Latar Belakang  Isu 


Beberapa bulan lepas, saya memberikan tazkirah sebelum Jumaat. Ketika itu, saya menyatakan bahawa solat Sunat sebelum Zohor dan selepas Jumaat adalah empat rakaat dan dilakukan dengan satu salam– menurut pandangan. 

Namun saya tidak memberikan apa-apa rujukan dalil.

Setelah itu, beberapa kali Jemaah masjid berkenaan berjumpa dengan saya dan mahukan kepastian. Kerana menurut mereka, ustaz-ustaz yang mengajar memberi tahu bahawa solat sunat sebelum zohor dan selepas jumaat adalah empat rakaat dengan dua kali salam. 

Oleh itu, saya mencari masa untuk membuat sedikit penelitian terhadap isu ini kerana makluman saya berdasarkan mazhab al-Syafii itu terhadap kepada pengajian saya ketika di Tahun 1 Universiti al-Azhar. Namun malangnya saya tidak menemui buku itu sekarang. 

 Dalil Disyari’atkan 


Solat Rawatib Zuhur adalah termasuk dalam kategori solat yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW  kecuali jika baginda sedang bermusafir. Terdapat banyak dalil yang menunjukkan bahawa Solat Qabliyah dan Ba’diyah Zuhur ini termasuk dalam sunnah Rasulullah SAW. Di antaranya adalah sebuah riwayat daripada ‘Abdullah bin Syaqiq, dia berkata: 

Saya pernah bertanya kepada ‘Aisyah tentang solat tathawwu’ Rasulullah, lalu ‘Aisyah menjawab:

 كَانَ يُصَلِّي فِي بَيْتِي قَبْلَ الظُّهْرِ أَرْبَعًا ثُمَّ يَخْرُجُ فَيُصَلِّي بِالنَّاسِ ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ

Rasulullah solat empat rakaat sebelum Zuhur di rumahnya lalu baginda solat (Zuhur) bersama orang ramai dan setelah itu baginda solat dua rakaat. 

HR Muslim di dalam Sahih: 730.

 Abu Hurairah menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: 

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ الْجُمُعَةَ فَلْيُصَلِّ بَعْدَهَا أَرْبَعًا

Apabila kamu telah selesai mengerjakan solat Jumaat, maka bersolatlah empat rakaat setelahnya. 

HR Muslim di dalam Sahih: 881

 Keutamaannya 


Mengerjakan solat sunat Rawatib Zuhur dapat memelihara seseorang itu dari api neraka. Dalilnya adalah sebagaimana sebuah riwayat daripada Ummu Habibah radhiallahu’ anha, dia berkata aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ.

Barangsiapa yang memelihara solat empat rakaat sebelum Zuhur dan empat rakaat sesudahnya, Allah akan mengharamkannya dari Neraka. 

HR al-Tirmizi di dalam Sunan: 428. Hasan 

  Jumlah Rakaat Sunat Zohor 


Berkaitan dengan jumlah rakaatnya terdapat tiga pendapat dari segi perlaksanaannya.

 Pertama : Mengerjakan dua rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat setelahnya. Daripada Ibnu ‘Umar radhiallahu’ anh, dia berkata:

 حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ.

Aku telah menghafal (menjaga) daripada Nabi SAW tentang sepuluh rakaat (iaitu solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh. 

HR al-Bukhari di dalam Sahih: 1180

 Kedua: Mengerjakan empat rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat setelahnya. Daripada Ummu Habibah radhiallahu’ anha, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ.

 Barang siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Kedua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zuhur, dua rakaat setelah solat Zuhur, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh. 

HR Al-Tirmizi di dalam Sunan: 415. Hasan Sahih.

 Ketiga: Mengerjakan empat rakaat sebelum Zuhur dan empat rakaat setelahnya. Daripada Ummu Habibah radhiallahu’ anha, dia berkata aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ.

 Barangsiapa yang memelihara solat empat rakaat sebelum Zuhur dan empat rakaat sesudahnya, Allah akan mengharamkannya dari Neraka. 

HR Al-Tirmizi di dalam Sunan: 428. Sahih.

 Kesemua tatacara di atas adalah bersandarkan kepada dalil-dalil yang sabit daripada baginda SAW maka dibenarkan bagi kita untuk melaksanakannya menurut salah satu dari tatacara di atas ataupun boleh juga bagi kita untuk menggilirkan tatacara perlaksanaan solat Rawatib Zuhur ini menurut ketiga-tiga tatacara tersebut.

  Jumlah Rakaat Sunat Jumaat 


Pada hari Jumaat, tiada wujud istilah Solat Sunat Qabliyah Jumaat. Yang ada hanyalah solat sunat Jumaat secara Mutlak sebelum imam berkhutbah. 

Adapun selepas solat Jumaat, dalil sebelum ini telah menyatakan pensyariatan solat ketika itu. Namun, berapakah rakaat yang sabit?

