Dr. Muhammad Badi` menyatakan: 

“Antara sokongan yang paling penting dalam merealisasikan kemajuan umat Islam ialah : Nilai dan akhlak yang termaktub didalam jiwa, lalu ia menggerakkan tubuh badan. Maka nilai dan akhlak itu akan bercakap dengan amal kerja, dan terjadilah cita-cita besar yang diinginkan, yang dahulunya hanya satu angan-angan."

Asas-asas gambaran praktikalnya telah ditunjukkan oleh didikan Rasulullah saw kepada para sahabatnya. Rasulullah menanamkan akhlak dalam jiwa mereka, lalu terbukalah dunia (di bawah pemerintahan Islam). Mereka itu adalah teladan yang terbaik di atas muka bumi ini. Nabi saw mengajar mereka dengan katanya :

“Bahawasanya aku ini diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”[Hadis sahih direkod oleh Malik]

Begitu juga apa yang kita temui bahawa Al-Quran dan As-Sunnah Nabawiah telah menekankan berulang kali akan kepentingan praktikal amali atas kesinambungan iman dan kepercayaan. Iman itu di aplikasi dalam alam realiti manusia. Ini diajar dengan jelas dalam petikan kata-kata sahabat:
“Iman adalah apa yang mendiami dalam hati, dan dibenarkan dengan amalan”

Para ulama telah mendefinasikan akhlak dengan : 

“Kumpulan perkara-perkara mulia dan tingkah laku yang diungkapkan”. 

  Apa yang kita lihat berlaku pada hari ini dalam masyarakat kita, masyarakat  arab dan masyarakat Islam. Berlakunya pelbagai cabaran, pertembungan dan permasalahan yang menghendaki kita untuk menimbang semula untuk kembali kepada jalan yang benar. Kembali membina semula apa yang telah dirosakkan. Jalan yang dibina itu hendaklah menepati kaedah nabawi yang mulia.

Sangka Baik

Pada hari ini, gejala menjatuhkan maruah sesama Muslim semakin merosak di dalam masyarakat. Belum habis luka-luka semalam, luka hari ini berdarah kembali. Muslim sesama Muslim tidak lagi merasa bahagia dan gembira antara satu sama lain. 

- Orang yang belajar akidah, suka mengeluarkan orang Islam lain daripada agama. 
- Orang yang berlajar fikah mencari jalan untuk mengatakan kumpulan lain sesat atas dasar perbezaan mazhab fikah yang dipegang. 

Budaya orang politik yang suka menjatuhkan peribadi lawannya kini berkembang biak di dalam darah agama ini. Ia menyebabkan kesakitan yang berpanjangan tanpa kesudahan. Kesannya? Kehancuran dalaman kekuatan umat islam. 

Allah berfirman di dalam surah al-Hujurat;

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ 

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

(Al-Hujurat: 12)

Daripada ayat di atas, kita dapati beberapa pelajaran: 

(1) Allah memerintahkan hamba-Nya yang taat supaya menjauhi sangka buruk.

(2) Ayat ini juga melarang perbuatan Tajassus – iaitu sengaja mencari-cari kesalahan serta keburukan orang lain. Ia berlaku kerana kesan perkara pertama iaitu buruk sangka. 

(3) Umpatan juga dilarang di dalam ayat di atas. Ini juga kesan daripada perkara pertama. Dosa umpatan diumpakan seperti memakan daging adik beradik sendiri. Adakah seorang manusia normal akan berasa selera untuk memakan daging manusia yang merupakan ada pertalian darah dengannya? 

(4) Allah menyuruh untuk bertaqwa – Takut kepada Allah, beramal dengan risalah, merasa cukup dengan perkara sedikit serta bersiap sedia menghadapi hari kembali. Demikianlah kenyataan Saidina Ali yang direkodkan juga di dalam kitab Al-Taqwa oleh Ibn Abi al-Dunya. 

