Imam Muslim merekodkan hadis daripada Anas bahawasanya Rasulullah s.a.w. didatangi oleh Malaikat Jibril ketika baginda sedang asyik bermain bersama teman-teman sebayanya. Jibril menggendongnya lalu membaringkannya, kemudian membelah bahagian jantungnya. Jibril mengeluarkan jantung baginda, lalu mengeluarkan segumpal darah. Jibril berkata kepada baginda, 

“Inilah bahagian syaitan yang ada pada dirimu.” 

Jibril lalu mencuci gumpalan darah itu menggunakan air zamzam dalam sebuah bekas emas. Selepas mencucinya, Jibril membalut kembali gumpalan darah itu sehingga keadaannya pulih seperti semula lalu dikembalikan ke tempatnya. Sementara kanak-kanak yang tadi bermain bersama-sama baginda telah lari menemui ibu baginda (Halimah). Mereka melaporkan, “Muhammad telah dibunuh!” Dalam situasi ketakutan, mereka mendatangi Nabi Muhammad s.a.w.,setelah sampai di sana, mereka dapati baginda berubah warna.

Anas menyatakan: Aku pernah melihat kesan jahitan itu di dada baginda. 

Pengajaran daripada peristuwa ini

  1. Semua isu yang disebutkan di dalam peristiwa ini bersifat fizikal - iaitu berlaku secara zahiriyyah, bukan ma`nawi atau khayalan. Jika umat Islam mengingkari kisah ini berlaku secara jaga, maka ia tidak berbeza dengan pandangan yang menyatakan kisah ini dialami oleh Nabi Muhammad ketika dalam khayalan dan mimpi - mereka mendakwa, ia hanyalah dongengan sahaja!
  2. Al Hafizh Ibnu Hajar al Asqalani rahimahullah mengatakan, semua riwayat yang menjelaskan peristiwa pembedahan dada, pengeluaran jantung beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan pelbagai peristiwa luar biasa lainnya, merupakan hal-hal yang wajib diimani (diterima dengan lapang dada) tanpa berusaha mengalihkannya dari makna yang sebenarnya.
  3. Jibril membelah dada Nabi Muhammad, lalu dikeluarkan jantung baginda, bukan hati. Terjemahan secara tidak berhati-hati “Al-Qalb” kepada hati menyebabkan salah faham di dalam memahami teks hadis. 
  4. Peristiwa ini menjadi petunjuk bahawa umat Nabi Muhammad SAW akan dimuliakan dengan perubatan jenis ini. Pada hari ini, pelbagai pembedahan telah berlaku dan sangat menakjubkan!