Al-Imam al-Suyuti merekodkan:

(1) Imam Ahmad merekodkan daripada Ali, katanya: Rasulullah telah menetapkan:  

الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ

Anak dinasabkan kepada pemilik katil (ayahnya), dan bagi penzina pula adalah kekecewaan (tidak mendapat apa-apa).

(2) Imam al-Bukhāri dan Muslim merekodkan daripada Abu Hurairah, katanya: Rasulullah bersabda: 

الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ

Anak dinasabkan kepada pemilik katil (ayahnya), dan bagi penzina pula adalah kekecewaan (tidak mendapat apa-apa).

SEBAB HADIS INI DILAFAZKAN

Imam al-Bukhāri dan Muslim merekodkan hadis daripada Aisyah, katanya: Telah berlaku pertengkaran antara Saad bin Abi Waqas dan ‘Abd bin Zam’ah pada isu seorang budak lelaki. 

Saad berkata: “Wahai Rasulullah, saudaraku ʿUtbah bin Abi Waqqāṣ telah bersumpah bahawa budak itu anaknya. Lihat pada iras wajahnya.”

ʿAbd bin Zamʿah pula berkata: “Budak ini adik aku wahai Rasulullah! Dia lahir dari katil bapaku dari hamba perempuan ayahku.”

Rasulullah melihat kepada kemiripan budak itu dan baginda melihat ia sahangat mirip dengan Utbah.Kemudian, baginda berkata:

هُوَ لَكَ يَا عَبْدُ بْنَ زَمْعَةَ، الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ، وَاحْتَجِبِي مِنْهُ يَا سَوْدَةُ بِنْتَ زَمْعَةَ

“Dia adalah bagimu wahai ‘Abd bin Zam’ah. Anak dinasabkan kepada pemilik katil (ayahnya), dan bagi penzina pula adalah kekecewaan (tidak mendapat apa-apa). Dan berhijablah daripadanya wahai Saudah!

Saudah tidak pernah berjumpa budak itu sekalipun.

Ulasan Saya: 

(1) Kekecewaan atau Rejam?

Maksud kekecewaan di dalam hadis ini ialah dia lelaki penzina tidak mempunyai apa-apa habuan kemudian hari, sama ada pewarisan, pewalian, asuhan dan sebagainya. Ia tidak membawa maksud batu - direjam kerana bukan semua penzina direjam, yang direjam hanyalah penzina yang telah berkahwin, makala yang belum berkahwin disebat dengan 100 rotan – demikianlah pandangan Imam al-Nawawi. 


(2) Dosa Penzina dan Anaknya

Perbuatan zina adalah perbuatan yang keji. Ia adalah kesalahan besar yang dilakukan oleh seorang lelaki dan wanita. Allah berfirman: 

32. dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan).

(Al-Israa: 32)

Ia adalah perbuatan yang tidak baik kerana telah melanggar etika agama di dalam sosial menjaga keturunan. Namun begitu, kesalahan berat itu adalah kesalahan berat ibubapa – persoalannya bagaimana pula kesan itu kepada anak yang dilahirkan sedangkan Allah berfirman: 

.dan (ingatlah) seseorang Yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). ...

(Al-Zumar: 7)

Dalam isu Anak Zina ini, hadis ini sangat membantu kita memahami kehendak agama di dalam isu ini. 

(2) Perbezaan Konsep Anak Tak Sah Taraf di Malaysia

Menurut biologi, apabila seseorang lelaki menyetubuhi seorang wanita, kemudian melahirkan anak daripada hasil persetubuhan berkenaan, maka anak itu adalah anak lelaki berkenaan. Bahkan doktor boleh mengesahkannya. 

Menurut agama pula, seseorang anak yang dilahirkan dalam usia perkahwinan dan tidak dinafikan oleh suami, maka anak itu adalah anak pasangan berkenaan. Namun, ia akan dianggap tidak sah taraf jika tidak berlaku pernikahan (zina atau rogol) atau kurang 6 bulan – menurut satu pendapat.

