Setelah baiat terlaksana dengan sempurna dan musim haji tahun itu berakhir (tahun ke 12), Nabi Muhammad mengutus seorang duta pembawa Islam untuk pergi ke Yathrib bersama orang yang berbaiat tadi, supaya dia mengajarkan aturan-aturan Islam kepada orang Islam yang ada di sana, memahamkan mereka terhadap ilmu agama serta mengembangkan Islam kepada penduduk Yathrib yang masih Musyrik. Untuk menjalankan tugas sebagai duta Islam tersebut, Nabi Muhammad memilih seorang pemuda Islam yang termasuk pemeluk Islam terawal iaitu Mus’ab bin Umair al-’Abdari.[1]

Kemenangan yang Menggembirakan


Setibanya di Yathrib, Mus’ab menginap di rumah As‘ad bin Zurārah. Kemudian kedua-duanya mengembangkan Islam kepada penduduk Yathrib dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh. Mus’ab sendiri dikenali sebagai seorang muqri’ (orang yang pandai membacakan al-Quran kepada orang lain).

Salah satu kejayaan Mus’ab dalam berdakwah yang paling menakjubkan adalah ketika As‘ad bin Zurārah keluar bersama dia pada suatu hari menuju ke kampung Bani Abdul Aṣyḥal dan kampung Bani Ẓafar. Mereka berdua masuk ke salah satu tempat rehat milik Bani Ẓafar, lalu duduk berdekatan sebuah telaga iaitu Telaga Maraq. Orang Islam berkumpul bersama mereka berdua, ditambah pula dengan Sa`ad bin Muadz dan Usaid bin Hudhair (dua orang pembesar kaum Bani Abdul Aṣyḥal) yang ketika itu masih Musyrik.[2]

Apabila Sa`ad dan Usaid mendengar kedatangan Mus’ab dan As‘ad di Telaga Maraq, Sa`ad berkata kepada Usaid,

اِذْهَبْ إِلَى هَذَيْنِ الْلَذَيْنِ قَدْ أَتِيَّا لِيَسْفَهَا ضعفَاءَنَا فَاُزْجُرْهُمَا، وَإنَّهُمَا عَنْ أَنْ يَأْتِيَا دَارَيْنَا، فَإِنَّ أَسَعَدَ بُنُّ زِرَارَة اِبْنُ خَالَتِي، وَلَوْلَا لَكَفَيْتَكَ هَذَا

“Pergilah menemui dua orang yang datang untuk merendah-rendahkan harga diri kaum kita, lalu usirlah mereka berdua! Laranglah mereka daripada mendatangi kampung kita! Jika bukan kerana As‘ad bin Zurārah adalah anak saudara perempuan ibuku[3], aku sendiri yang akan melakukannya sehingga aku tidak perlu menyuruhmu.”

Usaid mengambil tombaknya lalu pergi mendatangi Mus’ab dan As‘ad. Ketika As‘ad melihat Usaid, dia terus berkata kepada Mus’ab,

“Dia adalah pembesar kaumnya. Dia datang untuk menemuimu. Serahkanlah urusan dirinya kepada Allah.” Mus’ab berkata, “Jika dia duduk[4], aku akan bercakap dengannya.”[5][6]

Usaid berdiri di hadapan Mus’ab dan As‘ad dengan wajah garang, lalu berkata, “Apa yang kamu bawakan kepada kami? Beraninya kamu merendah-rendahkan harga diri kaum kami! Jauhilah kami jika kamu mempunyai keperluan terhadap diri kamu!”[7]

Mus’ab dengan tenang berkata, “Mahukah engkau duduk dan mendengar sebentar? Jika kau redha dengan suatu urusan kau boleh menerimanya tetapi jika tidak suka kau boleh membuangnya.”[8]

Usaid menjawab, “Baiklah. Aku akan berlaku adil[9].” Dia meletakkan belatinya lalu duduk.

Mus’ab pun mula bercakap kepadanya tentang Islam yang diteruskan dengan membacakan beberapa ayat al-Quran kepadanya.

Mus’ab menyatakan, “Demi Allah, kami betul-betul melihat keislaman di wajah Usaid sebelum dia mulai berkata-kata lagi. Kami boleh melihatnya daripada raut mukanya yang cerah dan bercahaya.”

