25 Disember 2017.
Pusat Fatwa Elektronik Al-Azhar Sedunia.

Soalan: Apakah hukum mengucapkan Tahniah atas hari raya orang Masihi (Kristian)?

Jawapan:Mengucapkan Tahniah kepada penganut agama Masihi (Kristian) dengan kegembiraan mereka terhadap hari raya mereka adalah harus. Ia berada di bawah isu ihsan dan berlaku baik kepada mereka.

Demikian itu juga termasuk di dalam isu berlembut di dalam kata-kata serta ucapan yang baik. Semua itu adalah perintah Allah kepada kita di dalam interaksi sesama manusia secara umum, apatah lagi khusus kepada Ahli Kitab yang berkongsi kenegaraan dan persaudaraan sesama manusiawi.

Di antara dalil yang menunjukkan keharusan berkenaan ialah:

- Firman Allah:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ.
“Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Mumtahah: 8).

- Demikian juga firman Allah di dalam surah al Baqarah:

وَقُولُواْ لِلنَّاسِ حُسْناً -٨٣-
“Dan bertutur katalah yang baik kepada manusia.”
(Al-Baqarah 83)

- Ucapan tahniah ini termasuk sisi berlaku adil dan ihsan kepada mereka. Demikianlah Allah memerintahkan kita:

إن الله يأمر بالعدل والاحسان
Artinya: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan”.(Qs. an-Nahl ayat: 90).

- Demikian juga keharusan itu bertepatan dengan maksud-maksud (Maqasid) Agama Islam, menunjukkan keluasan dan sifat kesederhanaan (Wasatiyyah). Hal ini membawa kepada penambah baikkan ikatan persaudaraan di dalam negara ini. Ia juga mampu memelihara nilai kenegaraan, menghubungkan hubungan baik antara jiran tetangga serta berkongsi kegembiraan di antara sahabat.

WallahuAlam.

Tamat Terjemahan.

------------------
Syihabudin Ahmad,
Graduan Al-Azhar, Dimyat.