Nota: Ini ialah teks terjemahan daripada tambahan al-Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri di dalam bab "Dakwah Terang-Terangan" sub judul "Pelbagai Cara Melawan Dakwah". Tambahan ini hanya terdapat di dalam penulisan yang telah dikemaskini pada tahun 1994. 

_____________

Para kafir Quraisy itu membanyakkan kekeliruan serta dakwaan bohong. Mereka juga bermain-main dengannya sehingga orang ramai menjadi terhalang daripada menghayati serta berfikir tentang dakwah Nabi SAW.

Mereka mendakyah terhadap al-Quran dengan mengatakannya;

أَضغاثُ أَحلامٍ 

....Perkara karut yang dimimpikan oleh Muhammad....

(Al-Anbiya`: 5)

Al-Quran didakwa sebagai dimimpikan oleh Muhammad pada waktu malam, kemudian dia membacanya pada waktu siang.

Mereka juga mendakwa al-Quran direka sendiri oleh Muhammad:

بَلِ افتَراهُ

Bahkan Muhammad yang merekanya...

Mereka juga mendakwa:

إِنَّمَا يُعَلِّمُهُ بَشَرٌ

Mereka yang musyrik itu berkata: " Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia".

(An-Nahl: 103)

Mereka juga mendakwa:

إِنْ هَذَا إِلَّا إِفْكٌ افْتَرَاهُ وَأَعَانَهُ عَلَيْهِ قَوْمٌ آخَرُونَ

Dan orang-orang yang kafir itu berkata: "(Al-Quran) ini hanyalah satu perkara dusta yang direka-reka oleh Muhammad, dan ia dibantu membuatnya oleh kaum yang lain".

(Al-Furqan: 4)

Iaitu Muhammad dan rakan-rakannya bersepakat di dalam mereka-reka ayat al-Quran.

وَقَالُوا أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ اكْتَتَبَهَا فَهِيَ تُمْلَى عَلَيْهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Dan mereka berkata lagi: "Al-Quran itu adalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafaznya)".

(Al-Furqan: 5)

Kadangkala, mereka mendakwa: Muhammad mempunyai jin atau syaitan. Jin dan syaitan itu hadir kepadanya sepertimana ia hadir kepada bomoh. Allah memintas pendapat berkenaan dengan firman:

هَلْ أُنَبِّئُكُمْ عَلَى مَنْ تَنَزَّلُ الشَّيَاطِينُ (221) تَنَزَّلُ عَلَى كُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ (222)

Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa,

(Al-Syuara`: 221-222)

Syaitan itu hanya turun kepada para penipu yang jahat serta diselubungi dengan kekotoran dosa. Sedangkan engkau tidak menemui daripada diriku (Muhammad) dengan penipuan. Kalian juga tidak mendapati aku sebagai seorang yang fasiq. Justeru itu, mengapa kamu mendakwa al-Quran adalah daripada syaitan?

Kadang kala mereka mengatakan Nabi SAW telah terkena sejenis penyakit gila. Baginda berkhayal dalam mencari makna-makna. Setelah itu, dia mencipta kalimah-kalimah indah serta menarik sepertimana yang telah dilakukan oleh para penyair. Muhammad adalah seorang penyair, kata-katanya adalah rangkap syair.

Allah memintas mereka dengan berfirman:

وَالشُّعَرَاءُ يَتَّبِعُهُمُ الْغَاوُونَ (224) أَلَمْ تَرَ أَنَّهُمْ فِي كُلِّ وَادٍ يَهِيمُونَ (225) وَأَنَّهُمْ يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ (226)

Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat - tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)? Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya?

(Al-Syuara’: 224-226)

Tiga sifat khusus penyair ini, satupun tidak terdapat pada Nabi SAW. Orang yang mengikuti Nabi, mereka itu adalah orang yang diberi hidayah. Orang yang soleh serta bertaqwa di dalam agama, akhlak, tingkah laku serta pengurusan hidup mereka. Mereka itu bukan al-Ghawun (orang yang tidak ketahuan arah) dalam apa sahaja urusan mereka.

Nabi Muhammad SAW pula tidak pernah merayau-rayau ke lembah-lembah sepertimana yang dilakukan oleh para penyair. Tetapi baginda hanya mengajak kepada Allah yang satu, agama yang satu, jalan yang satu. Baginda tidak mengatakan apa-apa pun melainkan apa yang baginda akan lakukan. Baginda tidak lakukan melainkan apa yang baginda katakan Justeru itu, apa hubungan baginda dengan syair dan penyair? Apa pula hubungan syair dan penyair dengan baginda?

Demikianlah Allah memintas dakwaan mereka dengan jawapan yang releven bagi setiap kekeliruan yang dibangkitkan bagi menentang Nabi SAW, al-Quran dan Islam.

Kebanyakkan kekeliruan yang mereka bangkitkan adalah dalam isu Tauhid, kemudian risalah, kemudian kebangkitan orang mati serta pengumpulan mereka di hari Kiamat. Al-Quran telah memintas semua kekeliruan berkenaan Tauhid, bahkan menambah penjelasan yang mencerahkan permasalahan berkenaan di dalam pelbagai sisi. Serta menjelaskan kelemahan tuhan-tuhan sembahan mereka. Kemungkinan, inilah yang menjadi penyebab kepada kemarahan dan penentangan mereka sehingga berlaku apa yang telah terjadi.

