Di dalam bahasa Arab disebut: شَرْعُ مَنْ قَبْلَنَا

Maksud daripada dalil jenis ini ialah: Hukum-hukum yang dikenakan kepada umat-umat nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad seperti Nabi Ibrahim, Musa dan Isa. Isu perbincangannya terhad kepada sebahagian hukum itu menjadi sebahagian hukum di dalam syariat kita. Adalah kita sebagai umat Nabi Muhammad ini juga terlibat di dalam sebahagian hukum berkenaan? 

Pembahagian: 

Pembahagian syariat sebelum kita dibahagikan kepada dua bahagian: 

Pertama: Hukum-hukum yang tidak disebutkan di dalam syariat kita sama ada di dalam al-Quran ataupun sunnah. Pembahagian pertama ini disepakati oleh para ulama sebagai bukan syariat kita. 

Pembahagian kedua: Hukum-huku yang dinyatakan di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Hal ini pula terbahagi kepada tiga pembahagian. 

(1) Hukum-hukum yang telah dimansuhkan di dalam syariat umat Nabi Muhammad.

Secara bersepakat, ulama menyatakan bahawa ia bukanlah syariat untuk kita. Contohnya dapat dilihat di dalam mengistinbatkan ayat berikut: 

Firman Allah: 

146. dan Kami haramkan atas orang-orang Yahudi Segala binatang Yang berkuku, dan dari lembu dan kambing pula Kami haramkan kepada mereka lemaknya, kecuali (lemak) Yang ada pada belakangnya atau Yang menyelaputi perkakas Dalam perutnya, atau Yang bercampur Dengan tulang. Demikianlah Kami balas mereka Dengan sebab kederhakaan mereka; dan Sesungguhnya Kamilah Yang benar.

(Al-AnʿAm: 146)

Syariat berkenaan telah wujud di dalam syariat Nabi Musa. Iaitu, sesorang Muslim tidak boleh memakan binatang berkuku. Demikian juga diharamkan kepada mereka memakan lemak kambing dan lembu kecuali lemak yang terdapat di bahagian belakang dan yang bercampur dengan tulang. 

Tetapi hukum ini telah dimansuhkan pada syariat kita. Ini jelas apabila turun ayat al-Quran berikut: 

145. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak dapati Dalam apa Yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu Yang diharamkan bagi orang Yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah Yang mengalir, atau daging babi - kerana Sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu Yang dilakukan secara fasik, Iaitu binatang Yang disembelih atas nama Yang lain dari Allah". kemudian sesiapa Yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka Sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Al-Anʿam: 145)

Demikian juga hukum pengharaman mengambil harta rampasan perang. Di dalam syariat sebelum kita, ia tidak dibenarkan tetapi di dalam syariat kita ia dibenarkan. 

Nabi SAW bersabda: 

وَأُحِلَّتْ لِيَ الْغَنَائِمُ، وَلَمْ تُحَلَّ لِأَحَدٍ قَبْلِي

Dihalalkan untuk umatku rampasan perang sedangkan tidak dihalalkan buat seorangpun sebelum aku. 

(HR Muslim di dalam Sahih: 521)

Demikian juga syariat umat yang sebelum kita yang membawa hukuman membunuh diri apabila mahu bertaubat sedangkan di dalam syariat kita diharamkan bunuh diri dalam apa jua keadaan. 

Firman Allah: 

54. dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri Dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah Yang menjadikan kamu; Iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah Yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani".

(Al-Baqarah: 54) 

Ayat di atas menunjukkan bahawa umat Nabi Musa disuruh untuk membunuh diri apabila mahu bertaubat. Tetapi Allah melarang perbuatan bunuh diri bagi umat ini di dalam ayat berikut: 

29. Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu Dengan jalan Yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali Dengan jalan perniagaan Yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

(Al-Nisa: 29)

Di dalam hadis, Nabi Muhammad bersabda: 

مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ يَتَوَجَّأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ شَرِبَ سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَرَدَّى فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا

  Barangsiapa bunuh diri dengan menggunakanbesi, maka tangannya akan melukai perutnya sendiri dengan besi itu di nerakajahanam dan ia kekal di dalamnya selama-lamanya. Barangsiapa bunuh diri dengancara minum racun, maka ia akan terus meminumnya di neraka jahanam dan ia kekaldi dalamnya selama-lamanya. Dan barangsiapa melompat dari tebing untuk bunuhdiri, maka ia akan terus terjatuh di neraka jahanam dan ia kekal di dalamnyaselama-lamanya 

(HR. Muslim di dalam Sahih: 109)

Demikian juga isu memotong baju yang terkena najis dan sebagainya. 

(2) Hukum hakam yang dinyatakan al-Quran kemudian dipersetujui di di dalam syariat kita. Ia telah menjadi syariat bagi kita. 

Contohnya adalah puasa: Allah berfirman: 

183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

(Al-Baqarah: 183)

Demikian juga pensyariatan korban dan haji. 

(3) Hukum yang dikisahkan oleh Allah di dalam al-Quran dan al-Hadis tetapi tidak jelas hukumnya buat masa kini. Contohnya adalah ayat berikut: 

45. dan Kami telah tetapkan atas mereka di Dalam Kitab Taurat itu, Bahawa jiwa dibalas Dengan jiwa, dan mata dibalas Dengan mata, dan hidung dibalas Dengan hidung, dan telinga dibalas Dengan telinga, dan gigi dibalas Dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). tetapi sesiapa Yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang Yang zalim.

(Al-Māidah: 45) 

Jenis ketika ini adalah jenis yang menjadi khilaf bagi para ulama. Mereka terbahagi kepada dua pendapat: 

Pertama: Jumhur ulama daripada kalangan al-Hanafiyyah, al-Mālikiyyah dan sebahagian al-Syāfiiyah dan satu riwayat daripada Ahmad menyatakan: Apa sahaja yang menjadi syariat sebelum kita, maka ia juga menjadi syariat kita tetapi hendaklah melalui jalan wahyu Nabi kita Muhammad SAW, bukan daripada jalan kitab-kitab suci mereka kerana ia telah diseleweng. Maka wajib bagi seorang mukalaaf mentaatinya. 

Sepertimana al-Hanabilah menyatakan keharusan mengambil manfaat daripada mahar sepertimana yang wujud di dalam syariat Nabi Syuaib. Firman Allah: 

27. bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu Dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, Dengan syarat Bahawa Engkau bekerja denganku selama lapan tahun; Dalam pada itu, jika Engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka Yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. dan (ingatlah) Aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; Engkau akan dapati Aku insya Allah, dari orang-orang Yang baik layanannya".

(Al-Qasas: 27)

Kedua: pendapat kedua menafikannya. Mereka berdalil dengan ayat berikut: 

...bagi tiap-tiap umat Yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). ... 

(Al-Māidah: 48)

Ayat ini menunjukkan Allah telah membezakan di antara syariat nabi-nabi terdahulu dan syariat sekarang. Mereka menyatakan bahawa syariat kita telah memansuhkan syariat sebelum ini secara keseluruhannya kecuali yang dipersetujui sahaja. 

Dr. Wahabh menyatakan bahawa ramai penulis bersetuju dengan pendapat pertama, tetapi beliau lebih cenderung kepada pendapat kedua kerana syariat kita dihukumkan dengan panduan daripada al-Quran dan al-Sunnah. Ia tidak boleh dijadikan dalil utama, tetapi beramal dengan syariat berkenaan adalah beramal dengan al-Quran dan al-Sunnah secara mutlak, bukanlah ia sebagai dalil baharu. Kesemuanya dirujuk kembali kepada al-Quran. 
WallahuAlam.