Ketika saya di al-Azhar, Mesir, saya didendangkan oleh sebahagian rakan-rakan bahawa untuk mendapatkan tauliah daripada negeri Selangor, sangat susah. Bahkan, mereka akan bertanya soalan-soalan yang tidak masuk akal. Sebahagian ustaz dilarang mengajar tanpa sebab.

Ini Su'u Dzan yang cukup tidak baik.

Saya bertekad untuk mengikut peraturan juga. Maka, setelah pulang ke Malaysia, saya memohon tauliah mengajar di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan. 

Berdasarkan pengalaman saya, permohonan tauliah sangat mudah. Borang boleh didownload melalui online dan hantar secara pos. Setelah nama kita disenarai pendek, kita akan dipanggil temuduga. Di negeri Selangor, kita akan mempunyai dua soalan - bertulis dan dialog. 

Untuk ujian penulisan, pihak tauliah akan bertanya soalan-soalan umum berkaitan isu pengajian Islam di Malaysia seperti isu akidah ahli sunnah, pandangan berkaitan asyairah serta lain-lain. Jawab sahaja sepertimana anda menjawab ketika di dewan kuliah universiti. 

Setelah itu, nama anda akan dipanggil untuk bersembang-sembang dengan panel tauliah. Mereka adalah orang yang mesra. Jika tidak mesra, bermaksud mereka sudah penat melayan kerenah pelbagai manusia. Bersedia juga dengan soalan tajwid dan hukum fikah umum.

Mereka akan bertanya pandangan anda dalam satu dua isu, maka berikanlah pandangan yang bersifat wasatiyyah kerana itulah yang mereka kehendaki daripada bakal-bakal penceramah di negeri Selangor. 

Setelah habis, balik rumah dan buat kerja seperti biasa.

Dalam tempoh 1 bulan, anda akan mendapat makluman berkaitan tauliah anda. Jika diterima, maka anda layak berceramah di masjid dan surau sekitar Selangor. Tidak boleh sentuh isu politik atau sensitiviti kaum. 

Jika tidak diterima, anda layak membuat rayuan dan memohon untuk kali berikutnya. Jika sudah berputus asa, tempat lain dan juga medan-medan lain masih ada. 

Bahkan, jika diberikan tauliah pun,
tauliah itu boleh ditarik balik pada bila-bila masa.
Sekurang-kurangnya, kita telah berusaha. 
Jangan sekadar Suu Dzan. 

Pendirian saya, Majlis Agama Negeri berhak menghalang siapa sahaja daripada mengajar  kerana itu di bawah bidang kuasa mereka. Demikian boleh berlaku di negeri Selangor, demikian juga di negeri-negeri lain. 

Semoga Allah mudahkan urusan kita berkhidmat kepada agama.