaan bertujuan menyatakan ia adalah solat sunat Tahiyyatul Masjid sepertimana yang dipegang ramai orang, maka tidak mungkin Nabi SAW akan bertanya “Adakah kamu telah solat sebelum kamu datang?” kerana solat Tahiyyatul Masjid tidak boleh dilakukan di rumah. Maka ini dengan jelas menunjukkan bahawa Nabi bertanya tentang solat sebelum Jumaat yang dinamakan solat Qabliyyah Jumaat.

Sanggahan: Perkataan yang menjadi perbincangan bagi hadis di atas ialah perkataan “sebelum kamu datang” kerana al-Hafiz Ibn Hajar telah menyebutkan di dalam al-Talkhiṣ al-Habīr: “Al-Mizzi telah memberi ulasan: Yang betulnya ialah: “Adakah kamu telah solat sebelum kamu duduk? Maka sebahagian perawi telah melakukan tashif.”

Al-Imam al-Sakhāwī memberi ta`rif Tashif: “Ia adalah merubah kalimah daripada bentuk yang telah dikenali kepada yang lain.”[6]

Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam-Imam hadis yang lain tanpa penambahan “Sebelum kamu datang”. Lihat contohnya seperti yang ada di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim berikut:

Jabir berkata:

دَخَلَ رَجُلٌ يَوْمَ الجُمُعَةِ وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ، فَقَالَ: «أَصَلَّيْتَ؟» قَالَ: لاَ، قَالَ: «قُمْ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ»

Seorang lelaki telah hadir pada hari Jumaat ketika Nabi SAW sedang berkhutbah lalu baginda bertanya: “Adakah kamu telah solat?” Beliau menjawab: Belum. Nabi bersabda: “Bangun dan solatlah dua rakaat.”

(HR al-Bukhārī: 931)

Jabir bercerita:

جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِيُّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَاعِدٌ عَلَى الْمِنْبَرِ، فَقَعَدَ سُلَيْكٌ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَرَكَعْتَ رَكْعَتَيْنِ؟» قَالَ: لَا، قَالَ: «قُمْ فَارْكَعْهُمَا»

Sulaik al-Ghaṭfānī hadir pada hari Jumaat sedangkan Rasulullah SAW telah duduk di atas mimbar. Sulaik duduk sebelum bersolat. Maka Nabi SAW bertanya kepadanya: Adakah engkau telah solat dua rakaat? Beliau menjawab: Belum. Nabi Bersabda: Bangun dan solatlah kedua-duanya.

(HR Muslim: 58/875)

Bahkan dakwaan yang menyatakan hadis ini bukan menunjukkan tahiyatul masjid adalah lemah. Para ulama sering meletakkan bab bagi hadis ini sebagai bab Solat Sunat Tahiyatul Masjid Ketika Imam Berkhutbah. Al-Imam al-Nawawi di antara orang yang meletakkan bab berkenaan bagi hadis ini ketika membuat syarah kepada Sahih Muslim.

Bahkan, tidak ditemui para ulama hadis yang menggunakan hadis ini sebagai pensyariat Sunat Qabliyyah Jumaat sehingga mereka meletakkan bab khusus di dalam kitab-kitab mereka.

PENDAPAT KEDUA

1. Imam al-Bukhari merekodkan sebuah hadis daripada al-Sāib bin Yazid:

«كَانَ النِّدَاءُ يَوْمَ الجُمُعَةِ أَوَّلُهُ إِذَا جَلَسَ الإِمَامُ عَلَى المِنْبَرِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَبِي بَكْرٍ، وَعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، فَلَمَّا كَانَ عُثْمَانُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، وَكَثُرَ النَّاسُ زَادَ النِّدَاءَ الثَّالِثَ عَلَى الزَّوْرَاءِ» قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ: " الزَّوْرَاءُ: مَوْضِعٌ بِالسُّوقِ بِالْمَدِينَةِ "

Seruan Azan pada hari Jumaat permulaannya hanya ketika Imam telah duduk di atas mimbar di zaman Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar. Ketika zaman Usmān, orang telah ramai lalu ditambah seruan azan ketiga[7] dari atas al-Zawra’. Abu Abdullah berkata: Al-Zawra’ ialah satu tempat di pasar-pasar Madinah.

