إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ، نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ، فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ، فَلَا هَادِيَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ،اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُونَ} .{يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِّنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا} .{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا. يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا} .

أَمَّ بَعد،

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan pada diri saya dan sekalian yang hadir marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah dengan meningkatkan dan menambah ilmu, amal dan iman. Hanya dengan bekalan itu kita mampu mentaati sepenuhnya perintah yang datang daripada Allah SWT. Mudah-mudahan kita semua digolongkan sebagai orang yang bertakwa di sisi-Nya.

Kelebihan Bulan Haram

Hari ini kita berada pada hari keempat di dalam bulan Rejab pada tahun 1438H. Satu bulan yang menjadi sebahagian atau salah satu daripada empat bulan yang dimuliakan di zaman jahiliyyah, demikian pula ia dimuliakan apabila syariat Islam disebarkan. Bahkan ia bukanlah baharu, tetapi ia menjadi mulia sejak langit dan bumi mula diciptakan.

Bulan berkenaan ialah: Rejab, Muharram, Zulkaedah dan Zulhijrah. Bulan-bulan ini disebut sebagai bulan haram dengan maksud dimuliakan.

Allah memerintahkan umat Islam untuk memuliakan dan merasa mulia dengan kehadiran empat bulan ini. Sebagai umat Islam yang baik, kita hendaklah memperbanyakkan amalan kebaikan pada bulan ini serta berazam dengan bersungguh-sungguh untuk meninggalkan segala kejahatan, maksiat serta dosa.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Taubah, ayat 36:

36. Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. ketetapan Yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); …

(Al-Taubah: 36)

Demikian ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa Allah Taala telah menetapkan 12 bulan sebagai bulan-bulan yang diiktiraf di dalam kalender dan bilangan umat Islam; iaitu:

1-Muharram
2-Safar
3-Robi` al-Awwal
4-Robi` al-Akhir
5-Jamadil Awal
6-Jamadil Akhir
7-Rejab
8-Syakban
9- Ramadhan
10-Syawwal
11-Zulkaedah
12-Zulhijjah

Daripada 12 bulan berkenaan, empat daripadanya disebut sebagai bulan haram yang telah saya sebutkan pada awal tadi.

Allah telah mengharamkan manusia untuk berbuat zalim pada empat bulan berkenaan. Dengan maksud, bukan hanya bulan itu tidak boleh berlaku zalim. Tetapi bulan itu adalah lebih-lebih lagi tidak boleh berlaku zalim. Ancamannya lebih berat.

Sepertimana umat Islam tidak dibenarkan merokok di mana-mana tempat, tetapi di tempat awam, ia lebih-lebih lagi dilarang. Sepertimana umat Islam dilarang mengumpat orang, di dalam masjid ia lebih-lebih lagi dilarang. Sepertimana umat Islam dilarang mengumpat, di dalam masjid, lebih-lebih lagi dilarang.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Telah menjadi kewajipan bagi seluruh umat Islam untuk memuliakan bulan ini serta mengetahui kedudukannya yang mulia. Kerana dengan mengenali bulan ini, ia akan menjadikan kita mengenali karakter khusus yang ada di dalam agama kita.

Melakukan amalan kebaikan pada bulan haram, tidak seperti melakukan kebaikan pada bulan yang lain kerana ia akan dilipat kali gandakan. Melakukan amalan kejahatan pada bulan ini tidak seperti melakukan kejahatan pada bulan lain kerana ia sangat keras ancamannya serta dilipatkaligandakan dosanya.

Di dalam al-Quran, Allah Taala berfirman:

217. mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: "Peperangan Dalam bulan itu adalah berdosa besar, …

(Al-Baqarah: 217)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Qatādah Rahimahullah berkata:

“Kezaliman yang dilakukan pada bulan haram adalah lebih besar dosanya berbanding dosa kezaliman yang seumpamanya. Sekalipun kezaliman dalam segala hal itu adalah besar tetapi Allah Taala telah membesar-besarkannya mengikut kehendak-Nya yang Maha Agung.”

Beliau berkata lagi:

“Allah Taala telah memuliakan sebahagian orang yang terpilih daripada kalangan makhluk ciptaan-Nya, Dia memuliakan malaikat yang menjadi utusan daripada kalangan malaikat-malaikat, Dia memuliakan rasul daripada kalangan manusia, Dia memuliakan ucapan di dalam banyaknya cara zikir mengingati-Nya, Dia memuliakan beberapa tanah dengan masjid berbanding tanah-tanah lain, Dia memuliakan bulan Ramadhan dan bulan Haram berbanding bulan-bulan lain, Dia memuliakan hari Jumaat berbanding hari-hari lain, Dia memuliakan malam al-Qadar berbanding malam-malam lain! Lantas makhluk ini memuliakan apa yang telah dimuliakan oleh Allah serta mengambil berat atas urusan yang Allah anggap ia besar.”

