Urf dan adat adalah satu aspek atau ciri yang terpenting dalam kebudayaan semua bangsa. Ia bukanlah mempersulitkan kehidupan malah berperanan dalam mengatur tatacara hidup bermasyarakat dan juga kehidupan setiap anggota masyarakat itu. Pada umumnya, masyarakat masih berpegang kepada adat dan tradisi masyarakatnya terutama dalam hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan bermasyarakat. Dari semasa ke semasa adat resam yang tidak jelas tujuan dan maksudnya akan ditinggalkan oleh masyarakat  berkenaan.

Syariat Islam memelihara 'urf manusia dengan syarat tidak berlaku kerosakan dan tidak hilang kepentingan (maslahah) kehidupan. Maksud ‘urf mempunyai hubungan yang erat dengan maksud adat di mana kebanyakan sarjana Islam tidak membezakan di antara kedua-duanya . Kedua-dua maksud ini merupakan sebahagian daripada unsur-unsur corak kebudayaan. Dalam penggunaan bahasa Melayu maksud 'urf jarang diguna pakai berbanding dengan perkataan adat.

Urf merupakan salah satu sumber penting untuk mengeluarkan hukum syarak walaupun ada di kalangan para ulama yang tidak mengiktirafkannya sebagai salah satu sumber hukum. Namun begitu, para ulama yang mengiktirafkannya melihat ia sebagai salah satu sumber yang amat penting terutama dalam permasalahan yang berkaitan dengan hubungan antara sesama makhluk dan dalam beberapa aspek lain juga tidak dapat di nafikan, kerana di sana ada persoalan yang tidak dapat di selesaikan dengan menggunakan sumber-sumber yang disepakati iaitu al-Quran, Al-Sunnah, ijmak dan qiyas. 

Pengertian Al-‘Urf


Dari segi bahasa al-‘urf bermaksud sesuatu perkara yang telah dilakukan secara berulang-ulang dalam satu masyarakat umat Islam dan telah dianggap oleh masyarakat sebagai baik dengan pertimbangan akal sihat mereka. 

Manakala dari sudut istilah ahli Usul Fiqh pula, Dr Wahbah al-Zuhaili rh menyatakan: 

      العرف :  هو ما اعتاده  الناس  وساروا  عليه  من  كل  فعل  شاع  بينهم , أو  لفظ تعارفوا اطلاقه على معنى خاص  لا تألفه اللغة , ولا يتبادر غيره عند سماعه , وهو بمعنى العادة الجماعيّة ,  وقد شمل هذا التعريف  العرف  العملي  والعرف  القولي .
‘Uruf adalah kebiasaan manusia yang dilakukan secara terus menerus sehingga perbuatan tersebut menjadi popular di kalangan mereka, atau mengartikan suatu lafaz dengan pengertian khusus meskipun makna asli dari lafaz yang dimaksud berlainan.

Takrifan di atas memberi kita faham bahawa Uruf ialah perbuatan yang telah menjadi popular di dalam masyarakat atau istilah yang telah biasa digunakan oleh masyarakat dnegan maksud tertentu. 

Uruf mestilah sesuatu yang telah popular – ia bukanlah yang baru dimulakan. Jika ia baru dimulakan sehingga sebahagian kecil orang sahaja memahaminya, maka ia tidak dikira uruf.  

Adat dan Uruf adalah perkara yang sama. Sebahagian membezakan antara uruf dan adat tetapi menyamakan di dalam isu istinbat hukum. 

Perbezaan Uruf dengan Ijma`


Ijma` ialah kesepakatan para mujtahidin – manakala uruf tidak perlu sehingga ketahap berkenaan. Cukup orang awam dan orang bijak pandai telah memahaminya, maka ia telah dikira sebagai uruf. Demikian juga ia boleh jadi berbeza dengan perubahan masa, tempat dan keaadan.

Dalil Pensyariatan


Uruf mempunyai sandaran daripada Al-Quran dan al-Hadis. Antaranya; 

Firman Allah S.W.T :

Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik serta berpalinglah daripada orang-orang yang jahil. 

(Surah al-A’raf  7:199)

Imam al-Bukhāri dengan sanadnya yang sahih merekodkan bahawa Aisyah telah meriwayatkan sebuah kisah: 

أَنَّ هِنْدَ بِنْتَ عُتْبَةَ، قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ وَلَيْسَ يُعْطِينِي مَا يَكْفِينِي وَوَلَدِي، إِلَّا مَا أَخَذْتُ مِنْهُ وَهُوَ لاَ يَعْلَمُ، فَقَالَ: «خُذِي مَا يَكْفِيكِ [ص:66] وَوَلَدَكِ، بِالْمَعْرُوفِ»

Hindun binti Utbah berkata: Wahai Rasulullah! Abu Sufyan merupakan seorang lelaki yang kedekut. Dia tidak memberikan nafkah yang mencukupi untuk diriku dan anakku – melainkan aku ambil harta daripadanya sedangkan dia tidak tahu. 