Pendapat pertama: Mengerjakan solat sebanyak dua rakaat sepertimana yang diriwayatkan daripada amalan Ibn Umar.

Pendapat kedua: Mengerjakan solat sebanyak empat rakaat. Ini adalah pendapat jumhur para ulama. Imam al-Syafii juga memilih pendapat ini dengan merekodkannya di dalam buku beliau “Al-Umm” - beliau menyatakan: “Adapunpendapat kami, solat empat rakaat.”

Pendapat ketiga: Membuat pilihan - sama ada empat atau dua rakaat. Imam Ahmad berkata: 

إن شاء صلى بعد الجمعة ركعتين , وإن شاء صلى أربعا

Sekiranya sesorang mahu solat setelah jumaat dengan dua rakaat, dia boleh melakukannya. Jika dia mahu solat empat rakaat juga dibolehkan. 

Al-Mughni: 2/109

Pendapat keempat: Membuat penelitian. Sekiranya solat di Masjid, maka lakukan empat rakaat. Jika solat di rumah, maka lakukan dua rakaat. 

Pendapat kelima: Enam rakaat. Ini diriwayatkan daripada Ali binAbi Talib dan sekumpulan para salaf. Rujuk Musannaf Ibn Abi Syaibah: (41-2/40). Ini jugalah pendapat yang dipilih oleh Abu Yusuf dan Tahawi di dalam mazhab Abu Hanifah. Mereka menyatakan empat rakaat disyariatkan dengan kata-kata manakala dua rakaat pula dengan perbuatan Nabi Muhammad SAW. 

 Tatacara Pelaksanaan 


Terdapat hadis yang sahih berkaitan tatacara solat sunat pada waktu malam - iaitu dua rakaat, kemudian salam, kemudian dua rakaat lagi. 

Seorang lelaki telah bertanya Nabi Muhammad SAW ketika baginda di atas mimbar. Apakah pandanganmu tentang solat malam? Baginda menjawab: 

مَثْنَى مَثْنَى، فَإِذَا خَشِيَ الصُّبْحَ صَلَّى وَاحِدَةً، فَأَوْتَرَتْ لَهُ مَا صَلَّى

Dua-dua. Sekiranya kamu bimbang akan menghampiri Subuh, maka solatlah satu rakaat. Dengan itu kamu telah witrkan (akhirkan) apa yang kamu solat.

HR al-Bukhari di dalam Sahih: 472.

Namun, di dalam isu solat sunat pada waktu siang, ia masih samar-samar kerana hadis yang menyebutkannya tambahan “dan disiang” dipertikaikan kesahihannya. Imam al-Daruqutni di dalam al-`Ilal menyatakan bahawa tambahan al-Nahar (Siang) mempunyai waham (kekeliruan) kerana perawi lain yang meriwayatkan daripada Ibn Umar tidak menyatakan perkataan berkenaan. 

Di dalam kitab al-Tarhu al-Tasrib, Imam Zainuddin al-Iraqi memberi ulasan terhadap hadis “Solat malam dua-dua.” Ringkasannya seperti berikut: 

  • Difahami daripada hadis berkenaan bahawa solat sunat pada waktu siang dilakukan tanpa salam bagi setiap dua rakaat. Bahkan, ia lebih baik dilakukan dengan empat-empat rakaat. Inilah pendapat yang dipilih oleh Abu Hanifah dan ashabnya iaitu Abu Yusuf dan Muhammad. Mereka merajihkan pendapat berkenaan berdasarkan perbuatan Ibn Umar yang ia melakukan solat siang sebanyak empat-empat rakaat. Ia direkodkan di dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah. Ibn Munzir juga menyatakan pendapat sama daripada Ishaq bin Rahwaih.

  • Mazhab Malik, al-Syafii dan Ahmad pula menyatakan bahawa yang paling afdal ialah bersolat siang dengan dua kali salam. 

  • Dalil kedua lebih banyak dan lebih kuat: Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad solat sebelum Zohor dua rakaat serta dua rakaat setelahnya. Ini menunjukkan bahawa solat siang tidak semestinya empat rakaat empat rakaat kerana ada juga solat lain pada waktu siang yang dilakukan dua rakaat seperti solat sunat sebelum Zohor, selepas Jumaat, sebelum Asar, setelah sampai ditempat tujuan, solat hari raya, solat Istisqa dan sebagainya. 


Para ulama bersempendapat bahawa sekiranya seseorang solat siang dengan empat rakaat dengan satu salam, maka ia adalah dibolehkan. Perbincangan hanya sekitar isu afdal sahaja.

Ini adalah khilaf yang mu`tabar. Ia menjadi perselisihan ilmu daripada para ulama mujtahid. Oleh itu, setiap orang boleh memilih pandangan mana yang mana mereka lebih dekat.