Selepas Mus’ab menjelaskan tentang Islam dan membacakan al-Quran, Usaid berkata, “Alangkah bagus dan indahnya ini! Apa yang kamu lakukan ketika kamu hendak masuk ke dalam agama ini?”[10]

Mus’ab dan As‘ad menjawab, “Engkau mandi, membersihkan pakaianmu, lalu mengucapkan syahadah sebagai pengakuan terhadap kebenaran hakiki, kemudian solat dua rakaat.”[11]

Usaid pun berdiri, lalu beranjak mandi, membersihkan pakaiannya, mengucapkan syahadah, kemudian solat dua rakaat. Selepas itu dia berkata, “Di belakangku ada seorang lagi. Jika dia mengikuti kamu, maka tidak seorang pun daripada kaumnya yang akan menentangnya. Sekarang juga akan kubimbing dia kepada kamu.”[12]

Selepas itu Usaid mengambil kembali belatinya kemudian pergi menemui Sa`ad bin Muadz yang sedang duduk bersama kaumnya di tempat mereka berkumpul. Ketika itu Sa`ad berkata, “Aku bersumpah atas nama Allah, Usaid datang kepada kamu dengan wajah yang berbeza, tidak lagi seperti waktu dia pergi meninggalkan kamu.”

Tatkala Usaid telah sampai di tempat itu, Sa`ad bertanya, “Apakah yang telah kau lakukan?” Usaid menjawab, “Aku bercakap dengan dua orang itu. Demi Allah, aku tidak melihat ada yang salah pada mereka berdua. Aku telah melarang mereka seperti yang kau minta, lalu mereka mengatakan, ‘Kami akan melakukan apa yang kau mahu.’ Kemudian aku diberitahu bahawa Bani Harisah sedang mencari As‘ad bin Zurārah. Mereka hendak membunuhnya untuk memalukanmu kerana mereka telah tahu dia adalah anak saudaramu.”

Mendengar penuturan Usaid, Sa`ad terus berdiri dalam keadaan marah. Dia mengambil belatinya lalu pergi menemui Mus’ab dan As‘ad. Setelah melihat Mus’ab dan As‘ad duduk dengan tenang dan tidak risau sedikit pun. Sa`ad berdiri di hadapan Mus’ab dan As‘ad dengan wajah garang. Kemudian dia berkata kepada As‘ad bin Zurārah, “Demi Allah, hai Abu Umamah, jika bukan kerana antara diriku dengan dirimu ada pertalian kekeluargaan, pasti telah kulempar yang benda kupegang ini ke arahmu. Kenapa kau mendatangi kami di rumah kami dengan membawa sesuatu yang tidak kami sukai?”

Sebelum itu, As‘ad telah memberitahu Mus’ab, “Dia datang menemuimu. Demi Allah, dia adalah pembesar kaumnya. Jika dia mengikutimu, maka tidak ada seorang pun daripada mereka yang akan menentangnya.”

Mus’ab berkata kepada Sa`ad bin Muadz, “Mahukah kau duduk dan mendengar sebentar? Jika kau redha dengan suatu urusan kau boleh menerimanya, namun jika tidak suka, kau bolah menjauhi kami atas apa yang tidak kau sukai itu.”

Sa`ad menjawab, “Baiklah. Aku akan berlaku adil.” Dia meletakkan belatinya lalu duduk.

Mus’ab pun mula menceritakan tentang Islam kepada Sa`ad yang disambungnya dengan membacakan beberapa ayat al-Quran kepadanya.

Mus’ab menyatakan, “Demi Allah, kami betul-betul melihat keislaman di wajah Sa`ad sebelum dia mula berkata-kata lagi. Kami boleh melihatnya daripada raut mukanya yang cerah dan bercahaya.”

Selepas Mus’ab menjelaskan tentang Islam dan membacakan al-Quran, Sa`ad berkata, “Apakah yang kamu lakukan ketika kamu memeluk Islam?”

Mus’ab dan As’ad menjawab, “Engkau mandi, membersihkan pakaianmu, lalu mengucapkan syahadah sebagai pengakuan terhadap kebenaran hakiki, kemudian solat dua rakaat.”

Sa`ad pun melakukan apa yang dikatakan oleh Mus’ab dan As’ad.

Selepas itu dia mengambil kembali belatinya kemudian beranjak pergi ke tempat kaumnya berkumpul. Tatkala mereka melihatnya, mereka berkata, “Kami bersumpah atas nama Allah, dia pulang dengan wajah yang berbeza, tidak lagi seperti ketika dia pergi tadi.”

