Baru-baru ini, seorang pelajar praktikum yang bekerja di Santai Ilmu Publication bertanya saya; "Macam mana Ustaz boleh menulis banyak buku di dalam masa yang singkat?"

Dia kelihatan kagum dengan apa yang saya lakukan. Lalu saya menjawab:

"Buku yang diterbitkan hari ini ialah penulisan saya 5 atau 6 tahun yang lepas. Baru hari ini ia berjaya diterbitkan".

Alhamdulillah, saya telah menulis lebih daripada 20 buah buku. Beratus-ratus judul masih lagi dalam proses penulisan dan suntingan.

Saya menulis buku bermula tahun 2009 - iaitu tahun pertama saya di Universiti al-Azhar, Mesir. Saya mula belajar menulis dengan penulisan blog www.ustazusa.com. Sehingga hari ini blog itu masih aktif.

Jadual saya ketika belajar ialah;

  • - Selepas Subuh: Pengajian kitab di Masjid al-Rasyidi atau berdekatan. Kemudian balik rumah, menulis.
  • - 8 Pagi - 2 Petang: Kuliah di Universiti Al-Azhar, kemudian balik rumah, menulis.
  • - Selepas Asar: Pengajian kitab hadis di Masjid Khulafa' atau berdekatan. Kemudian balik rumah, menulis.
  • - Selepas Maghrib: Pengajian kitab di Masjid al-Rasyidi atau berdekatan.
  • - Selepas Isyak: Stady Group bersama kawan-kawan. Kemudian balik rumah, menulis.

Saya menulis setiap hari. Hampir tiada hari yang saya tidak menulis. Tidak dinafikan, saya terkesan dengan rakan sebilik saya iaitu Ustaz Naqib Hamdan yang gemar menuntut ilmu, membaca dan menulis.

Masa kosong ketika belajar, sangat banyak. Jika kita gunakan sebaiknya, maka kita akan dapat membina soft skill yang berguna pada masyarakat.

Apa yang saya belajar di kelas, saya cuba untuk terjemahkan lalu kemaskini di laman web. Bahkan beberapa page facebook utama seperti "Dr. Mursi - Presiden Mesir" adalah di bawah terjemahan saya sepenuhnya.

Design?

Saya belajar buat design melalui video-video YouTube. Saya belajar cara penulisan yang baik daripada video-video YouTube. Saya belajar banyak kemahiran daripada perkataan "How to..." di Google search.

Hari ini, saya belajar mencetak buku secara POD (Print on Demand) juga melalui YouTube.

Pemuda.
Banyak buat kerja.
Banyak juga akan buat silap.

Kerana engkau PEMUDA.