Header Ads

Book an appointment with SetMore

Khutbah Jumaat: Tanda Cinta Allah, Ikut Nabi

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, 

Saya berpesan pada diri saya dan sekalian yang hadir marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah dengan meningkatkan dan menambah ilmu, amal dan iman. Hanya dengan bekalan itu kita mampu mentaati sepenuhnya perintah yang datang daripada Allah SWT. Mudah-mudahan kita semua digolongkan sebagai orang yang bertakwa di sisi-Nya.

Hadirin Jumaat sekalian,

Allah swt berpesan di dalam Surah Ali Imrān, ayat 31-32,

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ { ( 31 ) قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ (32 )

31. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu cintakan Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

32. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.”

[Ali Imraan, 31-32]

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ayat ini menjadi faktor penentu kepada orang yang mendakwa bahawa mereka mencintai Allah. Ia menjadi kayu pengukur kepada tahap keimanan terhadap Allah dan rasul-Nya. Jika mereka mendakwa cinta kepada Allah tetapi tidak menjadikan jalan Nabi saw sebagai jalan mendekati Allah, sesungguhnya mereka itu seorang penipu.

Sebahagian orang mendakwa mereka mencintai Allah, sedangkan mereka itu sedikitpun tidak mahu melaksanakan tuntutan Allah dan rasul-Nya. Mereka tidak suka apabila mendengar hadis-hadis Nabi SAW. Bahkan, apabila ahli ilmu mengatakan hadis sekian-sekian adalah dusta, mereka tidak mahu menerima, bahkan mahu berpaling supaya tidak berselisih dengan orang lain. Tetapi mereka sanggup berselisih dengan Nabi SAW!

Orang seperti ini sekadar mencintai Allah tanpa sebarang tindakan. Kata-kata kosong yang hanya mereka sahaja yang mengetahuinya. Mereka tidak berjaya membuktikan dengan amalan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mencintai Allah adalah tanggungjawab dan urusan manusia. Manakala, dicintai Allah adalah tanda rahmat dan kasih sayang Allah.

Kata para ulama,

ليس الشأن أن تُحِبّ، إنما الشأن أن تُحَبّ

Bukan menjadi urusanmu untuk dicintai, tetapi urusanmu adalah untuk mencintai.

Sebagai seorang hamba, kita bersyukur dengan pemberian Allah yang merupakan Tuan dan Tuhan kita. Kita diberikan keindahan kebahagian rumahtangga, lalu kita bersyukur kepada Allah. Kita diberikan kerja yang menyebabkan boleh makan minum, maka kita berterima kasih kepada Allah. Dengan segala nikmat pemberian Allah, maka kita sangat mencintai Allah. 

Cinta kita kepada Allah adalah lumrah yang telah menjadi kewajipan kita sebagai hamba. Namun, ayat 31 surah Ali Imran sebelum ini menyatakan satu jangkauan luar biasa. Iaitu, apabila kita ikut Nabi, maka Allah akan cintakan kita! Subhanallah, apa yang lebih berharga di dalam hidup ini selain daripada cinta Allah kepada kita?!

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Apa sebab ayat ini diturunkan? Kata Hasan al-Basri, ‘Satu kaum telah mendakwa bahawa mereka mencintai Allah, lalu Allah uji mereka dengan ayat 31-32 surah Ali Imran.

Al-Baghawi dalam tafsirnya berkata bahawa ayat 31-32 ini diturunkan kepada orang Yahudi dan Kristien yang berkata:

نَحْنُ أَبْنَاءُ اللَّهِ وَأَحِبَّاؤُهُ

Kami adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasihNya.

(Al-Māidah: 18)

Al-Ḍahāq pernah merekodkan sebuah cerita daripada Ibnu Abbas,

“Nabi bersama orang Quraisy dalam Masjidil Haram. Ketika itu, mereka sedang menghiasi berhala-berhala mereka, mereka meletakkan di atasnya kalung-kalung, dan menggantung anting-anting di telinga berhala itu. Mereka menyembah berhala itu.