Ketika Sa`ad telah berdiri di hadapan kaumnya, dia bertanya, “Hai Bani Abdul Aṣyḥal, apakah yang kamu ketahui tentangku antara kamu?” Mereka menjawab, “Kamu pembesar kami sekaligus orang yang paling unggul pemikirannya antara kami dan juga orang yang paling kami percaya nasihatnya.”[13]

Maka Sa`ad pun berkata, “Sejak hari ini, ucapan kamu, sama ada lelaki mahupun perempuan adalah haram bagiku, hinggalah kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya.”

Tanpa menunggu sehingga petang, mereka semua menyatakan diri sebagai orang Islam kecuali seorang saja yang memeluk Islam pada masa Perang Uhud, iaitu Uṣairim. Pada hari itu (ketika perang sedang memuncak) dia memeluk Islam, ikut berperang dan terbunuh di medan Uhud, sementara dia belum pernah bersujud sekalipun kepada Allah (maksudnya, belum pernah solat). Nabi Muhammad berkata tentangnya, “Sedikit dia beramal tetapi banyak menuai pahala.”

Setelah kejadian itu, Mus’ab menetap di rumah As’ad bin Zurārah. Dia terus mendakwahi manusia untuk memeluk Islam hingga tidak tersisa satu rumah pun milik orang Ansar melainkan seluruh penghuninya menjadi Islam, sama ada lelaki mahupun perempuan. Kecuali rumah-rumah yang ada di kampung Bani Umayyah bin Zaid, rumah Khuthamah dan rumah Wail kerana antara mereka ada seorang penyair bernama Qais bin Aslat yang mereka taati kata-katanya, yang melarang mereka memeluk Islam hingga sampai pada masa terjadinya Perang Khandaq iaitu tahun kelima Hijrah.

Sebelum datangnya musim haji tahun berikutnya, iaitu musim haji tahun ke 13 kenabian, Mus’ab pulang ke Mekah dengan membawa kejayaan yang menggembirakan  untuk Rasulullah s.a.w.. Dia menceritakan kepada baginda, pelbagai peristiwa yang terjadi pada kabilah-kabilahdi Yathrib, sekaligus potensi mereka untuk menerima kebaikan serta kekuatan mereka untuk membela Islam.[14]


_____________________

[1] Musʿab bin Umair merupakan orang yang ditugaskan memegang panji Muhājirin di dalam perang badar dan Uhud. Dikisahkan bahawa dia seorang yang berwajah kacak, pakaian yang bagus, memakai wangian yang terbaik, tidak terlalu tinggi, tidak juga terlalu pendek. Beliau masuk Islam awal dan menerima tarbiah Nabi Muhammad di rumah al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Dia menyembunyikan Islamnya daripada ibunya iaitu Khannās Binti Mālik dan kaumnya. Beliau merupakan orang Islam pertama yang berhijrah ke Yasrib. Beliau mendapat syahid di dalam peperangan Uhud di tangan Ibn Qumah al-Laisi. Ibn Qumah menyangka yang dibunuhnya itu adalah Nabi Muhammad.

 Ibn Qum’ah mencantas tangan kanan Musʿab yang memegang panji, kemudian Musʿab memegang pula pada tangan kiri, Ibn Qumah memancung tangan kiri Musʿab, Musʿab memegang dengan dada. Akhirnya Ibn Qumah menusuk tombak di dada Musab sehingga gugur syahid perwira umat Islam itu. Musʿab syahid dalam keadaan tiada apa yang dia tinggalkan melainkan kain yang singkat. Apabila mahu dikafankan, kainnya tidak mencukupi. Khabbab bercerita: Dikalangan kami, ada yang meninggal dunia (Syahid) tanpa makan makanannya sedikit pun. Diantaranya adalah Mus`ab bin `Umair. Dia telah terbunuh dalam peperangan Uhud. Mus`ab tidak meninggalkan apa-apa pun melainkan sedikit kain. Apabila kami menutup kepalanya, terlihatlah kakinya. Apabila kami menutup kakinya, terlihat pula kepalanya.
Lalu Rasulullah ﷺ berkata kepada kami:

غَطُّوا بِهَا رَأْسَهُ وَاجْعَلُوا عَلَى رِجْلَيْهِ الإِذْخِرَ

‘Tutupkanlah bahagian kepalanya, dan kakinya itu tutuplah dengan rumput idzkhir!’ atau baginda berkata: “Tutupilah kedua kakinya dengan rumput al-Idzkhir”

Diantara kami ada yang buah (perjuangannya) sudah masak lalu dia memetiknya (dengan terbunuh sebagai syahid di medan perang) ”.

