Al-Imam al-Bukhāri merekodkan di dalam Ṣahih al-Bukhārī, bilangan: 6412, daripada Ibnu `Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ: الصِّحَّةُ وَالفَرَاغُ

Dua nikmat yang sering memperdaya ramai orang: Kesihatan dan Masa lapang.

(HR al-Bukhari: 6412)

Perkataan penting yang menjadi sebahagian fokus hadis ini ialah “..yang sering memperdaya ramai orang..” Maksudnya, sangat sedikit orang yang tidak terpedaya dengan nikmat kesihatan dan masa lapang.

Ibnu Jauzi berkata:

“Mungkin terjadi seseorang itu sihat tetapi dia tidak mempunyai waktu lapang kerana sibuk dengan hal kehidupan. Mungkin terjadi juga orang yang mempunyai masa lapang tetapi tidak sihat. Apabila kedua-dua perkara tersebut berkumpul maka kemalasan akan mengalahkannya daripada melakukan ketaatan kepada Allah. Jadilah dia sebagai seorang yang terpedaya. Penyempurna bagi perkara tersebut ialah: Dunia ini adalah ladang bagi akhirat. Dunia juga adalah suatu perniagaan yang akan diambil keuntungannya pada hari akhirat. Sesiapa yang menggunakan waktu lapang dan kesihatannya dalam mentaati Allah, maka dia menjadi seorang yang bahagia (مغبوطة). Manakala jika dia menggunakan kedua-dua nikmat berkenaan pada maksiat maka dia seorang yang terpedaya (مغبون).”

Apabila seseorang itu sihat, maka dia mampu berdiri untuk solat, mampu menunaikan haji di Mekah, mampu bergerak pergi ke Masjid. Dia mampu untuk melakukan perintah Allah serta meninggalkan larangan Allah dengan mudah. Demikian juga apabila dia mempunyai masa lapang.

Tetapi ramai daripada kalangan kita tewas dengan dua nikmat ini. Betapa banyak ibadah yang kita lalaikan ketika berada dalam keadaan sihat dan waktu lapang? Kemudian apabila kita sakit, kita sering menyesali dengan berkata: “Alangkah bagus jika aku sihat .. alangkah bagus jika masa aku banyak..”

Betapa ramai orang yang telah diberikan masa dan kesihatan yang baik, tetapi dia meninggalkan kebaikan. Apabila dia diuji, dia merasa sesal. Tetapi malangnya, apabila dia sihat kembali, dia tidak mengenang azamkan sebelum ini.

Allah telah memperingatkan kepada kita tentang penyesalan yang maha besar di alam barzakh: Firman Allah:

حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ (99) لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلَّا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (100)

99. kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) –

100. "Supaya Aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata Yang ia sahaja Yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

(Al-Mukminun: 99-100)

Justeru itu, masa dan kesihatan kita hendaklah dimanfaatkan sebaiknya bagi memenuhi ketaatan kepada Allah. Kerana ketika itulah hati menjadi lapang, jiwa berasa tenang dan kita mampu untuk beribadah dengan selesa.

Cuti Sekolah

Pada Musim Cuti sekolah yang akan berakhir beberapa minggu lagi ini, saya ingin menginatkan bahawa Ibubapa bertanggungjawab di dalam memastikan program anak-anak mereka.

Anak-anak tidak boleh dilepaskan untuk melakukan aktiviti bebas tanpa sebarang pemantauan. Mereka juga tidak sepatutnya berada di rumah sepenuh hari lalu menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah secara berlanjutan. Seperti bermain game dari jam 7 pagi sehingga 7 malam. Tidak salah memberikan masa mereka berhibur, tetapi tidak boleh secara berlebih-lebihan. Ia dikira sebagai melampau, sedangkan agama kita mengajar untuk tidak melampau.

