Ibn Qayyim berkata:

Antara ciri hadis palsu juga ialah terdapat pendustaan yang jelas yang dapat dirasai seperti hadis berikut:

الْبَاذِنْجَانُ لِمَا أُكِلَ لَهُ

“(Khasiat) terung sesuai dengan niat orang yang memakannya.” 

Dan hadis:

وَالْبَاذِنْجَانُ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ

“Terung adalah ubat bagi segala penyakit.” 

Semoga Allah menghina pembuat hadis palsu ini. Hadis ini, andai diucapkan oleh sebahagian doktor yang jahil nescaya orang ramai akan mencelanya. Jika terung ini sebagai ubat bagi demam dan sakit hitam pekat, atau untuk mengubati pelbagai jenis penyakit lain, maka terung tidak akan menambahkan sesuatu melainkan menambahkan penyakit sahaja. Jika orang miskin makan terung dengan niat untuk menjadi kaya, dia tidak akan memperoleh kekayaan. Jika seorang yang bodoh makan terung dengan tujuan untuk menjadi pandai, dia tidak akan mendapat ilmu.

Ulasan Saya: 

Sayuran seperti terung telah dikenali di dalam masyarakat sebagai makanan yang menjadi penyedap mulut tetapi banyak keburukan. Ia tidak ditinggalkan kerana telah menjadi kesukaan mulut ramai orang. Sepertimana makanan petai dalam masyarakat melayu, ia tidak disukai oleh ramai orang – kerana mengeluarkan bau yang tidak enak. Bahkan, orang yang memakan petai jika mendengar hadis kelebihan petai, dia sendiri akan menyatakan keraguannya!

Ibn Qayyim berkata:

Begitu juga dengan hadis berikut: 

إِذَا عَطَسَ الرَّجُلُ عِنْدَ الْحَدِيثِ فَهُوَ دَلِيلُ صِدْقِهِ

“Jika seorang lelaki bersin ketika sedang berbicara, maka itu petanda kebenaran kata-katanya.” 

Meskipun sebahagian orang mensahihkan sanad hadis ini , kenyataan ini membuktikan kepalsuan kandungannya. Ini kerana, kita menyaksikan berapa ramai orang yang bersin semasa berdusta. Kalaulah ada 100,000 orang yang bersin tatkala dibacakan hadis yang diriwayatkan daripada Nabi SAW belum boleh disahkan bahawa hadis tersebut sahih dengan sebab bersin. Demikian juga, jika mereka bersin ketika disampaikan kesaksian palsu, maka persaksian tersebut tidak boleh dibenarkan.

Ulasan Saya: 

Sekiranya bersin menjadi petanda kebenaran, maka akan runtuhlah pelbagai dakwaan dan bukti. Ilmu benar dan salah sudah tidak lagi boleh menjadi nilai apabila seseorang bersin. Sedangkan seorang Muslim yang soleh memerlukan bantuan penyaksian di dalam kes zina, sumpah dan sebagainya – bagaimana hadis ini boleh diterima? Ia benar-benar melawan akal siapa sahaja. 

Ibn Qayyim berkata:

Begitu juga hadis:

عَلَيْكُمْ بِالْعَدَسِ فَإِنَّهُ مُبَارَكٌ يُرَقِّ الْقَلْبَ قُدِّسَ فِيهِ سَبْعُونَ نَبِيًّا

“Hendaklah kalian makan kacang dal kerana padanya keberkatan, melembutkan hati, dan telah disucikan oleh 70 orang nabi.” 

Abdullah bin al-Mubarak pernah ditanya berkenaan hadis ini. Dikatakan kepada: “Sesungguhnya hadis ini diriwayatkan daripada engkau.” Maka jawabnya (dengan kehairanan): “Dan dariku juga?!”

Tiada keistimewaan pada kacang dal kecuali sebagai bahan makanan yang sesuai dengan selera Yahudi. Kalau benar ada seorang nabi yang mensucikan kacang ini, nescaya adas akan menjadi ubat pelbagai penyakit. Bahkan, bagaimana pula kalau yang mensucikannya adalah 70 orang nabi.

Allah mensifatkan makanan ini sebagai adna-kurang baik (Surah al-Baqarah: 61) dan mencela orang yang lebih mengutamakannya berbanding manna dan salwa. Serta menyebutkannya seiring dengan bawang putih dan bawang merah.

