Soalan 1: Kita dalam musim haji dan penghijrahan jemaah daripada Malaysia ke Mekah bagi menunaikan rukun Islam ke 5. Bolehkah ustaz kongsikan berkaitan latar belakang sebab hijrah Nabi ke Madinah meninggalkan bumi Mekah? Bukankah Mekah itu  adalah bumi yang mulia sehingga kita pergi melaksanakan haji di sana? mengapa Nabi menyuruh para sahabat keluar darinya?

Jawapan: 

1. Pertama kali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada para jemaah Haji yang telah berangkat serta yang akan berangkat ke sana tak lama lagi. Kita doakan semoga Allah mengurniakan kepada mereka Hji yang mabrur – haji yang memberi kesan kepada diri mereka dan kita juga. 

2. Kita doakan juga semoga para penonton kita pagi ini yang sedang menonton rancangan live ini yang pernah mengerjakan haji – moga Allah kurniakan haji yang lepas itu sebagai haji mabrur.

3. Ya, pastinya para penonton yang pernah pergi haji di Mekah akan merasa terkenang dan rindu dengan suasana pada waktu berkenaan. Pengalaman berada di bumi yang Allah berkati sejak zaman berzaman – bahkan, sebelum Nabi Ibrahim membuka bumi berkenaan lagi. Merindui air Zamzam yang berasal dari bumi itu. Solat dengan memandang Kaabah – pastinya ia adalah pengalaman yang mustahil dilupakan.

4. Bumi Mekah itu adalah bumi yang Allah telah janjikan termasuk di dalam kategori bumi mulia – tanah Haram. Firman Allah: 

a. إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِلْعَالَمِينَ
b. “Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadat) manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia” (QS. Ali Imran: 96).

5. Nabi Muhammad SAW pula bersabda:

a. مَنْ حَجَّ لِلَّهِ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
b. “Siapa yang berhaji ke Ka’bah lalu tidak berkata-kata keji dan tidak berbuat kefasikan maka dia pulang ke negerinya sebagaimana ketika dilahirkan oleh ibunya.” (Muttafaqun ‘alaih).

6. Justeru itu, mengapa Nabi menyuruh para sahabatnya keluar berhijrah? Keluar dari bumi Bakkah itu?

7. Ia demikian kerana Mekah pada ketika itu – bukanlah tempat yang aman. Ia dikuasai oleh orang-orang yang jahat terhadap agama, tamak terhadap kemuliaan dunia serta sombong terhadap kebenaran.

a. Ketika Ali memberi cadangan untuk dijadikan tahun Hijrah sebagai  tahun pertama di dalam kalender hijrah umat Islam, Ali menyebutkan: 
i. «مِنْ يَوْمِ هَاجَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَرَكَ أَرْضَ الشِّرْكِ»
ii. Kita tetapkan bermula hari Rasulullah SAW berhijrah dan meninggalkan bumi syirik (ketika itu).
iii. Sila rujuk Al-Mustadrak pada bilangan: 4287. Kesahihan sanad ini dipersetujui oleh Imam al-Dzahabi.
b. Setelah Nabi Muhammad berdiri di atas bukit Sofa dan menyeru: 
i. إني نذير لكم بين يدي عذاب شديد )يا صباحاه!
ii. Wahai sahabat-sahabat! Aku adalah pemberi peringatan kepada kamu bahawa di hadapan kamu ada azab yang keras!

8. Orang Mekah tidak mahu mengikuti kebenaran bahkan angkuh dan sombong  sehingga sanggup mencederakan para sahabat Nabi Muhammad!

a. Bapa saudara Usman bin Affan pernah mengepung anak saudaranya dengan dapur besar yang diperbuat daripada dedaunan kurma, kemudian mengasapinya dari bawah. 

b. Ketika ibu Mus’ab bin Umair mengetahui tentang keislaman anaknya, dia membiarkannya kelaparan lalu mengusirnya dari rumah. Padahal sebelum itu Mus’ab bin Umair adalah pemuda yang paling bergaya hidupnya di Kota Mekah sehinggalah akhirnya kulitnya menggelupas seperti menggelupasnya kulit ular. 