Lalu Nabi bersabda: Ambillah harta dari suamimu yang mencukupi untuk dirimu dan anakmu dengan ma`kruf.

(HR al-Bukhari di dalam Sahih: 5364)

Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi memberi kebenaran untuk Hindun mengambil haknya tetapi dengan kadar yang sepatutnya. Berapa banyakkah? Banyaknya ditentukan berdasarkan adat atau uruf pada ketika itu. 

Kehujahan


Apa yang dimaksudkan dengan kehujahan dan menerima uruf sebagai sumber hukum ialah beramal dengannya. Uruf tidak dianggap sebagai hujah jika ia menyalahi dalil-dalil dan hukum syarak yang tetap dan tidak berubah, walaupun suasana dan adat telah berubah. Oleh itu, mana-mana uruf yang bertentangan dengan nas atau hukum mestilah sama-sama kita menghapuskannya dan meninggalkannya. Sebagaimana firman Allah S.W.T. :

… bertolong-tolonglah dalam hal kebajikan dan ketaqwaan Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. 

(al-Ma’idah 5:2)

Ulama yang Menerima


Ulama Hanafi dan Ulama Maliki

Jumhur ulama berpegang kepada urf sebagai hujah. Banyak hukum yang dikeluarkan berdasarkan kepada urf. Golongan yang terkenal menggunakan ‘urf adalah dari kalangan Mazhab Hanafi dan Maliki. Ulama Hanafi dan Maliki menerima uruf sebagai hujah hukum. 

Ulama yang Menolak

Ulama Mazhab Syafii, Zaidiyyah dan Syiah

Bagi ulama Syafie dan Hanbali pula, meraka tidak menjadikan uruf ini sebagai hujah dalam mengeluarkan suatu hukum. Berhujah dengannya bererti membelakangkan nas-nas syarak yang qat’iyy dan mengikut hawa nafsu serta membatalkan syariat-syariat kerana syariat tidak datang untuk memperakui perkara-perkara yang mudharat dan rosak. 

Pembahagian Al-‘Urf


Uruf boleh dibahagikan berdasarkan aspek yang tertentu. Kami menggabungkannya bagi memudahkan kefahaman. Secara ringkasnya, ia terbahagi kepada tujuh (7) bahagian: 

(1) Uruf Lafzi (Perkataan)
(2) Uruf Amali
(3) Uruf Am
(4) Uruf Khas
(5) Uruf Syarie
(6) Uruf Sahih
(7) Uruf Fasid

Uruf Lafzi


 ‘Urf perkataan ialah suatu perkataan yang telah difahami dengan makna berkenaan secara umum. 
Sebagai contoh, perkataan Tuak. Di dalam penggunaan umum di Malaysia, tuak ialah sejenis minuman peraman yang memabukkan. Biasanya Tuak akan dihidangkan pada perayaan tertentu seperti perayaan Gawai Dayak, Gawai Hantu, Gawai Burung dan sebagainya.

Bagi masyarakat Kelantan pula, perkataan tuak merujuk kepada nira iaitu minuman yang dihasilkan dari mayang kelapa yang kandungan gulanya belum bertukar kepada alkohol.
Maka, perkataan Tuak menurut uruf orang Kelantan, tidaklah hara. Tetapi perkataan tuak dalam uruf orang lain adalah haram kerana ia membawa maksud yang berbeza, lalu mempunyai hukum yang berbeza. 

Contoh daripada al-Quran pula ialah firman Allah: 

Maksudnya: Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup. 

(an-Nahl 16:14)

Perkataan daging di dalam ayat ini merujuk kepada ikan kerana telah difahami maksudnya seperti itu sekalipun pada asalnya orang tidak mengatakan daging ikan. 

Uruf Amali


Selain itu,‘Urf ‘amaliyy ialah ‘urf yang berkaitan dengan perbuatan ataupun amalan yang telah menjadi kebiasaan manusia dan orang ramai. Perbuatan atau amalan itu sememangnya sentiasa diamalkan. 
Contoh ‘urf perbuatan ialah amalan jual beli dilakukan dengan keadaan hanya berunjuk tanpa sighah ijab dan qabul. Hal ini menunjukkan bahawa perbuatan berunjuk-unjuk tanpa sighah ijab dan qabul adalah dibenarkan oleh syarak memandangkan ia merupakan sesuatu perkara yang menjadi kebiasaan dan ‘urf masyarakat setempat. 

`Uruf Am


Uruf am iaitu kebiasaan tertentu yang berlaku secara luas di seluruh masyarakat dan di seluruh daerah. Ia merupakan perbuatan yang sudah menjadi kebiasaan kebanyakan penduduk semua negara Islam di dalam satu-satu masa.

