Mazhab al-Syafii merupakan mazhab yang menjadi panduan ramai umat Islam hari ini. Bahkan sebahagian negara menisbahkan diri mereka sebagai negara mazhab Syafii seperti Mesir dan Malaysia. 

Sepertimana yang kita tahu, manusia tidak boleh berterusan mengikut tanpa mengetahui sebab apa ia mengikut. Oleh itu, saya berhajat untuk menjelaskan kepada para pembaca berkaitan metodologi umum di dalam mazhab al-Syāfii sepertimana yang telah saya pelajari di Universiti al-Azhar dahulu. Saya menggunakan buku guru saya iaitu Dr. Al-Muwalli ʿAṭiyyah ʿAbdul Baqi, Pensyarah Fikah kuliyah Pengajian Islam di Dumyat, Mesir. 

Buku Popular

Saya menyusun penjelasan buku-buku ini berdasarkan jalur yang popular, sedangkan banyak lagi jalur buku Mazhab al-Syafii yang ada: 

1.    Al-Umm (Buku induk) 

Imam al-Syāfii yang lahir pada tahun 150 H di Gaza, Palestin dan meninggal pada tahun 204H di daerah Fustat, Mesir telah menulis buku al-Um yang merupakan buku mazhab al-Syafii utama yang membicarakan pandangan Imam al-Syafii yang baharu (Jadīd). Buku ini telah dicetak dan diberikan pelbagai ulasan oleh penyokong mazhab dan penuntut ilmu. Bahkan, buku ini juga telah diterjemahkan kepada bahasa Malaysia bagi memudahkan kita yang bermazhab al-Syafii untuk memiliki dan membacanya. Jika bukan untuk mengajar ataupun mendalami, cukup sahaja untuk kita mengetahui apa yang mahu disampaikan oleh al-Imam al-Syafii rh. 

Diantara kitab Imam al-Syafii yang lain ialah: 

i.    Kitab Ikhtilaf Abi Hanifah wabni Abi Laila
ii.    Kitab Ikhtilaf Ali wa Abdillah bin Mas’ud
iii.    Kitab Ikhtilaf Malik was Syafi’i
iv.    Kitab Jima’il ‘Ilm
v.    Kitab Bayan Faraidhillah
vi.    Kitab Shifati Nahyi Rasulillah
vii.    Kitab Ibthalil Istihsan
viii.    Kitab ar-Radd ‘Ala Muhammad bin al-Hasan asy-Syaibany
ix.    Kitab Siyaril Auzai.

Sebahagian karya al-Imam al-Syāfii tidak disertakan dalil, oleh itu ulama selepas beliau seperti Al-Baihaqi telah menyempurnakan tugas berkenaan dengan menulis kitab Ma’rifatus Sunan wal Atsar yang mengumpulkan dalil-dalil mazhab al-Syafii.

2.    Mukhtaṣar al-Muzanī

Salah seorang anak murid Imam al-Syafii di Mesir iaitu Ismail bin Yahya al-Muzani yang lahir pada tahun 175H dan meninggal pada tahun 264H telah meringkaskan kitab al-Um dan dipopularkan dengan judul Mukhtaṣar al-Muzani. 

Imam al-Syafii pernah memuji Al-Muzani dengan kata-kata berikut: 

Al-Muzani ialah pendokong mazhabku

3.    Niḥāyah al-Maṭlab fi Dirāyah al-Mazhab

Lebih kurang 150 tahun selepas Imam Al-Muzani meninggal dunia, Abdul Malik bin Abdullah al-Juwaini yang lebih dikenali sebagai Imam al-Haramain, seorang yang faqih ilmu agama dan dibesarkan dalam suasana ilmu, lahir pada tahun 419H dan meninggal pada tahun 478H memberi ulasan terhadap kitab Mukhtaṣar al-Muzani. Ulasan beliau dimuatkan di dalam buku yang berjudul Niḥāyah al-Maṭlab fi Dirāyah al-Mazhab.

