Kitab yang ditulis oleh al-Imam al-Zahabi ini mengumpulkan penjelasan berkenaan dosa-dosa besar yang wajib dijauhi oleh setiap orang beriman. Kitab ini mengumpulkan 70 dosa besar yang dijelaskan menggunakan pendekatan al-Quran, hadis, kata-kata para sahabat dan tabiin. 

Secara umumnya, buku ini sangat baik dan bermanfaat. Ia adalah penjelasan yang bermakna dan diperlukan bagi seluruh umat Islam. Namun, beberapa hikayat dan kisah yang disampaikan di akhir setiap perbahasan harus diteliti terlebih dahulu sebelum disebarkan. Kerana ia tidak mempunyai sanad. Kadangkala ia merekodkan hadis yang tidak sahih, bahkan palsu.

Sehingga sebahagian ulama mempertikaian kesahihan buku ini disandarkan kepada al-Imam kerana banyak hadis yang beliau rekodkan di dalam buku ini sedangkan di dalam buku lain dia menyatakan ia palsu dan mengejinya. Sebahagian orang yang mahu bersangka baik menyatakan kemungkinan buku ini ditulis pada fasa awal al-Imam menuntut ilmu. Justeru itu, setiap buku al-Kabair yang dibeli hendaklah dipastikan mempunyai takhrij dan ta`liq oleh ulama hadis di dalamnya. 

Kitab ini hanya tinggal di dalam tulisan tangan (makhṭuṭ) sehingga tahun 1355H. Pada tahun berkenaan, Syeikh Muhammad Abdul Razaq Hamzah – Pengajar di Masjid al-Haram, Mekah- telah melakukan kerja penelitian semula (tahqiq, takhrij dan ta`liq) kali pertama bagi kitab ini lalu dicetak dan disebarkan. 

Kami menggunakan takhrij, ta`liq dan tahqiq oleh Abdul Rahman Fākhūry yang diterbitkan oleh Maktabah Dar al-Salām, Kaherah. Tahun 2011. Penelitian Syeikh Abdul Rahman dipilih kerana beliau kritis di dalam kerja-kerja tahqiq sehingga menjadikan pelbagai kitab-kitab tahqiq sebelum ini sebagai rujukan. Bahkan beliau berhati-hati supaya tidak mengulangi kesalahan orang sebelumnya.

Terdapat tahqiq, takhrij, dan ta`liq yang juga bermanfaat untuk dijadikan rujukan iaitu daripada Syeikh Muhyidin Mastu cetakkan Dar Ibn Kasir, Damsyiq Syria dan Maktaba Dar al-Turās, Madinah, Arab Saudi. Ia mengandungi 76 dosa besar. Menurut Syeikh Muhyiddin, itulah yang bertepatan dengan penulisan Al-Kabair yang sebenar. Ia menepati kaedah Imam al-Zahabi di dalam dunia hadis dan tidak nampak cacat celanya. Menurut beliau juga, kitab al-Kabair yang didapati oleh orang ramai ialah daripada kitab yang telah ditambah oleh penceramah yang tidak bertanggungjawab yang telah membuang banyak hadis, menambah hadis dhoif, cerita-cerita dan khayalan.

Dalam pengajian kita, kita akan menggunakan kedua-dua tahqiq berkenaan dalam menilai dan mengambil manfaat.