[Rekod Sahih al-Bukhari: 4082]

Para sahabat mempertaruhkan nyawa dan darah- kita bagaimana?

[2] Orang yang terlibat di dalam peristiwa ini ialah: Islam: Mus`ab bin Umari yang merupakan watak utama. Dibantu oleh Asʿad bin Zurārah. Belum Islam: Saʿad bin Muʿadz dan Usaid bin Hudhair – Jawatan: Pembesar kaum Bani Abdul Asyhal Lokasi: Telaga Maraq di perkampungan Bani Ẓafār di Madinah

[3] Sepupu - Hubungan kekeluargaan menyebabkan Saʿad tidak menjadi orang yang mula-mula menegur Asʿad. Ini menunjukkan mereka sangat menjaga hubungan kekeluargaan. Dalam apa juga keadaan keluarga adalah yang utama. Oleh itu, manusia diuji kecintaan kepada Allah dan Rasul apabila disuruh untuk mendahulukan cinta kedua-dua-Nya melebihi cinta kepada keluarga. Jika ada amalan tertentu yang telah dilakukan oleh ahli keluarga atau jiran terdekat atau masyarakat setempat tetapi berbeza dengan agama, maka yang patut didahulukan adalah agama. Namun ucapan lebih mudah daripada bertindak. Bagaimana dahulu, masyarakat dalam setiap peringkat taraf kehidupan melakukan amalan mandi safar – untuk menghalangnya bukan mudah kerana ia telah dilakukan oleh ustaz-ustaz dan orang kampung kita. Demikian hari ini berlaku kemungkaran tetapi disebabkan kekeluargaan, ia sukar untuk dihalang.

[4] Kesudian duduk merupakan kesudian untuk berbincang. Apabila orang berdiri, dia mahu pendapatnya didengari. Oleh itu, ketika solat Jumaat kita duduk untuk mendengar penjelasan daripada khatib. Bukan duduk untuk tidur.

[5] Musab berhajat untuk berdialog dengan Usaid kerana terlihat dia seorang yang boleh mendengar penjelasan. Jika orang itu tidak boleh mendengar penjelasan, maka sia-sia urusan dakwah sepertimana kita diajar:

63. dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka Yang berjalan di bumi Dengan sopan santun, dan apabila orang-orang Yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab Dengan perkataan Yang Selamat dari perkara Yang tidak diingini;

(Al-Furqan: 63)

Dialog adalah salah satu jalan penyelesaian demikian juga ia adalah salah satu daripada jalan kerja dakwah. Oleh itu, kita juga melaksanakan dialog untuk menyelesaikan isu kampong, isu masjid, bahkan isu Negara. PM juga telah melancarkan satu budaya yang bagus dalam masyarakat iaitu Dialog Perdana.

[6] Dialog perlu mempunyai disiplin. Imam al-Syafii sendiri terkenal dengan perdebatan. Beliau pernah berdebat dengan Muhammad bin al-Hasan yang merupakan tokoh besar ahli ra’yi yang merupakan sahabat serta guru beliau. Demikian juga beliau berdebat dengan tokoh besar mazhab Maliki di Mesir iaitu Al-Farg bin Sa`di. begitu pula pernah berdebat dengan Imam Ahmad bin Hambal tentang kekufuran mereka yang meninggalkan shalat. Akan tetapi setiap ia berdebat dengan ulama lain ia selalu menggunakan adab dan sopan santun serta tidak mencela lawannya. Hafidz Ad Dzahabi menukil di Siar A’lamin Nubala’, dari Imam Hafidz Abu Musa Yunus bin ‘Abdul A’la Ashodafi Al Misri, salah satu sahabat Imam Syafi’i, dia berkata:  “Aku tidak melihat orang berakal melebihi Syafi’i, aku mendebatnya tentang suatu masalah pada suatu hari, kemudian kami berpisah, lalu dia menemuiku, dan menggandeng tanganku, lalu berkata:  “Wahai Abu Musa, bukankan lebih baik kita tetap berteman walau kita tidak sepakat dalam satu masalah?” Adalah Abu Utsman, putranya pernah mengatakan: “Aku sekali-kali tidak pernah mendengar ayahku mendebat seseorang dengan meninggikan suaranya.” (Tahdzibul Asma’ Wal Lughat, hal. 66, vol.1).Ahmad bin Kholid bin Kholal berkata:  “Aku mendengar Syafi’i berkata, “ketika aku mendebat seseorang aku tidak menginginkan dia jatuh kepada kesalahan.” (Tawaliyut Ta’sis, hal. 65)Syafi’i sendiri juga pernah berkata: “Aku berdebat tidak untuk menjatuhkan orang.” (Tahdzibul Asma Wal Lughat, hal 66, vol.1)

[7] Di dalam bahasa mudah; “Jika kamu sayangkan diri kamu, tidak mahu dibelasah atau dicederakan, keluar daripada kampung ini!”