Oleh itu, telah jelas lagi bersuluh kepada kita untuk memperbanyakkan amalan kebaikan di dalam empat bulan yang mulia ini. Demikian juga kita akan berusaha bersungguh-sungguh menjauhi segala dosa dan maksiat di bulan ini. Selaku muslim, kita tidak akan menyakiti saudara sesama muslim kita, menghormati orang yang lebih tua, beradab sopan ketika berbicara, tidak akan marah sehingga hilang pertimbangan, banyak bersabar serta tidak akan berkata keji. Demikian pula kita tidak akan tinggalkan solat yang merupakan pembeza diantara Islam dan kafir.

Kecil atau besar dosa berkenaan bukanlah pertimbangannya, tetapi kita sangat bimbang kerana maksiat itu – sama ada kecil ataupun besar telah membawa maksud derhaka kepada Tuhan!

Nabi SAW bersabda:
 
إِيَّاكُمْ وَمُحَقَّرَاتِ الذُّنُوبِ ، كَقَوْمٍ نَزَلُوا فِي بَطْنِ وَادٍ ، فَجَاءَ ذَا بِعُودٍ ، وَجَاءَ ذَا بِعُودٍ ، حَتَّى أَنْضَجُوا خُبْزَتَهُمْ ، وَإِنَّ مُحَقَّرَاتِ الذُّنُوبِ مَتَى يُؤْخَذْ بِهَا صَاحِبُهَا تُهْلِكْه

Jagalah diri kalian daripada dosa-dosa kecil, kerana kalian seperti suatu kaum yang sedang di suatu lembah dan membawa dahan kering sehingga dengan keadaan itu menyebabkan roti menjadi masak – matang. Dosa-dosa kecil itu akan menghancurkan pelakunya pada bila-bila sahaja.

(HR Ahmad di dalam Musnad: 22302, Hasan)

Marilah kita sama-sama memperbanyakkan amal kebaikan dan menjauhi amal keburukan pada bulan yang mulia ini. Khususnya pada bulan Rejab yang kita hidup pada hari ini.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

KHUTBAH KEDUA
إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ، نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، فيا عباد الله اتقوا الله أوصيكم وإياي بتقوى الله فقد فاز المتقون، أما بعد،

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada bulan Rejab, telah diriwayatkan pelbagai hadis yang menunjukkan pengkhususan amalan-amalan tertentu seperti doa, puasa, zikir, solat dan qiyamullail.

Telah tersebar di kalangan kita, sebuah hadis yang tersebar melalui aplikasi moden seperti WhatsApp. Mesej berbunyi seperti berikut:

InsyaAllah malam ini adalah malam yang pertama bulan Rejab.

Di antara keistimewaan bulan ini, malam pertama bulan Rejab adalah malam yang dimakbulkan doa.

Sabda Rasulullah s.a.w.: “ Lima malam doanya tidak di tolak, malam pertama bulan Rejab, malam Nisfu Sya’ban, malam Jum’at, malam Hari Raya Eidul Fitri, malam Hari Raya Eidul Adha." (Al Baihaqi).

Ketahuilah bahawa tiada satupun hadis sahih yang menyebutkan tentang pengkhususan amalan pada bulan Rejab sama ada doa, solat, puasa, sedekah qiayamullai dan sebagainya.

Imam Ibn Hajar al-Asqalani yang merupakan tokoh di dalam Mazhab al-Syāfiie menyatakan:

Tidak ada hadis sahih yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan Rejab, begitu juga (tidak ada riwayat) tentang berpuasa padanya, dan berpuasa mana-mana hari daripadanya secara khusus, begitu juga tentang menghidupkan malam tertentu padanya.

Tidak wujud puasa 30 hari secara berturut-turut pada bulan Rejab dan Sya`ban, tidak wujud solat 12 rakaat selepas maghrib hari Jumaat, demikian juga amalan-amalan khusus yang lain.