4.    Al-Basiṭ, al-Wasīṭ dan al-Wajīz
 
Salah seorang daripada anak murid Imam al-Haramain, iaitu al-Ghazzāli yang lahir pada tahun 450H dan meninggal pada tahun 505H telah bertukus lumus mengangkat mazhab gurunya. Dia terkenal sebagai seorang tokoh murid dan tokoh guru yang banyak menulis dan berkhidmat untuk agama dalam pelbagai bidang. Al-Ghazzāli telah meringkaskan buku Al-Juwaini kepada tiga fasa, permulaannya beliau meringkaskannya dengan judul al-Basīṭ, kemudian beliau meringkaskan al-Basīṭ menjadi al-Wasīṭ kemudian daripada al-Wasīṭ menjadi al-Wajīz.

5.    Fath al-ʿAziz dan al-Muharar
 
50 tahun selepas kematian Imam al-Ghazzāli, lahir Abdul Karim Ibn Abi al-Faḍl al-Rāfiʿi pada tahun 555H dan meninggal pada tahun 623H. Beliau digelar Syāikh al-Syāfiʿiyyah (Guru Besar Mazhab al-Syāfii). Al-Rāfiʿi telah memberi ulasan terhadap kitab al-Wajiz karya al-Ghazzāli di dalam bukunya iaitu Fath al-ʿAziz yang juga dikenali sebagai al-Syarh al-Kabir. Sebelum beliau meninggal dunia, beliau sempat membuat ulasan terhadap kitab Al-Wajiz dan al-Syarh Kabir di dalam bukunya al-Muharar. 

Al-Imam juga mensyarahkan Al-Wajīz di dalam bukunya Syarh al-Ṣaghīr.

6.    Al-Minḥāj al-Ṭālibīn
 
Lebih kurang 8 tahun setelah kematian Al-Rāfii, lahir Imam Yahya bin Syaraf al-Nawawi pada tahun 631H dan meninggal pada tahun 676H. Beliau telah meringkaskan buku al-Muharar dengan memberikan judul Minḥāj al-Ṭālibin. Buku ini akhirnya menjadi pegangan utama ulama-ulama mazhab al-Syaffi di dalam berfatwa dan berijtihad.

Imam al-Nawawi juga meringkaskan buku Fathul Aziz karya al-Rafii dalam bukunya Rauḍhah al-Ṭālibīn wa Umdatul Muftīn yang menjadi silibus pengajian Fiqh Nassi Mazhab al-Syāfii di Al-Azhar cawangan Dumyat pada tahun 2009-2013. Inilah buku yang saya dan sahabat-sahabat lain hadam ketika menuntut ilmu dahulu.
Imam al-Nawawi menulis banyak buku lain termasuk Syarah Sahih Muslim, Al-Majmu` syarh al-Muhazzab, dan lain-lain. Tetapi para ulama Syafiiyah lebih banyak berpegang kepada Minhaj al-Tolibin dan Raudhah. 

7.    Al-Manḥaj

Pada tahun 823H lahir Zakaria bin Muhammad al-Anṣāri. Iaitu lebih kurang 147 tahun setelah kematian Imam al-Nawawi. Beliau meringkaskan kitab al-Minhaj menjadi al-Manhaj. Beliau meninggal pada tahun 936H

Al-Imam al-Suyuti (849-911H) yang lahir pada zaman Al-Imam Zakaria al-Anṣāri telah meringkaskan Al-Manhaj kepada al-Nahj tetapi buku beliau tidak dicetak secara meluas, tidak disyarahkan dan sukar ditemui. 

Ulama seterusnya berpada dengan mensyarahkan kitab al- al-Minhaj oleh Imam al-Nawawi. 

•    Al-Khāṭib al-Syarbini (W:977H) mensyarahkan al-Minhaj dengan memberikan judul Mughni al-Muhtāj
•    Ibn Hajar al-Haitami al-Makki (909H-973H) mensyarahkan dengan judul Tuhfatul Muhtāj
•    Al-Ramli mensyarahkan dengan judul Niḥāyah al-Muhtāj
•    Jalaluddin al-Mahalli (791H-864H) mensyarahkan dengan judul Al-Mahalli ala Minhaj