Di dalam Undang-undang Malaysia, seseorang anak yang tidak didaftarkan kelahiran akan dianggap anak tidak sah taraf sekalipun daripada sudut biologi dan agama, itu adalah anaknya. 

Tiga hakikat ini hendaklah difahami kerana ia memberi kepentingan kepada anak dan ibubapa itu di kemudian hari. 

(3) Hukum Nasab Anak Zina

Sekiranya seorang wanita melahirkan seorang anak yang lahir setelah lebih 6 bulan berkahwin dengan suaminya, maka anak itu menjadi milik suaminya melainkan suaminya itu menafikan.

Sekalipun datang seorang lelaki lain menyatakan bahawa anak itu adalah anaknya tetapi sang suami tidak menafikan anaknya, maka anak itu menjadi milik nasabnya. 

Isu:  Jika anak itu lahir kurang daripada tempoh 6 bulan perkahwinan – adakah boleh dinasabkan kepada suami ibunya? 

Maka urusan ini menjadi perselisihan pendapat dalam kalangan ulama: 

Pendapat 1: Kebanyakkan ulama daripada mazhab empat, al-Zahiriyyah dan alin-lain menyatakan bahawa anak hasil zina itu tidak dinasabkan kepada bapa zinanya. Ia dinasabkan kepada ibunya dan mewarisi ibunya. Di Malaysia, kebanyakkan negeri mengambil keputusan untuk tidak menasabkan anak zina kepada “ibunya” tetapi kepada Abdullh atau Asma al-Husna yang berpangkal Abdul. Jika penjaga anak itu bernama Abdullah, anak berkenaan hendaklah dibinkan kepada Abdul yang lain. 

Mereka berhujah dengan hadis ini dengan kefahaman – Nabi Muhammad SAW tidak menganggap seorang itu adalah milik seseorang melainkan jika ia dilahirkan di atas katil ibubapanya. Lebih jelas, anak itu hanya dinasabkan kepada bapanya yang menikahi ibunya.

Pendapat 2: Menurut pendapat sebahagian ulama generasi Tabiin seperti ‘Urwah bin al-Zubair, Sulaiman bin Yasār, al-Hasan al-Basri, Ibn Sirin, Ibrahim anl-Nakhā`ie Ishaq bin Rahuyah dan lain-lain - berpegang bahawa anak zina boleh dinasabkan kepada bapa zinanya sekalipun jika wanita berkenaan tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina dengannya. Namun syaratnya mestilah wanita tersebut juga tidak berkahwin dengan lelaki lain.

Senario Tanah Airku 

Di Malaysia, pihak pendaftaran enggan mendaftarkan anak orang Islam secara di ‘bin’ kan kepada bapanya jika tempoh perkahwinan mereka kurang daripada enam bulan. Dalam ertikata lain anak tersebut dianggap ‘anak luar nikah’.

Hasil daripada peraturan ini maka ramai anak yang tidak dibinkan kepada bapa mereka. Lebih menyedihkan apabila anak tersebut mendapati hanya dia yang tidak berbinkan bapanya sedangkan adik-beradiknya yang lain berbinkan bapanya. Ini merupakan satu tekanan kepadanya yang tidak berdosa dalam perkara tersebut.
Pihak ibubapa pula, amat sukar untuk menerangkan masalah tersebut kepada anak berkenaan kerana itu akan membuka ‘aib yang telah cuba ditutup. Di samping boleh menghilangkan rasa hormat anak kepada ibubapa yang telah insaf dan sedang membina dan mendidik keluarga. 

Mereka juga berdalil dengan hadis ini dengan kefahaman berikut - Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah s.a.w memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina. Juga hadis ini menunjukkan penyelesaian Nabi s.a.w yang tidak ingin membongkar keburukan yang lepas. Jika baginda memutuskan kes seperti itu mesti diselidiki maka sudah pasti berbagai keburukan peribadi akan terdedah dan menyebabkan keruntuhan kepada keluarga. Selagi mana si suami sendiri menerima anak itu adalah anaknya, maka tiada alasan untuk mereka yang tidak berkahwin secara sah dengan si ibu membuat tuntutan.