Anak-anak juga hendaklah diberi pengetahuan tentang keadaan umat Islam semasa sepertimana fitnah besar kepada umat Islam pada masa ini dengan labelan Terorist. Calon Presiden Amerika Syarikat daripada Parti Republikan, Donald Trump pada hari Isnin lalu menggesa supaya umat Islam tidak dibenarkan memasuki negara itu ekoran kejadian tembakan di California baru-baru ini. Mereka mendakwa bahawa ia dilakukan oleh ISIS, dan ISIS pula ialah pendokong Islam. Maka, mereka silap besar kerana ISIS adalah pengganas, manakala Islam adalah agama kasih sayang. Setiap perbuatan pengganas ISIS tidak melambangkan Islam, tetapi ia melambangkan kesesatan di dalam agama. Mereka lakukan apa yang mereka suka, kemudian mereka mencari dalil untuk membenarkan tindakan mereka.

Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 21-22 Oktober 2014 telah membuat keputusan seperi berikut:

“Kebanyakan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah di seluruh dunia telah mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan kumpulan ISIS ini kerana ideologi keganasan dan sikap mereka yang mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka dan menghalalkan darah mereka. Mereka membunuh rakyat tidak berdosa dan menghalau golongan Kristian dan Yazidi dengan penuh kezaliman. Para Ulama  Ahli Sunnah di seluruh dunia melabelkan ISIS atau ISIL ini sebagai Khawarij di  zaman moden dan Jumhur Ulama Ahli Sunnah bersepakat mengenai kesesatan dan juga penyelewengan golongan ini dan memperingatkan umat Islam agar tidak terpedaya dengan segala propaganda ISIS atau ISIL ini.”

Justeru itu, sebagai cadangan untuk pengisian anak-anak di waktu cuti sekolah, maka berikut dikongsikan beberapa aktiviti yang boleh direncanakan.

1. Menghadiri kelas-kelas atau program pemantapan al-Quran dan al-Sunnah. Kelas-kelas seperti ini sebagai tambahan kepada apa yang telah mereka belajar pada waktu sekolah. Pelajaran al-Quran dan al-Sunnah penting bagi menguatkan jati diri anak-anak.

2. Melancong dan berkelah; Sekiranya kewangan mencukupi dan telah disediakan untuk menghadapi kos-kos tahun 2016, maka bawalah anak-anak mengambil angin luar supaya mereka boleh berehat dan bergembira. Bahkan, menggembirakan keluarga juga adalah satu ibadah.

3. Kem Cuti Persekolahan; Program seperti ini biasanya dianjurkan oleh pihak sekolah, syarikat swasta, NGO-NGO, komuniti setempat termasuk di sesetengah masjid. Di samping mendapat ilmu baharu, anak-anak boleh mengenali rakan-rakan baharu di kem-kem yang disertai.

4. Kelas tambahan; Ia merupakan cadangan yang positif terutamanya kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan awam seperti UPSR, PT3 dan SPM pada tahun berikutnya.

5. Kursus jangka pendek; Bagi meningkatkan kemahiran anak-anak, ibu bapa boleh mendaftarkan mereka ke institusi-institusi yang menganjurkan kursus jangka pendek mengikut minat mereka seperti kelas ICT, kelas Bahasa Inggeris, kelas seni bela diri, kelas renang dan seumpamanya.

Bagi pelajar lepasan SPM, STAM, STPM dan la-lain, mereka juga boleh memenuhkan masa mereka dengan bekerja bagi menambah pengalaman hidup. Mereka juga boleh belajar membantu kewangan keluarga daripada hasil gaji bulanan. Sekalipun tidak banyak, tetapi pengalaman itu adalah lebih berharga.

Mereka juga dicadangkan untuk mengikuti seminar-seminar serta expo pendidikan yang biasanya dijalankan bermula tamatnya peperiksaan sehingga keluarnya keputusan pada tahun hadapan.

Allah berfirman:

تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُمْ مَا كَسَبْتُمْ وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Demikianlah umat-umat yang telah lalu. Bagi mereka apa yang mereka telah kerjakan.. dan bagi kamu, apa yang kamu lakukan. Mereka tidak akan ditanya tentang apa yang kamu lakukan.

(Al-Baqarah: 134, 141)

بارك الله لي ولكم في القرآن العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم، وأستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين من كل ذنب، فاستغفروه إنه هو الغفور الرحيم.