HADIS 51:

Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, al-Tirmizi,dan al-Nasaie daripada Ibnu Mas’ud, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: 

«لَا أَحَدٌ أَغْيَرَ مِنَ اللهِ، مِنْ أَجْلِ ذَلِكَ حَرَّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، وَلَا أَحَدٌ أَحَبَّ إِلَيْهِ الْمَدْحُ مِنَ اللهِ مِنْ أَجْلِ ذَلِكَ مَدَحَ نَفْسَهُ وَلاَ أَحَدَ أَحَبُّ إِلَيْهِ العُذْرُ مِنَ اللَّهِ، وَمِنْ أَجْلِ ذَلِكَ بَعَثَ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ »

 “Tiada satupun yang lebih cemburu daripada Allah, oleh kerana itulah Dia mengharamkan kekejian samada yang nampak daripadanya dan yang tidak nampak. Dan tiada satupun yang menyukai pujian lebih dari Allah, oleh kerana itulah Dia memuji diriNya sendiri. Juga tiada satupun yang menyukai udzur lebih daripada Allah, oleh kerana itulah Dia mengutus para Rasul sebagai penyampai khabar gembira dan pemberi peringatan”.

51. SEBAB HADIS INI DILAFAZKAN

Diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim daripada Al-Mughirah bin Syu’bah berkata: Sa’ad bin Ubadah berkata: 

لَوْ رَأَيْتُ رَجُلا مَعَ امْرَأَتِى لَضَرَبْتُهُ بِالسَّيْفِ غَيْرَ مُصْفَحٍ

Sekiranya aku melihat lelaki lain bersama isteriku, pasti aku akan menghunusnya dengan pedang tanpa ampun”. 

Lalu, hal tersebut sampai kepada Rasulullah SAW dan Baginda bersabda:

أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ، وَاللَّهِ لأنَا أَغْيَرُ مِنْهُ، وَاللَّهُ أَغْيَرُ مِنِّى، وَمِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ اللَّهِ حَرَّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ

Adakah kamu merasa kagum terhadap kecemburuan Saad? Demi Allah, aku lebih bersifat cemburu daripadanya, manakala Allah lebih bersifat cemburu daripadaku. Oleh kerana cemburunya Allah, Dia mengharamkan kekejian yang nampak dan yang tidak nampak. 

وَلا أَحَدَ أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعُذْرُ مِنَ اللَّهِ، وَمِنْ أَجْلِ ذَلِكَ بَعَثَ الْمُبَشِّرِينَ وَالْمُنْذِرِينَ، وَلا أَحَدَ أَحَبُّ إِلَيْهِ الْمِدْحَةُ مِنَ اللَّهِ، وَمِنْ أَجْلِ ذَلِكَ وَعَدَ اللَّهُ الْجَنَّةَ

Sungguh, tiada seorangpun yang lebih cemburu daripada Allah. Dan, tidak ada seorangpun yang lebih menyukai udzur dari Allah. Oleh kerana itu, Dia mengutuskan para nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan. Juga, tidak ada seorangpun suka dipuji lebih daripada Allah. Oleh sebab itulah, Allah menjanjikan syurga”.

ULASAN SAYA:

Hadis ini menyatakan tentang kecemburuan manusia tidak dapat menandingi kecemburuan Tuhan. Cemburu manusia menjadikan dia tidak merasa selesa orang yang dikasihinya melakukan perkara yang dia tidak suka. Tetapi kecemburuan Tuhan adalah lebih besar daripada itu. Kecemburuan Nabi adalah apabila kecemburuan Tuhan dipertaruhkan. 

Kecemburuan yang dinyatakan oleh Saad, menyebabkan beliau rela untuk berperang dan berbunuhan kerana mempertahankan cinta kepada isteri dan berpantang terhadap kelakuan buruk orang terhadap orang yang dikasihinya. 

Cemburu adalah sifat yang terpuji apabila ia diletakkan pada tempat yang betul. Tetapi jika cemburu bersalut dengan sangka buruk, ia lebih akan membawa kerosakan dan perpecahan. 