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Lelaki dan wanita yang berzina jika bertaubat kepada Allah dan ingin keluar dari yang haram kepada yang halal, dari kehidupan yang dicemari kepada kehidupan yang bersih, berubah kehidupan mereka dari zina yang haram kepada persetubuhan yang halal, maka perkahwinan mereka sah dengan ijmak (sepakat tanpa kecuali seluruh para mujtahid)…beberapa tokoh fekah salaf; ‘Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahuyah dan selain mereka berpendapat harus dinasabkan anak zina kepada bapa zinanya jika wanita berkenaan tidak pernah berkahwin (selepas itu). Pendapat ini disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qayyim”. (lihat: islamonline.net).

Sebahagian negeri telah mengeluarkan fatwa: 

“Anak yang lahir kurang daripada 6 bulan ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami”

Kebaikan Fatwa Ini:

(1) Menutup keaiban lepas yang berlaku kepada pasangan yang sudah berkahwin dan bertaubat.

(2) Menghilangkan perasaan malu dan terasing anak yang selama ini tidak dibinkan kepada bapanya disebabkan faktor kekurang tempoh perkahwinan.

(3) Membantu ibubapa yang terlanjur meneruskan kehidupan dan pembinaan keluarga.

(4) Mengapa 6 Bulan? 

Di dalam surah Al-Ahqaf, Allah berfirman: 

15. dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya Dengan menanggung susah payah. sedang tempoh mengandungnya beserta Dengan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa tiga puluh bulan...

(Al-Ahqāf: 15)

Di dalam surah Luqman pula, Allah berfirman: 

14. dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; 

(Luqman: 14)

Ayat pertama, Allah menyatakan 30 bulan ialah tempoh mengandung dan menyusu, manaklaa dalam ayat kedua Allah menyatakan dua tahun iaitu 24 bulan adalah tempoh menyusu. Maka dapat difahami, baki daripada tempoh berkenaan ialah tempoh mengandung – iaitu 6 bulan. 

(5) Kaitan fatwa dan kefahaman sebab hadis ini diturunkan. 

Apabila kita meneliti sebab hadis ini dinyatakan, maka kita akan lebih mudah menilai pendapat manakah yang lebih sesuai untuk diamalkan di dalam suasana pada hari ini. Perbezaan pendapat dalam hal ini bukanlah kecil, ia adalah perbezaan pendapat yang besar. Kedua-dua pendapat mempunyai hujah yang kuat. 

Dalil yang dijadikan asas perbincangan dalam kes ini adalah sabda Nabi s.a.w.: “Anak itu (nasabnya) kepada suami menyetubuhinya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini disebutkan oleh Nabi s.a.w apabila berlaku perebutan nasab anak pada zaman baginda antara antara Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Abd bin Zam’ah. Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa saudaranya ‘Utbah bin Abi Waqqas memberitahu bahawa anak Zam’ah yang masih budak ketika itu sebenarnya adalah anaknya. Namun ‘Abd bin Zam’ah membantah dengan menyatakan itu ialah anak ayahnya Zam’ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaannya dengan menyatakan anak berkenaan begitu jelas menyerupai saudaranya ‘Utbah. Apabila kes ingin diangkat kepada Nabi s.a.w, baginda mendapati ternyata anak berkenaan jelas menyerupai ‘Utbah bin Abi Waqqas, saudara Sa’d. Namun baginda memutuskan anak itu ialah anak Zam’ah dengan bersabda: “Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang dituntut) ”.

Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah s.a.w memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina. Juga hadis ini menunjukkan penyelesaian Nabi s.a.w yang tidak ingin membongkar keburukan yang lepas. Jika baginda memutuskan kes seperti itu mesti diselidiki maka sudah pasti berbagai keburukan peribadi akan terdedah dan menyebabkan keruntuhan kepada keluarga. Selagi mana si suami sendiri menerima anak itu adalah anaknya, maka tiada alasan untuk mereka yang tidak berkahwin secara sah dengan si ibu membuat tuntutan.

WallahuA`lam.