[8] Memberikan pilihan adalah intipati agama ini. Oleh itu, Allah berfrman:

29. dan Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah Yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa Yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa Yang mahu kufur ingkar, biarlah Dia mengingkarinya". kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang Yang berlaku zalim itu api neraka, Yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan Dengan air Yang seperti tembaga cair Yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.

(Al-Kahfi:29)

Agama ini bukanlah paksaan. Sepertimana kita tidak dipaksa menjadi rakyat Malaysia. Tetapi apabila kita telah menjadi rakyat Malaysia, kita hendaklah mengikuti undang-undang negara ini. Demikian jugalah agama.

[9] Sebahagian orang, dia bukan Islam tetapi apabila kita bercakap dengan hikmah dengannya, dia  boleh mendengar dan memberikan peluang kita bercakap.

[10] Usaid yang bukan Islam, apabila membaca al-Quran merasa tertarik dengan Islam. Tetapi kita yang telah Islam membaca al-Quran tetapi tidak merasa tertarik kepada agama ini. Apa masalah pada hati dan jantung kita ini? Jika dikatakan bahawa kita ini bukan Arab, jadi tidak faham bahasa Arab lalu bagaimana untuk merasa di dalam jantung hati? Kita menjawab – bukankah Najasyi juga bukan orang Arab? Tetapi apabila dibacakan al-Quran dan diterjemahkan oleh penterjemahnya, lalu menangislah dia dan pembesar-pembesarnya? Al-Quran adalah mukjizat. Ia hendaklah difahami dan dihayati, oleh itu Allah berfirman:

185. bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah....

(Al-Baqarah: 185)

[11] Apabila seseorang berhajat untuk masuk Islam, maka dia hanya perlu untuk mmengucapkan syahadah di hadapan sekurang-kurangnya dua (2) orang Islam. Pada hari ini, ia lebih baik kerana ucapan itu boleh diikrarka di pejabat-pejabat agama. Tetapi, tidak perlu tunggu pejabat agama beroperasi untuk masuk Islam. Cukup orang beriman yang ada di sekelilinginya mendengar ucapan itu, maka dia telah islam. Kemudian ke pejabat agama untuk mengikuti prosuder perundangan negri sahaja.

Setelah itu, sunat bagi orang yang masuk Islam untuk mandi dan ikut serta umat Islam yang lain bersolat. Dia tidak dibeartkan dengan banyak kewajipan dan rukun solat kerana dia baru masuk islam dan berada dalam tempoh pendidikan. Dia ikut sahaja sepertimana orang Islam yang lain. Apabila telah bersedia, barulah dia bersunat, akikah dan melakukan amalan yang lain.

Nabi bersabda:

أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ الْإِسْلَامَ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ وَأَنَّ الْهِجْرَةَ تَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلِهَا وَأَنَّ الْحَجَّ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ

Artinya “Tidakkah engkau tahu bahwa Islam menggugurkan (dosa-dosa) sebelumnya, dan bahwa hijroh menggugurkan (dosa-dosa) sebelumnya bahwa haji menggugurkan (dosa-dosa) sebelumnya.”
(HR Muslim: 192)

[12] Kerja dakwah tidak hanya kepada orang yang telah lama memeluk Islam. Demikian juga tidak perlu kepada ilmu yang tinggi. Tetapi setiap orang berperanan membawa agamanya.

[13] Peranan pemimpin adalah membawa orang kepada jalan kebenaran. Oleh itu, kita melihat setiap orang yang memeluk agama Islam dalam kalangan para sahabat Nabi, nescaya mereka akan mengajak kaum mereka untuk melakukan perkara sama. Pemimpin, kata-katanya diikuti. Demikianlah orang politik dan pemimpin masyarakat kita hari ini.

[14]Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 435-438 dan jil II, hlm. 90 dan Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil II, hlm. 51