Apakah menurutmu ada nabi dalam kalangan bangsa Israel yang mensucikan makanan ini dengan pelbagai kecacatan? Penyakit yang terkandung di dalamnya sejumlah mudarat seperti sakit hitam (masalah hempedu hitam), angin pasang, sesak nafas, darah kotor dan pelbagai lagi mudarat fizikal.

Kemungkinan besar hadis ini dipalsukan oleh orang yang lebih suka kacang adas berbanding manna dan salwa atau yang serupa dengan mereka.

Ulasan saya: 

Rujuk ayat al-Quran berikut: 

Ayat (1) : Al-Baqarah: 57

57. dan Kami telah menaungi kamu Dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa", (serta Kami berfirman): "Makanlah dari makanan-makanan Yang baik Yang Kami telah kurniakan kepada kamu". dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.

Ayat (2): Al-Baqarah: 61

61. dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa, Kami tidak sabar (sudah jemu) Dengan makanan Yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi Kami sebahagian dari apa Yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya". Nabi Musa menjawab: "Adakah kamu mahu menukar sesuatu Yang kurang baik Dengan meninggalkan Yang lebih baik? ....

Kedua-dua ayat ini menunjukkan ketidakpuasan Bani Israil terhadap kurniaan Allah SWT. Telah diberikan nikmat makanan daripada syurga, mereka minta lagi makanan dunia seperti adas.

Ibn Qayyim berkata:

Antara lain adalah hadis:

إن الله خلق السموات وَالأَرْضَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ

“Sesungguhnya Allah menciptakan langit dan bumi pada hari Asyura.” 

Ulasan Saya: 

Hari Asyura datang kemudian. Ibn Abbas (r.a) menceritakan; "Apabila Rasulullah S.A.W datang ke Madinah, baginda melihat orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura, lalu baginda bertanya: "Apakah ini?". Mereka (orang Yahudi) menjawab: "Hari ini adalah hari yang baik kerana pada hari ini Allah menyelamatkan Nabi Musa dan bangsa Israel daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa". Lalu baginda (Nabi Muhammad) bersabda:

فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ

 "Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu." 

Baginda (Nabi Muhammad) pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa."

(Direkod oleh al-Bukhari di dalam Sahih: 2004)

Ibn Qayyim berkata: 

Antara lain adalah hadis:

اشْرَبُوا عَلَى الطَّعَامِ تَشْبَعُوا

“Minumlah sebelum makan, nescaya kalian akan kenyang.” 

Sesungguhnya minum sebelum makan adalah memudaratkan, dan akan menghalang makanan berada di perut serta melambatkan proses pencernaan.

Ulasan Saya: 

Makan supaya cepat kenyang kemudian cepat semula lapar bukanlah kehendak agama. Demikian juga larangan minum semasa makan – tidak terdapat hadis dalam isu ini – oleh itu nasihat pakar kesihatan perlu diutamakan. 

Ibn Qayyim berkata:

Antara lain adalah hadis:

أَكْذَبُ النَّاسِ الصَّبَّاغُونَ وَالصَّوَّاغُونَ

Manusia paling penipu adalah para tukang celup kain dan tukang tempa logam.” 

Realiti sebenar menafikan hadis ini. Ini kerana kebohongan yang dilakukan oleh selain daripada dua golongan di atas berkali ganda lebih dahsyat, seperti kelompok Rafidhah (Syiah), di mana mereka adalah makhluk Allah yang paling pendusta. Begitu juga para bomoh, peramal dan ahli tilik bintang.

Ada sebahagian orang menafsirkan hadis ini dengan menyatakan bahawa tukang celup kain itu adalah orang yang menambah lafaz-lafaz hadis untuk memperindahkannya, dan yang dimaksudkan dengan tukang tempa logam adalah orang yang mencipta hadis . Sedangkan tiada asal-usulnya sama sekali penafsiran seperti itu. Demikian adalah sikap menyusahkan diri untuk membela hadis yang batil. 

Ulasan Saya: 

Di antara hadis palsu yang lain yang dapat dirasai kepalsuannya sekalipun tidak diteliti sanadnya ialah: 

(1) Hadis kelebihan dan sunnah makan kopi sedangkan pada zaman Nabi Muhammad, belum ditemui minuman kopi. Tiada hadis sahih yang menunjukkan Nabi menyukai Qaḥwah – Kopi.

(2) Hadis berkaitan rokok

(3) Hadis berkaitan doa awal tahun dan akhir tahun