Lelaki yang tiada perasaan cemburu sehingga membiarkan si isteri dan keluarganya secara terus menerus melakukan dosa dan maksiat sedangkan dia boleh membanterasnya, maka dianggap sebagai seorang suami yang dayus (الديوث).

Nabi Muhammad SAW bersabda di dalam hadis yang lain: 

ثَلَاثَةٌ لَا يَنْظُرُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: الْعَاقُّ لِوَالِدَيْهِ، وَالْمَرْأَةُ الْمُتَرَجِّلَةُ، وَالدَّيُّوثُ

Tiga golongan yang tidak akan dipandang oleh Allah pada hari Kiamat ialah; Orang yang derhaka kepada kedua-dua ibubapa, wanita yang menyerupai lelaki serta lelaki dayus.

(HR al-Nasaie di dalam Sunan, Hasan Sahih- Al Albani)

Seriusnya agama ini di dalam menjaga maruah dan mengangkat isu cemburu bertempat sehingga mengiktiraf syahid akhirat bagi orang yang mempertahankan maruah keluarga dan agama keluarga lalu terbunuh. 

Nabi bersabda:

مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ، أَوْ دُونَ دَمِهِ، أَوْ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ»

Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya, maka dia mati syahid. Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarga, darah atau agamanya maka dia mati sebagai seorang syahid. 
(HR Abu Daud di dalam Sunan, Sahih- Al Arnāoūṭ)

Kesimpulannya, tidak salah untuk cemburu bahkan silakan untuk cemburu tetapi mestilah diatas landasan cemburu yang betul dan tidak melampau. 

Sekalipun begitu hebat cemburu manusia sehingga sanggup berbunuhan hanya kerana cemburu, ia tidak setanding dengan kecemburuan Allah dan Rasulullah. Ia lebih besar, lebih hebat da lebih berat kesannya.

Kecemburuan adalah sifat manusia. Ia juga merupakan sifat Allah SWT – tetapi ia hanya bersepakat pada isu perkataan sahaja, manakala daripada sudut istilah kefahaman, sifat cemburu manusia tidak sama dengan sifat cemburu yang ada pada Allah SWT. 

Allah merekodkan di dalam al-Quran: 

...      ...    
... tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
(Al-Syura: 11)

Sifat cemburu Allah dinyatakan oleh Ibn Baṭṭāl ketika mensyarahkan Sahih al-Bukhāri:

الزجر عن الفواحش والتحريم لها

Cegahan daripada melakukan perkara keji dan mengharamkan semua yang membawa ke arahnya.

Demikian itu jugalah yang dinyatakan di dalam teks hadis. Kecemburuan itu bukan sekadar pada perkara maksiat yang besar-besar tetapi ia juga termasuk yang sekecil-kecilnya. 

Demikianlah kita diperingatkan oleh Nabi Muhammad SAW: 

إِيَّاكُمْ وَمُحَقَّرَاتِ الذُّنُوبِ ، كَقَوْمٍ نَزَلُوا فِي بَطْنِ وَادٍ ، فَجَاءَ ذَا بِعُودٍ ، وَجَاءَ ذَا بِعُودٍ ، حَتَّى أَنْضَجُوا خُبْزَتَهُمْ ، وَإِنَّ مُحَقَّرَاتِ الذُّنُوبِ مَتَى يُؤْخَذْ بِهَا صَاحِبُهَا تُهْلِكْه

Jagalah diri kalian daripada dosa-dosa kecil, kerana kalian seperti suatu kaum yang sedang di suatu lembah dan membawa dahan kering sehingga dengan keadaan itu menyebabkan roti menjadi masak – matang. Dosa-dosa kecil itu akan menghancurkan pelakunya pada bila-bila sahaja.

(HR Ahmad di dalam Musnad: 22302, Hasan)

Kecil atau besar dosa berkenaan bukanlah pertimbangannya, tetapi kita sangat bimbang kerana maksiat itu – sama ada kecil ataupun besar telah membawa maksud derhaka kepada Tuhan serta menyemarakkan api kecemburuan Tuhan! 