Lantas Rasulullah berkata, 

يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ وَاللَّهِ لَقَدْ خَالَفْتُمْ مِلَّةَ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ

“Wahai sekelian orang Quraisy, sesungguhnya kamu semua telah berbeza dengan agama datuk moyang kamu Ibrahim dan Ismail!”

Lalu orang Quraisy itu menjawab, 

إِنَّمَا نَعْبُدُهَا حُبًّا لِلَّهِ لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى

“Sesungguhnya kami ini hanya menyembahnya kerana terlalu cintakan Allah, bagi mendekatkan diri dengan Allah dengan sedekat-dekatnya.”

Lantas Allah memintas mereka dengan jawapan, “Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad, bahawa seandainya kamu mencintai Allah lalu menyembah berhala-barhala itu dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah (maka tinggalkanlah perbuatan itu.) Lalu ikutlah aku (Rasulullah) nescaya Allah akan mencintai kamu. Sesungguhnya aku ialah utusan Allah kepada kamu dan akan menjadi hujah Allah keatas kamu; ikutlah ajaranku dan sunnahku nescaya Allah akan mencintai kamu.”

(Tafsir al-Bagawī, Jilid 2, Halaman 27, cetakan Dār Ṭaibah, 1997)

Jadi, kita dapat memahami bahawa kecintaan seorang yang beriman kepada Allah ialah dengan mencintai Rasulullah saw. Kecintaan kepada Rasulullah saw dibuktikan dari segi mengikut segala perintah dan menjauhi larangan Rasulullah saw.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Seorang yang menzahirkan rasa cinta dengan kata-kata, tetapi berbeza dengan perbuatannya, mereka ini tidak mencintai Allah dan rasulNya.

Rabi`ah al-`Adāwiyyah bersyair:

تَعْصِي الْإِلَهَ وَأَنْتَ تُظْهِرُ حُبَّهُ ... هَذَا مُحَالٌ فِي الْفِعَالِ بَدِيعُ
لَوْ كَانَ حُبُّكَ صَادِقًا لَأَطَعْتَهُ ... إِنَّ الْمُحِبَّ لِمَنْ أَحَبَّ مُطِيعُ"

Kamu derhaka kepada Tuhan, sedangkan kamu menunjukkan kata cinta..Sesungguhnya bagiku perkataan ini adalah mustahil dalam kias yang sangat hodoh.

Seandainya cinta kamu itu benar, nescaya kamu mentaatinya,Sesungguhnya bagi pecinta adalah mentaati orang yang dicintainya.

(Syu`ab al-Imān: 491)

Rasulullah diutuskan untuk menunjukkan jalan ibadah kepada Allah. Justeru, telah sempurna ibadah dengan kematian Nabi saw. Tidak boleh wujud lagi ibadah baru dalam agama. Jika masih wujud ibadah baru, maka ibadah Nabi saw cuba dipertikai.

Kata Rasulullah saw,

"مَنْ عَمِلَ عَمَلا لَيْسَ عليه أمْرُنَا فَهُوَ رَدُّ"

Siapa yang melakukan sesuatu amalan, sedangkan ia tidak ada dalam urusan kami, maka amalan itu tertolak.

[Direkod oleh Muslim, 4590]

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Setiap kali sambutan Maulidur Rasul, majoriti umat Islam di Malaysia meraikannya. Pemerintah mengajak rakyat berarak di jalanraya. Para guru bersiap sedia dengan pelbagai persiapan. Ustaz dan Ustazah sedia mengisi ceramah cerita kelahiran Nabi SAW.

Bukan isu hukum menyambutnya, apakah ia menyerupai Kristien yang menyambut Maulidul Isa (Christmas). Tetapi isunya ialah cerita Nabi semakin menjadi kuno. Ia seperti cerita dongeng yang tiada kesan. Tidak memberi kesan.