(5) Taqwa akan melahirkan taubat sehingga setiap muslim saling insaf menginsafi atas apa yang mereka lakukan terhadap satu sama lain. Sekalipun isu sangka buruk ini dirujuk kepada manusia sesama manusia, tetapi agama menganggap bahawa ia adalah isu agama. Lalu orang yang melampau hendaklah bertaubat dengan sesungguhnya. 

Abu Hurairah menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ، فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الحَدِيثِ، وَلاَ تَجَسَّسُوا، وَلاَ تَحَسَّسُوا، وَلاَ تَبَاغَضُوا، وَكُونُوا إِخْوَانًا،

Berhati-hatilah kamu dengan sangka-sangkaan. Kerana sangkaan itu merupakan ucapan yang paling menipu. Demikian juga, janganlah kamu mencari-cari kesalahan, jangan suka mengintai kesalahan, jangan saling benci membenci. Jadilah seperti adik beradik. 

(HR al-Bukhari di dalam Sahih: 5143)

Daripada hadis di atas, terdapat beberapa pelajaran: 

(1) Nabi bersungguh-sungguh memperingatkan umatnya terhadap bahaya bersangka buruk. Sehingga baginda menyatakan bahawa sangka buruk itu membawa pengaruh-pengaruh yang tidak baik tetapi dusta-dusta belaka. Dengan sangkaan boleh mempengaruhi seseorang melabel dengan salah. 

Syeikh Mustafa al-bugha menyatakan: Perkataan “Iyyakum  wa zan” membawa maksud: Jauhilah sangka buruk terhadap umat Islam. Jangan sebutkan sesuatu tanpa ada ilmu. 

(2) Nabi juga larang perbuatan mengintai kesalahan orang lain kerana kesalahan itu adalah aib yang dmenjadi sesuatu yang suka ditutup oleh orang beriman. 

(3) Nabi juga tidak suka kita saling bergaduh apatah lagi di dalam hal yang membolehkan kita memutuskan silaturahim. 

(4) Nabi suruh supaya kita menjadi seperti adik beradik dalam setiap perkara. Iaitu sentiasa sedar bahawa hubungan kita diikat oleh Allah dan tidak boleh diuraikan dengan ucapan kita sendiri. Mahukah kita menyesatkan adik beradik kita? Tidak tetapi kita suka untuk bimbing mereka.

Rasulullah bersabda: 

المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Seorang yang layak disebut Muslim itu ialah orang Muslim lain terselamat daripada ancaman lidah dan tangannya. 

(HR al-Bukhari di dalam Sahih: 10)

Pelajaran: 

(1) Yang dimaksudkan dengan muslim di sini ialah seorang yang benar-benar mengikuti etika Muslim. Jika mereka tidak mengikuti etika ini, maka Islam berlepas diri dengan perbuatannya. 

(2) Lidah seorang muslim dengan muslim yang lain mestilah baik. Tidak boleh mencerca, memaki atau bergosip buruk. 

Amirul Mukminin Umar bin Khathab berkata, “Janganlah engkau berprasangka terhadap perkataan yang keluar dari saudaramu yang mukmin kecuali dengan persangkaan yang baik. Dan hendaknya engkau selalu membawa perkataannya itu kepada prasangka-prasangka yang baik”

Ibnu Katsir menyebutkan perkataan Umar di atas ketika menafsirkan ayat 12dalam surat Al-Hujurat.
Disebutkan dalam kitab Al-Hilyah karya Abu Nu’aim (II/285) bahwa Abu Qilabah Abdullah bin Yazid Al-Jurmi berkata : “Apabila ada berita tentang tindakan saudaramu yang tidak kamu sukai, maka berusaha keraslah mancarikan alasan untuknya. Apabila kamu tidak mendapatkan alasan untuknya, maka katakanlah kepada dirimu sendiri, “Saya kira saudaraku itu mempunyai alasan yang tepat sehingga melakukan perbuatan tersebut”.