c. Seksaan berat juga dialami oleh Bilal bin Rabah. Dia adalah hamba Umayyah bin Khalaf al-Jamhi. Umayyah mengikat leher Bilal dengan tali, lalu dia diserahkan kepada orang-orang Mekah. Anak-anak itu mengheret Bilal mengelilingi bukit-bukit di Mekah, sehingga bekas ikatan tali kelihatan di lehernya. Selepas itu Bilal dikembalikan kepada Umayyah. Kemudian, ikatan tali di leher Bilal makin dikencangkan oleh Umayyah, lalu dia memukul Bilal dengan sebuah tongkat. Selepas itu dia memaksa Bilal untuk duduk di bawah terik panas matahari serta membiarkannya kelaparan. Apa yang lebih pedih daripada itu adalah ketika Umayyah mengheret Bilal keluar dan dijemur di tengah panas yang membahang. Dia melempar Bilal ke tanah Mekah yang berbatu. Kemudian dia menyuruh orang ramai untuk membawa batu besar yang seterusnya diletakkan di atas dada Bilal. 
Dia berkata, “Demi Allah, kamu akan tetap seperti ini hingga kamu mati kecuali jika kamu membelot terhadap Muhammad, kemudian menyembah Latta dan Uzza.” Walau diancam sebegitu rupa, Bilal hanya menjawab, “Ahad ... Ahad.” Hinggalah akhirnya Abu Bakar melalui tempat itu ketika mereka sedang menyeksa Bilal. Abu Bakar pun membelinya dengan pertukaran dengan seorang anak muda berkulit hitam. Namun begitu, ada pendapat yang menyatakan bahawa pembayarannya berupa tujuh atau lima uqiyah perak. Setelah membelinya, Abu Bakar pun memerdekakannya. 

d. Seterusnya adalah Ammar bin Yasir, hamba milik Bani Makhzum. Dia memeluk Islam bersama ayah dan ibunya. Orang Musyrik, yang diketuai oleh Abu Jahal, mengheret mereka keluar dan melemparkan mereka ke atas tanah berkerikil tatkala panas terik sedang menyengat. Mereka diseksa dengan panasnya sengatan matahari. Ketika orang Musyrik sedang asyik menyeksa, nabi melalui tempat itu. Baginda lantas berkata, “Bersabarlah, keluarga Yasir. Sesungguhnya tempat kamu akan kembali adalah syurga.” Yasir meninggal kerana tidak mampu menahan seksaan. Sementara Sumayyah, ibu Ammar, ditikam pada kemaluannya dengan sebilah belati hingga meninggal. Dia adalah syuhadah pertama dalam sejarah Islam. Sedangkan terhadap Ammar, orang Musyrik memberikan seksaan yang semakin kuat. Mereka menjemurnya di bawah terik panas sehingga dia lemas. Di atas dadanya diletakkan batu merah berukuran besar. Seterusnya sebahagian tubuhnya dibenamkan ke tanah. Mereka berkata, “Kami tidak akan menghentikan seksaan terhadapmu sehingga kamu mahu melecehkan Muhammad atau kamu mahu mengatakan sesuatu yang baik terhadap Latta dan Uzza.” Hinggalah akhirnya, dengan terpaksa, dia menuruti kemahuan mereka itu. Setelah dilepaskan, dia mendatangi nabi sambil menangis dan berasa amat bersalah. Maka Allah menurunkan ayat, “Barang siapa menyatakan kafir kepada Allah setelah keimanannya, maka dia mendapat kemurkaan daripada Allah. Kecuali orang yang dipaksa melakukannya padahal hatinya tetap tenang menggenggam keimanan, maka dia tidak berdosa.” (An-Nahl: 106) 

e. Seterusnya Abu Fakihah atau nama asalnya Aflah. Dia adalah hamba milik Bani Abdud Dar. Bani Abdud Dar mengikat kakinya dengan tali kemudian mengheretnya di atas permukaan tanah. 

f. Kemudian Khabab bin Arats, hamba Ummu Anmar binti Siba’ al-Khuzaiyah. Orang Musyrik menimpakan kepadanya pelbagai penyeksaan. Mereka mencengkam rambut kepalanya, lalu menariknya dengan kuat. Seterusnya mereka memutar kepalanya secara paksa dan membaringkannya berkali-kali di atas bara yang menyala. Kemudian di atas badannya diletakkan batu besar hingga dia tidak dapat bangun. 

g. Seterusnya Zinnirah, Nahdiyah dan anaknya serta Ummu Ubais. Mereka adalah hamba perempuan yang memeluk Islam. Orang Musyrik menimpakan kepada mereka pelbagai seksaan yang hampir sama dengan yang saya sebutkan di atas. Seorang hamba perempuan milik Bani Muammal (salah satu cabang daripada Bani Ady) juga memeluk Islam. Umar bin Khathab yang ketika itu masih Musyrik terus memukulnya. Tatkala dia telah bosan, barulah dia berkata, “Jika aku tidak bosan, aku tentu tidak akan berhenti memukulmu.” Semua hamba perempuan ini dibeli oleh Abu Bakar lalu dimerdekakan. Sama seperti dia memerdekakan Bilal dan Amir bin Fuhairah. 

h. Orang Musyrik membungkus beberapa orang sahabat dengan kulit unta dan lembu, lalu melemparkannya ke tengah terik panas yang menyengat. Mereka juga memakaikan secara paksa jubah besi kepada beberapa orang sahabat yang lain, lalu melemparkannya ke tanah batu yang sedang panas. 

i. Tidak diketahui, berapa ramaikah orang Islam yang terkorban kerana memeluk Islam. Siapa saja yang diketahui memeluk Islam, orang Musyrik pasti menyeksa dan menyakiti mereka.