Di dalam Fath al-Bāri, Ibn Hajar menyatakan: Ibn Abbas pernah berkata: 

كَانُوا فِي الْجَاهِلِيَّةِ لَا يَرَوْنَ بِالزِّنَا بَأْسًا فِي السِّرِّ وَيَسْتَقْبِحُونَهُ فِي الْعَلَانِيَةِ فَحَرَّمَ اللَّهُ الزِّنَا فِي السِّرِّ وَالْعَلَانِيَةِ

Kamu dahulu, ketika Jahiliyyah tidak memandang apa-apa terhadap penzinaan yang dilakukan secara rahsia tetapi merasa buruk apabila ia berlaku secara terang-terangan, maka Allah mengharamkan zina ketika diam mahupun terang-terangan. 

(Jilid 8, halaman 302)

Perkataan berikut: “Dan tiada satupun yang menyukai pujian lebih dari Allah, oleh kerana itulah Dia memuji diri-Nya sendiri.”

Perkataan pujian di dalam hadis ini membawa maksud: Kehendak Allah daripada hamba-hambanya supaya taat, mensucikannya serta memujinya. Demikian disuruh untuk bersungguh-sungguh memeji Allah kerana Dia menyukainya. Oleh itu, di dalam al-Quran Allah sentiasa menyebutkan pujian terhadap diri-Nya supaya manusia sejagat memujinya dengan pujian yang Dia suka. 

Di dalam Kaṣyf al-Musykil minHadīs al-Sahihāin oleh Ibn al-Jauzi (597H), dinukilkan kata-kata Ibn ʿAqil: 

Sebahagian orang awam berkata: Apabila Allah Azza wa jalla menyukai pujian, mengapa tidak kita juga menyukainya? Sedangkan ini adalah ucapan yang benar-benar salah! Kecintaan Allah terhadap pujian bukanlah seperti cintanya kita kepada puji-pujian, tetapi Allah menyukai hamba-Nya melakukan amalan ketaatan. Secara ringkasnya; pujian terhadap Allah akan membawa kepada pahala dan memberi manfaat kepada mukallaf; bukanlah Allah yang mendpat manfaat itu. Manakala kecintaan kita kepada pujian akan memberi manfaat kepada kita dan mengangkat kedudukan di dalam masyarakat kita.
(Jilid 1, Halaman 300)

Perkataan: “Juga tiada satupun yang menyukai udzur lebih daripada Allah” pula membawa maksud: Allah suka hambanya kembali bertaubat dan menyesal lalu menyatakan kelemahan diri mereka di hadapan Allah. 

Allah berfirman: 

               

25. dan Dia lah Tuhan Yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.

(Al-Syūrā: 25)

Inilah yang mencadi medan perbezaan besar di antara cemburu Allah dengan cemburu manusia. Apabila manusia merasa cemburu, mereka seringkali tidak lagi mengira maaf dan taubat. Sanggup membunuh sekalipun banyak jalan lain yang boleh diambil lagi. Tetapi kecemburuan Allah sangat mulia kerana ia menyukai orang untuk bertaubat dan kembali membetulkan kesilapan. 

Sehingga terdapat sebuah hadis qudsi yang agung menyebutkan hal ini: 

قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلَا أُبَالِي، يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ، وَلَا أُبَالِي، يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً

Allah berkata: Wahai anak Adam! Sekiranya engkau berdoa dan mengharap kepada-Ku, nescaya aku akan mengampunimu, aku tidak peduli! Wahai anak Adam! Sekiranya dosamu banyak sehingga memenuhi setinggi langit kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku nescaya akan Aku ampunkanmu, Aku tidak peduli! Wahai anak Adam, sekiranya engkau datang kepada dengan dosa yang hampir-hampir memenuhi bumi kemudian bertemu dengan-Ku tanpa mensyirikkan Aku dengan apa-apa pun nescaya Aku akan mendatangmu dengan memberikan ampunan yang sepenuh bumi!

