Definasi Wajib dan Pendirian Terhadapnya

Definasi wajib:

هُوَ مَا طَلَبَ الشَارِع فِعلِه مِنَ المُكَلًّف طَلَبًا حَتمًا بِأَنّ اقتَرَنَ طَلَبَهُ بِمَا يّدُلُّ عَلَى تَحتِيِمِ فِعلِه

Sesuatu yang dituntut kepada Mukallaf oleh pembuat syariat untuk melaksanakannya dengan tuntutan yang tegas. Ia dihubungkan dengan tuntutan yang menunjukkan keatas ketegasan melaksanakannya.

Dalam erti kata yang lain: Sesuatu yang dituntut oleh pembuat syariat untuk melakukannya dalam bentuk yang tegas dan mesti. Sama ada ia diambil daripada bentuk tuntutan ataupun qarinah (penghubung) luar.

Pengertian wajib secara khusus (iaitu istimewa yang membezakan ia dengan yang lain serta menampakkan hakikatnya) ialah:

مَا يَمدَحُ فَاعِلِهِ وَيَذَمُّ تَارِكِهِ قَصَدًا

Sesuatu yang dipuji pelaku perbuatan itu serta dikeji orang yang sengaja meninggalkannya.[1]
Dikenali hukum wajib dengan bentuk suruhan (Ṣighāh al-Amr) seperti firman Allah:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ

Hendaklah kalian mendirikan solat serta menunaikan zakat...

(Al-Baqarah: 43)

Atau daripada Maṣdar al-Nāib `an fi`lihi seperti firman Allah:

فَإِذَا لَقِيتُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا فَضَرْبَ الرِّقَابِ

Apabila kalian bertemu (di dalam perang jihad menentang) orang yang kafir maka pancunglah tengkuk mereka....[2]

(Muhammad: 4)

Atau daripada Fi`l al-Muḍhāri` yang dihubungkan dengan huruf Lam seperti firman Allah:

لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ

7. hendaklah orang Yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya....

(Al-Ṭolāq: 7)

Atau daripada madah al-Fi`l

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

(Al-Baqarah 183)

Atau apa sahaja bentuk bahasa Arab yang menunjukkan kepada tuntutan yang mesti seperti firman Allah

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

.. dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan Ibadat Haji Dengan mengunjungi Baitullah Iaitu sesiapa Yang mampu sampai kepadayya..

(Ali Imran: 97)

Pendirian Wajib: Mesti melakukannya, mendapat pahala orang yang melakukannya, diseksa orang yang meninggalkannya, menjadi kafir orang yang mengingkarinya sekiranya ia sabit dengan dalil yang Qoṭ`ie.

Pembahagian Wajib:

Wajib terbahagi kepada 4 bahagian:

1-       Daripada sudut waktu melaksanakannya
2-       Daripada sudut pelaksanaannya
3-       Daripada sudut kemestian melakukannya
4-       Daripada sudut penuntuan tuntutan

Bahagian pertama: Daripada sudut waktu melaksanakannya

Ia terbahagi kepada dua iaitu:

Wajib Muṭlaq, Wajib Muqayyad atau Wajib Mu’aqqat.

  • Wajib Muṭlaq: Sesuatu yang dituntut oleh pembuat syariat untuk melakukannya dengan tegas tetapi ia tidak ditentukan waktu melaksanakannya seperti kafarah yang diwajibkan kepada orang yang melanggar sumpah dan janji. Bagi orang seperti itu, mereka tidak diwajibkan untuk melakukan pada waktu tertentu. Pelanggar sumpah itu boleh melakukannya dengan segera atau kemudian.


  • Wajib Muqayyad: atau Wajib Mu’aqqat: Ia adalah tuntutan pembuat syariat untuk melakukannya dengan tegas pada waktu-waktu tertentu seperti solat wajib yang lima. Telah ditetapkan waktu melaksanakan solat berkenaan pada waktu tertentu. Dengan maksud, tidak biwajibkan sebelumnya serta berdosa apabila mukallaf melewatkannya (sehingga luput) tanpa sebarang keuzuran. Demikian juga seperti puasa Ramadhan tidak diwajibkan sebelum bulan Ramadhan serta tidak juga dilaksanakan sesudahnya. Demikian juga semua kewajipan yang telah ditentukan oleh pembuat syariat untuk melakukannya pada waktu tertentu.


Tertib bagi perkara wajib Muaqqat dan mutlaq ialah: Wajib Muaqqat atau Muqayyad menhasilkan dosa bagi mukallaf yang melewatkannya daripada pada waktu sepatutnya tanpa sebarang keuzuran. Kerana ia mempunyai dua kewajipan: Kewajipan melaksanakannya serta kewajipan melaksankan pada waktunya.

Sesiapa yang melaksanakan perkara wajib setelah waktunya maka dia telah melaksanakan satu sahaja daripada kewajipan berkenaan iaitu melaksanakan perbuatan yang dituntut seperti solat. Ia telah meninggalkan perkara wajib yang satu lagi iatu melaksanakannya pada waktunya. Maka dia telah berdosa dengan meninggalkan kewajipan kedua tanpa uzur.

Manakala wajib mutlaq pula: Ia tidak mempunyai waktu tertentu untuk melaksanakannya. Mukallaf boleh melaksanakannya pada mana-mana waktu yang dia mahukan. Tidak berdosa untuk dia melakukan pada waktu apa pun.

Bersambung...





(Nota Kaki) 


[1] Rujuk: Syarh al-`Aḍd li mukhtaṣar al-Muntahā, 1/228, al-Mutaṣfā 1/42, Al-Ihkām oleh al-Āmidī 1/50.
[2] Huruf fa’ itu adalah Fa’ `Aṭifah bagi membawa tertib gesaan suruhan sebelumnya iaitu keadaan akan dating bergantung di dalam makna syaratnya juga. Taqdir bagi kenyataan berkenaan ialah: Pancunglah leher mereka ketika kalian bertemu dengan musuh-musuh kalian.