9. Bahkan, kemuncaknya – Nabi Muhammad SAW sendiri di ancam untuk dibunuh! Maka, tiada yang layak lagi melainkan keluar daripada Mekah menuju ke bumi Madinah.

10. Madinah adalah tempat tujuan yang tiada janji apa-apa. Melainkan janji daripada Allah dan Rasulnya. Para sahabat berhijrah dengan menyanggupi pelbagai risiko – bahkan, mereka berkemungkinan akan berhadapan dengan ancaman yang lebih terus tetapi janji Allah dan Rasulnya dipegang erat. Mereka benar-benar percaya apabila Nabi SAW bersabda: 

a. رَأَيْتُ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أُهَاجِرُ مِنْ مَكَّةَ إِلَى أَرْضٍ بِهَا نَخْلٌ فَذَهَبَ وَهَلِي إِلَى أَنَّهَا الْيَمَامَةُ أَوْ هَجَرُ فَإِذَا هِيَ الْمَدِينَةُ يَثْرِبُ
Aku pernah mimpi berhijrah (pindah) dari Makkah menuju suatu tempat yang ada pohon kurmanya. Lalu aku mengira daerah itu ialah Yamamah atau Hajr (Ahsâ`), (namun) ternyata daerah itu adalah Yatsrib.
HR al-Bukhâri/al-Fath (7/226) dan Imam Muslim (4/1779). Lihat as-Siratun-Nabawiyatush-Shahîhah, hlm. 201.

Juga hadits:

b. إِنِّي أُرِيتُ دَارَ هِجْرَتِكُمْ رَأَيْتُ ذَاتَ نَخْلٍ بَيْنَ لَابَتَيْنِ
Aku diperlihatkan negeri hijrah kalian, yaitu satu negeri yang memiliki pohon kurma di antara dua harrah. 
HR al-Bukhâri/al-Fath, 7/231. Az-Zuhri menjelaskan, yang dimaksud dengan kalimat labatain dalam hadits di atas ialah dua hurrah.

Soalan 2: Ustaz, mengapakah orang Mekah tidak menyukai Nabi Muhammad sedangkan pada asalnya, beliau dianggap sebagai sebaik-baik rakyat? Kemudian mereka mahu membunuhnya pula?!

Jawapan: 

1. Sanjungan orang Mekah kepada Nabi Muhammad – tidak terkira. Beliaulah al-Amin! Yang dianggap sebagai orang yang paling boleh dipercayai. Dia tergolong dalam kalangan orang yang baik-baik daripada keturunan yang baik-baik.

2. Bahkan, Abu Lahab pernah menikahkan anaknya Utbah dan Utaibah dengan anak perempuan Nabi iaitu Ruqayyah dan Ummul Kulsum. 

3. Tetapi, jauhnya mereka daripada kebenaran menyebabkan mereka menolak dengan kasar dakwah Nabi Muhammad SAW. Demikianlah Allah berfirman:

a. إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
b. Bukanlah engkau yang memberikan hidayah kepada orang yang engkau suka, tetapi Allahlah yang memberikan hidayah kepada orang yang Dia suka – Allah lebih mengetahui sifat-sifat orang yang diberi hidayah.
c. Al-Qasas: 56

Soalan 3: Bolehkah ustaz kongsikan pengajaran yang kita dapat daripada peristiwa hijrah ini.

Jawapan:

1. Daripada isu latar belakang Hijrah ini, kita dapat fahami bahawa penghijrahan yang dilakukan oleh Nabi dan para sahabat adalah dengan tujuan meninggalkan syirik kepada peneguhan tauhid. Meninggalkan satu tempat ke tempat yang lain bagi menagih keberkatan dan perintah Tuhan. Oleh itu, samalah seperti kita yang meninggalkan bumi Malaysia ini – menuju ke Mekah denga meninggalkan harta yang kita sayang bagi menunaikan perintah Tuhan. 

2. Seorang Muslim yang memahami konsep hijrah pastinya menjauhi perkara syirik dan khurafat yang biasa dilakukan oleh orang yang mengerjakan haji. 

3. Menghayati perjuangan hijrah Nabi menyebabkan inspirasi kepada kita – bahawa Islam itu tidak dibawa dengan mudah tetapi ia menagih darah dan airmata – maka hendaklah kita berusaha dengan sesungguhnya untuk mencintai dan menyebarkan agama ini dengan bersungguh-sungguh.