Antara contoh ‘urf am ialah tidak mengambil tempoh penggunaan bilik air. Di dalam situasi ini, semua orang akan membayar dengan kadar dan harga yang sama serta tidak dikira sama ada lama atau sekejapnya seseorang itu menggunakan bilik air. Hal ini telah menjadi suatu perkara biasa di seluruh pelusuk dunia. Tidak ada satu pun negara di dunia akan menetapkan bahawa seseorang itu perlu membayar berdasarkan tempoh penggunaan bilik air.

Selain itu, memasuki masjid tanpa menanggalkan kasut ataupun selipar dikira telah menghina kemuliaan dan mencemari kesucian masjid. Situasi ini adalah menjadi perkara yang biasa yang diamal oleh masyarakat di seluruh dunia.

Uruf Khas


Di samping itu,‘Urf khāṣ ialah sesuatu perkara yang telah menjadi kebiasaan atau dikenali hanya di kalangan penduduk dan masyarakat di sesebuah negara atau negeri atau di kawasan serta kempulan-kumpulan tertentu (Badrān Abu al-‘Unain 1965:318).

Contoh ‘urf ini ialah seperti di negara Malaysia. Seseorang yang ingin memasuki rumah orang Islam tanpa menanggalkan kasut atau selipar adalah dianggap sebagai kurang ajar dan menghina tuan rumah. Namun demikian, situasi ini berbeza dengan negara-negara Barat seperti Amerika.

Contoh lain, membawa kasut masuk ke masjid merupakan uruf yang tidak menjadi cela di kebanyakkan negara Arab tetapi ia menjadi kecelaan di negara Malaysia. Ini juga salah satu daripada uruf khas.

Uruf Syarie


‘Urf shari’yy pula ialah suatu lafaz yang telah digunakan oleh syarak dengan makna yang khusus ( Muhammad Adib bin Samsudin 2010 ). Hal ini dapat dilihat melalui makna yang terdapat di dalam sesuatu lafaz.

Contohnya lafaz Solat. Solat dari sudut bahasa bermaksud berdoa untuk kebaikan manakala dari segi istilah syarak pula bermaksud perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam. Melalui kedua-dua pengertian ini, makna dari segi bahasa dan istilah adalah berlainan. Namun, istilah syarak menunjukkan makna tertentu iaitu bukan sekadar doa, tetapi ada perbuatan lain yang perlu dilakukan sehingga sah perbuatan tersebut.

Manakala perkataan puasa dari segi bahasa ialah menahan diri. Istilah syarak pula bermaksud menahan diri daripada sesuatu perkara yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar hingga ke terbenam matahari. Ini menunjukkan bahawa berpuasa perlulah merangkumi perbuatan yang menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bagi membolehkan perbuatan puasa itu sah dan diterima.

Akhir sekali ialah dapat dilihat melalui aspek perakuan dan penolakan syarak, ia terbahagi kepada dua iaitu dari segi ṣaḥiḥ dan fāsid.

Uruf Sahih


‘Urf yang ṣaḥiḥ di sini bermaksud segala adat yang berkaitan dengan perbuatan, perkataan, sama ada ia khas atau am itu tidak bercanggah dengan nas syarak mahupun ijmak (Badrān Abu al-‘Unain 1965:318). 

Selain itu, ia juga membawa maksud sesuatu perkara yang menjadi kebiasaan orang ramai untuk melakukannya tanpa membatalkan perkara wajib serta tanpa mengharamkan yang halal dan tanpa menghalalkan yang haram.

Contoh ‘urf ṣaḥiḥ adalah seperti perlunya sekufu di dalam perkahwinan, tiada syarat tersebut pada asalnya di dalam nas namun syarat ‘urf itu diterima. Di dalam hal ini, tiada hukum pada asalnya, namun ‘urf ada menetapkan dan ia tidak bercanggah dan boleh diterima. (Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005: 137).

Uruf Fasid


Manakala, ‘urf fāsid adalah segala adat yang berlaku dalam masyarakat dan didapati bertentangan dengan syariat Islam. ( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005: 136 ). 

Contoh ‘urf fasid ialah tawaf dalam kedaan tidak berpakaian. Hal ini jelas bertentangan dengan syarak kerana Islam sama sekali melarang umatnya tidak berpakaian apatah lagi ketika beribadat kepada Allah. Di samping itu, pergaulan bebas dan tidak menutup aurat di antara perempuan dan sepupu lelaki yang sering berlaku di dalam masyarakat adalah sama sekali bercanggah dengan nas iaitu mengharamkan mendedahkan aurat kepada bukan mahram.

Demikian juga, amalan memakan harta riba melalui bank ribawi, mengadakan tarian dan joget pada majlis perkahwinan, hias-hiasan yang melampau ketika hari perkahwinan, dan sebagainya.

Demikian juga, upacara kenduri meratapi kematian, amalan berjumpa bomoh, mandi buang sial, dan sebagainya daripada amalan-amalan yang bercanggah.