Pemerintah tetap begitu, tidak meneladani Nabi dalam pemerintahan. Guru tetap begitu, masih tidak mahu meneladani didikan madrasah Nabi saw. Ibu dan ayah tetap begitu, mengabaikan tanggungjawab sedangkan Nabi sering mengingatkan bahaya dan bencananya.Isu ini cuma boleh diselesaikan dengan ilmu dan amalan.

Kata Rasulullah saw, 

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

“Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan pada dirinya, nescaya Allah akan memberi kefahaman tentang hal agama kepadanya.”

[Direkod oleh al-Bukhari, 3116]

Justeru itu, sebagai seorang umat Islam yang sangat mencintai Allah dan rasul-Nya, kita hendaklah berusaha untuk mengikuti nabi SAW di dalam pelbagai aspek kehidupan. Kita mahu beribadah sepertimana yang ditunjukkan oleh nabi, kita mahu berurusan dengan keluarga seperti ajaran nabi, kita mahu bermasyarakat seperti petunjuk nabi. Maka akhirnya kita akan menjadi umat Nabi SAW yang tulin. 

Para ulama kita telah bertukus lumus di dalam memastikan amal perbuatan kita berlandaskan kepada petunjuk Nabi SAW. Di kalangan mereka ada guru dan murid. Tetapi murid bersedia berbeza dengan gurunya hanya semata-mata bagi menunjukkan ketinggian kebenaran.
 
Di dalam kitab Al-Madkhal li Dirāsat al-Sunnah, Dr. Yusuf al-Qaraḍawi menyebutkan tentang kaedah al-Majāz di dalam al-Sunnah. Di akhir perbahasan, Dr. Yusuf mahu menunjukkan juga pandangan ulama yang berbeza pendapat dengan beliau. Lalu beliau berikan pendapat al-Imām Ibn Taimiyyah. Kemudian Dr. Yusuf berkata: 

“Al-Imām Ibn Taimiyyah adalah salah seorang daripada ulama yang aku sangat cintai – bahkan beliau adalah yang paling aku cintai dalam kalangan mereka – di dalam jantung hati ku. (Pandangannya) paling dekat di akalku. Tetapi aku berbeza dengannya dalam hal ini (penolakan terhadap al-Majaz) sepertimana beliau telah berbeza dengan ulama sebelumnya. Sepertimana beliau mengajarkan kita untuk berfikir dan tidak hanya bertaqlid (buta), mengikuti dalil tidak hanya mengikuti seseorang, mengenali seseorang dengan kebenaran bukan mengenali kebenaran dengan seseorang. Justeru itu aku mencintai Ibn Taimiyyah tetapi aku bukan “Taimi” (pentaksub Ibn Taimiyyah).

(Rujuk: Yusuf al-Qaradhawi, Kitab Al-Madkhal Li Dirasati al-Sunnah, Maktabah Wahbah, Cetakkan ketujuh, 2010.)

Demikian kesungguhan para ulama di dalam memastikan ketinggian al-Sunnah. Para ulama mazhab juga demikian. Mereka tidak mencipta mazhab untuk menjadi orang terhormat. Tetapi mereka membantu masyarakat untuk memahami tuntutan mengikuti Nabi SAW. Maka orang yang belajar pasti biasa menemui hujah yang kuat dan lemah. Setiap hujah itu hanya semata-mata mahu meninggikan kalimah cinta kepada Nabi SAW. 

Allah berfirman:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلَّا لِيُطَاعَ بِإِذْنِ اللَّهِ وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ جَاءُوكَ فَاسْتَغْفَرُوا اللَّهَ وَاسْتَغْفَرَ لَهُمُ الرَّسُولُ لَوَجَدُوا اللَّهَ تَوَّابًا رَحِيمًا

64. dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati Dengan izin Allah. dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (Wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

(Al-Nisā’: 64)




No comments

Powered by Blogger.