بِسم الله الرَّحْمَن الرَّحِيم
الْحَمد لله رب الْعَالمين وَلَا عدوان إِلَّا على الظَّالِمين وَالصَّلَاة وَالسَّلَام على سيدنَا مُحَمَّد سيد الْمُرْسلين وَإِمَام الْمُتَّقِينَ وعَلى آله وَصَحبه أَجْمَعِينَ (أما بعد)

Segala pujian hanya kepada Allah Tuhan semesta Alam. Tiada permusuhan melainkan kepada orang-orang yang zalim. Selawat dan salam ke atas Sayyiduna Muhammad, penghulu para utusan Allah, pemimpin orang-orang bertaqwa. Serta selawat dan salamjuga  kepada keluarga baginda dan semua sahabatnya. (Amma Ba`d)

Kitab ini mengandungi peringatan terhadap dosa-dosa besar (al-Kabā’ir), perkara-perkara haram (al-Muharramāt) serta perkara yang ditegah agama (al-Manhiyāt).

Dosa besar (al-Kabā’ir) ialah semua perkara yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya di dalam al-Qurān, al-Sunnah serta al-Asar para salafussoleh. Allah telah menjamin di dalam al-Quran bahawa sesiapa yang menjauhi dosa besar serta perkara haram, nescaya akan dihapuskan segala dosa kecil mereka.

Allah berfirman:

إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلًا كَرِيمًا

Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).

(Al-Nisā’: 31)

Dengan nas ayat ini juga, Allah menjamin bagi sesiapa yang menjahi dosa besar, nescaya akan dimasukkan ke dalam syurga.

Allah berfirman:

وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;

(Al-Syūrā: 37)

Serta firman Allah:

الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ

(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya.

(Al-Najm: 32)

Rasulullah SAW juga bersabda:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

Antara solat lima waktu, antara Jumaat sehingga Jumaat berikutnya, serta antara Ramadan sehingga Ramadan berikutnya merupakan penghapus dosa-dosa di antara kedua-duanya, sekiranya dosa besar dijauhi.

(HR Muslim di dalam Sahih Muslim: 16/233)[1]

Hadis di atas menjelaskan kepada kita untuk mengetahui tentang dosa-dosa besar. Apakah ia? Supaya umat Islam dapat menjauhinya. Justeru itu, kita dapati para ulama telah berbeza pendapat di dalam menentukan jumlahnya.

Sebahagian pendapat ada menyatakan (قيل): jumlahnya tujuh. Mereka menyandarkan sabda Nabi SAW:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ

Jauhilah tujuh dosa besar yang membinasakan.

(HR Al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari: 2766)[2]

Di dalamnya disebutkan dosa syirik, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan alasan yang benar, makan harta anak yatm, makan hasil riba, lari dari medan perang, serta menuduh wanita muslimah yang baik-baik berzina.

Ibn Abbas pula berkata: “Jumlahnya mencapai tujuh puluh.”[3] Sebahagian pendapat lain menyatakan sampai 700. Dalam hal ini pendapat Ibn Abbas lebih benar.

Hadis yang disebutkan tidaklah membataskan jumlah dosa besar. Bahkan dalil yang ada menegaskan bahawa sesiapa melakukan dosa yang terdapat padanya hukuman hudud di dunia seperti pembunuhan, penzinaan serta pencurian, atau terdapat ancaman keras bagi orang yang melakukannya di akhirat berupa siksa, kemarahan serta ugutan, atau terdapat laknat kepada pelakunya daripada lisan nabi kita Muhammad SAW maka semua itu dinilai sebagai dosa besar.

Kita juga hendaklah menerima bahawa di dalam dosa-dosa besar ada dosa besar yang lebih berat berbanding yang lain. Tidakkah kita melihat bahawa Nabi SAW telah mengkategorikan syirik kepada Allah sebagai dosa besar, bahkan pelakunya akan kekal di dalam neraka serta tidak akan diampunkan selama-lamanya!

Allah berfirman:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya).

(Al-Nisā’: 48)

Kita hendaklah mengumpulkan di antara kedua-dua nas berkenaan.Nabi SAW bersabda:

«أَلاَ أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الكَبَائِرِ؟» ثَلاَثًا، قَالُوا: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ، وَعُقُوقُ الوَالِدَيْنِ - وَجَلَسَ وَكَانَ مُتَّكِئًا فَقَالَ - أَلاَ وَقَوْلُ الزُّورِ»فَمَا زَالَ يُكَرِّرُهَا حَتَّى قُلْنَا: لَيْتَهُ سَكَتَ

Mahukah kamu jika aku nyatakan dosa besar yang paling berat? Baginda berkata tiga kali. Para sahabat menjawab: Bahkan kami mahu wahai Rasulullah! Baginda bersabda: Syirik kepada Allah, derhaka kepada kedua ibubapa – kemudian baginda duduk bersanda lalu berkata – dan kata-kata dusta. Baginda meneruskan kata-kata sehingga kami berkata: alangkah baiknya jika baginda berhenti.

(HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari: 2654)


Nabi SAW menjelaskan bahawa kata-kata dusta sebagai dosa besar yang paling berat. Ia tidak disebutkan di dalam 7 pdosa besar yang merosakkan. Demikian juga derhaka kepada kedua ibubapa. 

-------- NOTA KAKI ------------------

[1] Diriwayatkan juga oleh Ahmad, al-Tirmiẓi, Abu Daud dan lain-lain. Perawi sahabat di dalam hadis ini ialah Abu Hurairah. Hadis ini sahih tanpa sebarang kecacatan penilaian.

[2] Diriwayatkan juga oleh Imam Muslim dan imam-imam yang lain. Hadis ini mempunyai darjat Muttafaq `Alaih kerana direkodkan oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab sahih mereka dengan sanad (jalur) dan matan yang sama. Ia adalah hadis sahih yang berada pada kedudukan yang tinggi.

[3] Kata-kata ini direkodkan oleh para ulama antaranya Imam al-Baihaqi di dalam Syu`ab al-Imān: 290. Ditanya kepada Ibn Abbas: Dosa besar itu ada tujuh sahaja? Maka beliau menjawab: Ia hampir kepada tujuh puluh.