(HR Al-Bukhari: 912)

Alasan Hujah: Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa di zaman Nabi SAW tidak pernah dibuat solat Qabliyyah Jumaat. Mereka tidak mempunyai masa untuk melakukan hal demikian. Selepas Azan, Nabi terus berkhutbah. Maka, Nabi tidak solat sunat terlebih dahulu. Demikian juga tidak dapat difahami bahawa para sahabat akan bangun solat sunat qabliyyah Jumaat ketika Nabi sedang berkhutbah.

Inilah dalil yang kuat. WallahuA`lam.

SOLAT SUNAT BA`DIYYAH JUMAAT

Orang yang menghadiri solat Jumaat disunatkan untuk solat dua rakaat sesudahnya yang di lakukan di rumah, atau empat rakaat, jika dilakukannya di masjid.

Hujah bagi kenyataan tersebut ialah:

1. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda:

إِذَا صَلًّى أَحَدُكُمُ الْجُمُعَةَ فَلْيُصَلِّ بَعْدَهَا أَرْبَعاً

Jika salah seorang di antara kalian telah mengerjakan solat Jumaat, hendaklah solat sesudahnya empat rakaat.

(HR. Muslim no. 881 dan 69)

2.Daripada Ibnu Umar, Rasulullah saw solat sunat di rumahnya :

فَكَانَ لاَ يُصَلِّي بَعْدَ الْجُمُعَةِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ فِي بَيْتِهِ.

Baginda tidak solat sesudah Jumaat sehinggalah baginda pulang, dan baginda lakukan dua rakaat di rumahnya.

(HR. Bukhari no. 937 dan Muslim no. 882)

3.Abu Daud meriwayatkan daripada Atha’ :

Ibnu Umar ketika di Mekah, setelah mengerjakan solat Jumaat beliau ke hadapan dan solat dua rakaat. Kemudian ke hadapan lagi dan solat dua rakaat sehingga berjumlah empat rakaat. Namun begitu, ketika beliau di Madinah, setelah selesai solat Jumaat beliau terus pulang ke rumahnya dan solat dua rakaat dan tidak melakukan solat di masjid. Ketika persoalan ini ditanya kepadanya, beliau berkata : 

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ  يَفْعَلُ ذَلِكَ.

Dahulu Rasulullah saw juga mengerjakan demikian.

 (HR. Abu Dawud no. 1130)

Terdapat juga hadis yang seumpama ini dalam riwayat Muslim no. 882.

Menurut Al-‘Allamah Ibnul Qayyim dalam Zaadul Ma‘aad 1/440, apabila Nabi saw selesai solat Jumaat, baginda masuk ke rumahnya dan mengerjakan solat sunah dua rakaat. Kemudian  Nabi memerintahkan kepada orang yang mahu untuk mengerjakan solat supaya solat empat rakaat. Menurut Syaikh kami dan Abul Abbas Ibnu Taimiyyah, setelah selesai solat di masjid, hendaklah solat empat rakaat. Jika solat dlakukan di rumah, hendaklah solat dua rakaat. Pendapat ini ditunjukkan oleh beberapa hadis yang berkaitan.

WallahuA`lam.

::: Nota Kaki :::

[1] Mandi sunat hari Jumaat sebelum pergi ke masjid untuk menghadiri Khutbah dan solat Jumaat.
[2] Rujuk al-Badr al-Tamām, Jil. 3, H. 439. Dār Hijr, 2003.
[3] Sila rujuk: Hāsyiyah Ibn `Ābidīn (13/14-2), Badā’i` al-Ṣonā’i` (1/287), al-Majmū` (3/305) Nihāyah al-Muhtāj (2/111) al-Mughnī (3/250) al-Mubdi` (2/169).
[4] Sila rujuk: Hāsyiyah al-Ṣowī `alā al-Syarh al-Ṣaghīr (1/147), al-Dusūqī `alā al-Syarh al-Kabīr (1/318) Balaghat al-Sālik (1/135) al-Mughni (3/250) al-Inṣāf (5/266).
[5] Rujuk ulasan Syeikh Fu’ad `Abdul Baqi terhadap Sunan Ibn Majah.
[6] Rujuk: Fath al-Mughis (3/72)
[7] Disebutkan azan ketiga kerana Iqamah juga disebut azan/seruan.