Soalan: Asalamualaikum ustaz. Saya mahu bertanya. Apakah yang perlu dibaca ketika solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu? Serta, perlukah doa iftitah ketika itu?

Jawapan: Waalaikumusalam. Tidak ada ketetapan atau kewajipan membaca apa-apa surah selepas bacaan al-Fatihah bagi solat-solat sunat sebelum dan sesudah solat Fardhu. Melainkan sebelum solat Subuh dan juga selepas solat Maghrib.

Doa iftitah pula menjadi sunnah (melakukannya menjadi penyebab pahala) sama ada di dalam solat Fardhu ataupun sunat.

Penjelasan:

- Asal bagi bacaan selepas surah al-Fatihah di dalam solat ialah yang mudah bagi kita. Kita tidak perlu mencari surah-surah yang susah untuk membaca dan memahaminya.

Allah berfirman:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ

… oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya daripada Al-Quran (dalam solat).

(Al-Muzzammil : 20)


- Bacaan Sunat Subuh & Maghrib: Nabi Muhammad SAW membaca surah al-Kāfirūn dan Al-Ikhlāṣ.

Ibnu Mas`ud berkata:

مَا أُحْصِي مَا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ بَعْدَ المَغْرِبِ وَفِي الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلَاةِ الفَجْرِ بِقُلْ يَا أَيُّهَا الكَافِرُونَ، وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ

Aku tidak dapat menghitung betapa seringnya aku mendengar Rasulullah membaca pada 2 rakaat selepas Maghrib dan 2 rakaat sebelum Subuh Qul Ya Ayyuhā al-Kāfirūn dan Qul Huwa Allahu Ahad.

(HR Al-Tirmīzi di dalam Sunan al-Tirmizi, bil: 431. Hasan Sahih menurut al-Albani)

- Nabi juga membaca ayat-ayat yang pendek yang lain pada 2 rakaat solat sunat sebelum subuh iaitu:

1.    Ayat 136 surah Al-Baqarah dan ayat 52 surah Ali Imran.


Ibnu ‘Abbas menyatakan:

كَانَ يَقْرَأُ فِي رَكْعَتَيِ الْفَجْرِ فِي الْأُولَى مِنْهُمَا: {قُولُوا آمَنَّا بِاللهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا} [البقرة: 136] الْآيَةَ الَّتِي فِي الْبَقَرَةِ، وَفِي الْآخِرَةِ مِنْهُمَا: {آمَنَّا بِاللهِ وَاشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ} [آل عمران: 52] "

Rasulullah SAW membaca di dalam solat dua rakaat sebelum Subuh, iaitu rakaat pertama membaca: Quuluu aaamannaa billaahi wamaa unzila ilaina… (Al-Baqarah: 136) ayat yang terdapat di dalam surah al-Baqarah. Kemudian pada rakaat kedua membaca: Aaamannaa billaahi wasyad bi annaa muslimuun. (Aali ‘Imraan : 52)

(HR Muslim di dalam Sahih Muslim, bil: 99/727)

2- Ayat 136 surah Al-Baqarah dan ayat 64 surah Ali Imraan

Ibnu Abbas meriwayatkan:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي رَكْعَتَيِ الْفَجْرِ: {قُولُوا آمَنَّا بِاللهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا} [البقرة: 136]، وَالَّتِي فِي آلِ عِمْرَانَ: {تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ} [آل عمران: 64]

Rasulullah SAW biasa membaca di dalam solat dua rakaat sebelum Subuh: Quuluu aamannaa billaahi wamaa unzila ilaina… (Al-Baqarah: 136), dan yang terdapat di dalam surah Aali ‘Imraan: Ta’aalau ilaa kalimatin sawaa’ bainanaa wa bainakum (Aali ‘Imraan : 64)

(HR Muslim di dalam Sahih Muslim, bil: 100/727)

Memandangkan semua hadis di atas adalah hadis yang sahih maka bolehlah kita mengamalkannya secara bergilir-gilir.

- Apa yang menjadi sunat di dalam solat Fardhu, maka ia juga menjadi sunat pada solat sunat. WallahuA`lam.