(HR al-Tirmizi di dalam Sunan, Sahih –Al Albani)

Imam al-Bukhari dengan sanadnya meriwayatkan: Diceritakan kepada kami oleh Ahmad bin Ishaq, diceritakan kepadaku oleh Amru bin Asim, diceritakan kepada kami oleh Hammam, diceritakan kepada kami Ishaq bin Abdullah, aku mendengar Abdur Rahman bin Abi Amrah, beliau berkata: aku mendengar Abu Hurairah, beliau berkata: aku mendengar Nabi SAW bersabda:

" إِنَّ عَبْدًا أَصَابَ ذَنْبًا - وَرُبَّمَا قَالَ أَذْنَبَ ذَنْبًا - فَقَالَ: رَبِّ أَذْنَبْتُ - وَرُبَّمَا قَالَ: أَصَبْتُ - فَاغْفِرْ لِي، فَقَالَ رَبُّهُ: أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ؟ غَفَرْتُ لِعَبْدِي،

Seorang hamba telah ditimpa dosa – atau baginda berkata: dia telah melakukan satu dosa – maka hamba itu berkata: “Tuhanku, aku telah melakukan dosa – atau dia berkata: aku telah ditimpa dosa- maka ampunilah aku.” Lantas Tuhannya berkata: “Adakah hambaku mengetahui bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan dapat menghukumnya? Aku telah mengampuni hambaku itu.”

ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ثُمَّ أَصَابَ ذَنْبًا، أَوْ أَذْنَبَ ذَنْبًا، فَقَالَ: رَبِّ أَذْنَبْتُ - أَوْ أَصَبْتُ - آخَرَ، فَاغْفِرْهُ؟ فَقَالَ: أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ؟ غَفَرْتُ لِعَبْدِي،

Hamba tersebut berehat sebentar, kemudian dia ditimpa dosa lagi atau melakukan dosa lagi. Dia berdoa: Tuhanku aku telah melakukan dosa – atau dia berkata: aku telah ditimpa dosa lagi maka ampunilah dia” Maka Allah berkata: “Adakah hambaku mengetahui bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan dapat menghukumnya? Aku telah mengampuni hambaku itu.”

ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ، ثُمَّ أَذْنَبَ ذَنْبًا، وَرُبَّمَا قَالَ: أَصَابَ ذَنْبًا، قَالَ: قَالَ: رَبِّ أَصَبْتُ - أَوْ قَالَ أَذْنَبْتُ - آخَرَ، فَاغْفِرْهُ لِي، فَقَالَ: أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ؟ غَفَرْتُ لِعَبْدِي ثَلاَثًا، فَلْيَعْمَلْ مَا شَاءَ "

Hamba tersebut berehat sebentar, kemudian melakukan dosa lagi atau dia ditimpa dosa lagi. Dia berdoa: “Tuhanku aku telah ditimpa dosa lagi – atau dia berkata: aku melakukan dosa lagi maka ampunilah aku” Maka Allah berkata: “Adakah hambaku mengetahui bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan dapat menghukumnya? Aku telah mengampuni hambaku itu sebanyak tiga kali. Maka lakukanlah apa yang kamu mahu.”

(HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 7507)

Justeru itu, selaku umat Islam, pohonlah keampunan Allah apabila kita telah terlanjur membuatkan Allah cemburu dengan maksiat-maksiat dan dosa-dosa kita. Sama ada dilakukan secara sengaja ataupun tidak. 

Kesilapan adalah perkara biasa. Sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan, ialah orang yang bertaubat kepada Allah! WallahuAlam. 

Pengajaran daripada hadis dan sabab hadis ini:

(1) Cemburu di dalam isu menegah kemunkaran adalah satu bentuk perkara yang baik yang semakin pudar. 
(2) Mendahulukan Allah dan Rasul merupakan salah satu daripada cabang iman. 
(3) Muslim yang baik tidak akan mencabar kecemburuan Allah. Apabila mereka tersilap melakukannya, mereka akan kembali bertaubat kepada Allah. 
(4) Allah adalah Tuhan yang Maha Baik. Dia memberikan peluang kepada hamba-hamba-Nya untuk kembali kepada-Nya dalam setiap keadaan.