Di dalam Kitab al-Majmu` Imam al-Nawawi berkata:
الصَّلَاةُ الْمَعْرُوفَةُ بصلاة الرغائب وهي ثنتى عَشْرَةَ رَكْعَةً تُصَلَّى بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ لَيْلَةَ أَوَّلِ جُمُعَةٍ فِي رَجَبٍ وَصَلَاةُ لَيْلَةِ نِصْفِ شَعْبَانَ مِائَةُ رَكْعَةٍ وَهَاتَانِ الصَّلَاتَانِ بِدْعَتَانِ وَمُنْكَرَانِ قَبِيحَتَانِ وَلَا يُغْتَرُّ بِذَكَرِهِمَا فِي كِتَابِ قُوتِ الْقُلُوبِ وَإِحْيَاءِ عُلُومِ الدِّينِ وَلَا بِالْحَدِيثِ الْمَذْكُورِ فِيهِمَا فَإِنَّ كُلَّ ذَلِكَ بَاطِلٌ

Solat yang dikenali dengan solat al-Raghāib – iaitu solat 12 rakaat yang didirikan di antara Maghrib dan Isyak pada malam pertama hari Jumaat dalam bulan Rejab, serta solat pada malam Nisfu Sya`ban sebanyak 100 rakaat – ini adalah dua solat yang bidaah, munkar dan sangat buruk. Sekalipun ia telah disebutkan di dalam kitab Qūt al-Qulūb, Ihyā’ ʿUlūm al-Din. Tiada hadis (yang sahih) menyebutkan tentang dua solat berkenaan kerana semuanya itu adalah batil.

(Jilid 4, halaman 56)

Apa yang sunat ialah umat Islam memperbanyakkan solat sunat yang telah sedia wujud seperti solat Dhuha, Rawatib, melazimi solat Tahiyatul Masjid dan sebagainya. Berpuasa juga dibenarkan sepertimana yang telah diajarkan Nabi SAW iaitu puasa Isnin Khamis, puasa hari-hari putih – tetapi jika ingin lebih memperbanyakkannya, maka puasalah seperti puasa Nabi Daud iaitu puasa berselang hari – hari ini puasa, esok tidak, lusa puasa, tulat tidak dan seterusnya.

Lakukanlah amalan-amalan ini dengan bersungguh-sungguh dan menepati sunnah. Kerana hanya dengan menepati sunnah serta ikhlas, amalan kita akan diterima Tuhan.

Allah SWT berfirman:

31. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Ali Imran: 31)
إن الله وملائكته يصَلون على النبي، يأيها الذين ءامنوا صلوا عليه وسلموا تسليماً. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى ءاله وأصحابه أجمعين. وَارْضَ اللهم عن الخلفاء الراشدين ساداتنا أبى بكر وعمرَ وعثمانَ وعلىٍّ وعن بقية الصحابة والقرابة والتابعين   ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.

اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم والأموات إنك سميع قريب مجيب الدعوات، اللهم إنا نسئلك أن تؤيِّد الإسلامَ والمسلمين وأن تُعْلِى بفضلك كلمة الحق والدين. اللهم اهدنا سبلَ السلام وأخرجنا من الظلمات إلى النور وجنبنا الفواحشَ ما ظهر منها وما بطن.وأن تشمل بعنايتك وتوفيقك مولانا ملكنا المعظم سلطان سلاعور سلطان شرف الدين ادريس شاة الحاج ابن سلطان صلاح الدين عبد العزيز شاة الحاج

 Ya Allah! Tuhan yang menguasai langit dan bumi, yang menguasai setiap hati dan perasaan, jiwa dan badan. Ampunilah kami semua, khususnya para Jemaah Masjid Cahaya Iman yang hadir pada hari dan bulan yang Engkau muliakan ini. Hidupkanlah kami dalam keadaan penuh beriman dan soleh, jadikanlah anak-anak kami, anak yang soleh, keluarga kami keluarga yang kuat berpegang kepada tali iman dan taqwa, seluruh masyarakat kami adalah masyarakat yang kuat berpegang kepada sunnah nabi-Mu serta rela berjuang dengan sepenuh jiwa dan raga mempertahankan agamamu. Moga-moga nanti kami mati juga dalam keadaan iman, dibangkitkan bersama kumpulan Nabi-Mu serta akan berkumpul di dalam syurga yang kami idam-idamkan.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
عبادَ الله، إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذى القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغي، يعظكم لعلكم تذكرون. فاذكروا الله العظيم يذكركم، واشكروه على نعمه يزدكم واسئلوه من فضله يعطكم، ولذكر الله أكبر ,واللهُ يعلم ما تصنعون.