Selepas solat Subuh di Surau al-Sobirin, Sungai Buloh, saya menyampaikan kuliah Subuh dengan berpandukan buku tulisan saya berjudul "24 Jam Amalan Puasa Rasulullah SAW". Berikut adalah soalan para jemaah dan jawapan saya: 

(1) Apakah perbezaan Masjid dan Surau? 

Jawapan: Secara umumnya, Surau ialah istilah Melayu yang mempunyai maksud yang sama dengan masjid di dalam bahasa Arab. Oleh itu, ia mengambil hukum yang sama seperti masjid. Sunat untuk solat Tahiyatul Masjid apabila telah masuk ke masjid atau surau. 

(2) Apakah perbezaan waktu Isyraq dan Dhuha? 

Jawapan: Menurut satu pendapat di dalam Mazhab al-Syafii (tepatnya dipelopori oleh al-Ramly) yang saya pegang, waktu Dhuha dan waktu Isyraq adalah waktu yang sama. Bahkan, hujah yang dipegang untuk menyatakan wujudnya solat Isyaq adalah hujah yang sama untuk Dhuha. 

(3) Bukankah hadis yang Ustaz baca itu merujuk kepada solat Fardhu? 

Jawapan: Hadis yang dimaksudkan ialah: 

Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 734] [Hadith ini adalah Hasan Sahih sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Tirmizi]

Saya mengambil pendapat majoriti ulama dan ahli ilmu di dalam hal ini bahawa hadis di atas merujuk kepada solat tarawih. Bahkan ia boleh juga difahami dengan maksud solat fardhu - 

Hadith ini juga memberi kefahaman kepada kita bahawa seandainya imam itu mendirikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat dan 3 rakaat witir maka makmum juga perlu menyelesaikan kesemua rakaat tersebut bersama imam sekiranya ingin mendapat fadhilat pahala solat sepanjang malam. Begitu juga, jika imam mendirikan solat 8 rakaat tarawih dan 3 rakaat witir maka makmum juga perlu menyelesaikan kesemua rakaat tersebut bersama imam.

(4) Saya berada di sempadan zon waktu dengan perbezaan 2 minit ketika sesak di dalam jalan raya - manakah waktu azan yang perlu saya dahulukan?

Jawapan: Sekiranya anda mendengar azan daripada kawasan berkenaan, anda boleh berbuka puasa. Jika tidak, maka pilih waktu yang selamat iaitu yang lebih lewat. 

WallahuAlam.