Adapun daripada sudut risalah Nabi SAW. Dalam keadaan mereka mengiktiraf Nabi SAW adalah seorang yang jujur, amanah, baik perilaku serta bertaqwa, mereka tetap mendakwa bahawa kenabian dan risalah adalah sesuatu yang terlalu tinggi dan agung untuk diberikan kepada manusia. Manusia tidak mungkin boleh menjadi rasul. Di dalam akidah mereka, rasul tidak mungkin daripada kalangan manusia.

Apabila Nabi SAW mengiklankan kenabian baginda serta mengajak kepada keimanan, maka mereka membuat keliru lalu berkata:

وَقَالُوا مَالِ هَذَا الرَّسُولِ يَأْكُلُ الطَّعَامَ وَيَمْشِي فِي الْأَسْوَاقِ

Dan mereka pula berkata: "Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)?

(Al-Furqan: 7)

Mereka berkata: Sedangkan Muhammad itu hanya seorang manusia.

مَا أَنْزَلَ اللَّهُ عَلَى بَشَرٍ مِنْ شَيْءٍ

Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada manusia

(Al-An`am: 91)

Lantas Allah memintas mereka dengan berkata:

قُلْ مَنْ أَنْزَلَ الْكِتَابَ الَّذِي جَاءَ بِهِ مُوسَى نُورًا وَهُدًى لِلنَّاسِ

Bertanyalah (kepada kaum Yahudi yang ingkar itu): "Siapakah yang menurunkan Kitab (Taurat) yang dibawa oleh Nabi Musa sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia….

(Al-An`am: 91)

Mereka mengetahui serta mengiktiraf bahawa Musa adalah manusia. Allah juga memintas mereka dengan menyatakan setiap kaum berkata kepada rasul-rasul mereka sebagai pengingkaran terhadap rasul berkenaan:

إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُنَا

Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami

(Ibrahim: 10)

قَالَتْ لَهُمْ رُسُلُهُمْ إِنْ نَحْنُ إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَمُنُّ عَلَى مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ

Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka: "Kami ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu juga, tetapi Allah melimpahkan kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya;

(Ibrahim: 11)

Para nabi dan rasul itu tidak lain melainkan seorang manusia. Tidak ada sebarang pertembungan di anatara kemanusiaan dan risalah.

Para penentang itu mengiktiraf bahawa Ibrahim, Ismail dan Musa – alaihimussalam- adalah rasul serta mereka itu semua adalah manusia. Justeru itu, mereka tidak mempunyai peluang di dalam mengukuhkan kekeliruan ini, lalu mereka berkata: Tidakkah Allah menjumpai orang lain untuk membawa risalah ini selain anak yatim lagi miskin ini? Allah meninggalkan orang-orang besar Mekah dan Taif lalu mengambil si miskin ini sebagai rasul?

لَوْلَا نُزِّلَ هَذَا الْقُرْآنُ عَلَى رَجُلٍ مِنَ الْقَرْيَتَيْنِ عَظِيمٍ

Dan (kerana mereka mencemuh Nabi Muhammad) mereka berkata: "(Kalaulah Al-Quran ini menjadi bukti kenabian seseorang, maka) sepatutnya Al-Quran ini diturunkan kepada seorang besar (yang kaya dan berpengaruh) dari salah sebuah dua bandar yang (terkenal) itu?"

(Al-Zukhruf: 31)

Allah memintas mereka dengan firman-Nya:

أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ

Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara keruhanian dan keugamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja?)

(Al-Zukhruf: 32)

Wahyu dan risalah adalah Rahmat Allah lalu,

اللَّهُ أَعْلَمُ حَيْثُ يَجْعَلُ رِسَالَتَهُ

Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikanNya itu.

(Al-An`am: 124)

Mereka berpindah pula kepada kekeliruan seterusnya. Mereka mendakwa: Rasul ialah malaikat yang berjalan di syurga-syurga dengan penuh tenang, terpuji, mereka selesa dengan kebesaran dan keagungan. Diberikan segala keperluan hidup kepada mereka. Justeru itu, apa kena dengan Muhammad? Dia pergi ke pasar untuk mendapatkan keperluan hidup, kemudian dia mendakwa sebagai utusan Allah?

لَوْلَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مَلَكٌ فَيَكُونَ مَعَهُ نَذِيرًا (7) أَوْ يُلْقَى إِلَيْهِ كَنْزٌ أَوْ تَكُونُ لَهُ جَنَّةٌ يَأْكُلُ مِنْهَا وَقَالَ الظَّالِمُونَ إِنْ تَتَّبِعُونَ إِلَّا رَجُلًا مَسْحُورًا (8)

Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya (sebagai saksi yang membenarkannya). "Atau diberikan perbendaharaan harta benda kepadanya, atau ia mempunyai sebuah kebun untuk ia makan hasilnya". Dan orang-orang yang zalim itu berkata pula (kepada orang-orang yang beriman): "Sebenarnya kamu hanyalah menurut seorang yang tidak siuman".

(Al-Furqan: 7-8)

Disanggah kekeliruan mereka dengan menyatakan Muhammad adalah seorang rasul. Tujuannya adalah untuk menyampaikan risalah Allah kepada semua orang kecil atau besar, lemah atau kuat, mulia atau papa, bebas atau hamba. Sekiranya dia diselubungi dengan kemewahan, keagungan, kepujian, dilindungi, serta selesa di syurga seperti rasul malaikat, maka dia tidak akan mampu pergi kepada orang-orang yang lemah serta budak-budak sehingga mampu memberi manfaat kepada mereka. Sedangkan mereka itulah majoriti manusia. Apabila maslahah risalah telah terhapus, maka tidak ada faedah yang telah kami sebutkan.