Wajib dijalankan kuarantin kesihatan apabila tersebarnya ke sesuatu negeri atau seluruh negara. Suruhan atas perkara itu dinilai oleh pakar yang mempunyai keahlian khusus dalam bidang perubatan dan jawatankuasa khas negara. Demikian juga semua rakyat hendaklah menerima perintah berkenaan yang diarahkan oleh badan rasmi.

Perkara pertama yang akan dilakukan ialah mengasingkan (isolasi) sesiapa yang dijangkiti di satu tempat yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa khas dalam negara berkenaan. Ia demikian bertujuan menghalang dari tersebarnya wabak. 

Antara hujah agama terhadap hal ini ialah:

1. Direkodkan oleh al-Bukhari dengan sanadnya daripada Abdul Rahman bin Auf: Bahawa Rasulullah SAW berkata – berkaitan wabak taun- :

إذا سمعتم به بأرض فلا تقدموا عليه، وإذا وقع بأرض وأنتم بها، فلا تخرجوا فرارا منه

Apabila kamu mendengar bahawa satu tempat (telah dijangkiti wabak taun), janganlah kamu pergi ke sana. Demikian pula, apabila kamu telah berada di tempat berkenaan, hendaklah kamu jangan keluar melarikan diri darinya.

Daripada hadis ini, kita dapat memahami dengan jelas bahawa apabila wabak telah berada di satu tempat, maka tidak boleh bagi seseorang yang tinggal di situ untuk keluar bagi melarikan diri darinya. Sekiranya seseorang itu dari luar, janganlah pula dia memasuki tempat berkenaan. Ia berlaku demikian supaya wabak itu tidak berpindah dari orang yang telah sakit kepada orang lain.

Maksud ini dikuatkan lagi dengan hadis lain yang terdapat di dalam Musnad Ahmad, daripada Abu Hurairah: Katanya; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

فِرَّ مِنَ الْمجْذُومِ فِرَارَكَ مِنَ الْأَسَدِ».

Larinya engkau dari orang yang berpenyakit kusta adalah seumpama engkau lari dari singa.

Oleh itu, antara pengajaran yang kita dapat daripada sumber kenabian dalam isu jangkitan ini ialah: Nabi Muhammad SAW melarang bercampur dengan orang yang benar-benar sakit sehinggalah dalam alam haiwan sekalipun. Ia adalah suruhan yang seumpama kuarantin kesihatan ini, iaitu antara yang sihat dengan yang sakit. Sehingga Nabi berkata:

لَا يُورِدُ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ

Janganlah dicampurkan Mumrid dengan Musihhin.

Al-Mumrid ialah: Pemilik unta yang sakit, manakala Al-Musihhin ialah: pemilik unta yang sihat.

2- Daripada sudut Qawaid al-Fiqhiyyah pula:

أن كلَّ ما تعيَّن طريًقا للسلامة في الحال وسببًا للعافية في المآل فهو واجب شرعًا وعقلًا.

Setiap perkara yang menunjukkan jalan keselamatan pada waktu sekarang dan menjadi sebab kepada kesihatan pada masa akan datang, maka ia menjadi wajib dari sudut agama dan akal.

Oleh itu, kita dapat fahami bahawa wajib bagi sesiapa sahaja yang dijangkiti penyakit berjangkit untuk membuat pengakuan tentang penyakitnya, sehingga dia tidak menyebabkan kemudaratan kepada orang yang sihat. Ia termasuk satu dosa kerana menyebabkan kemudaratan kepada orang lain.

#AlAzharAlSyarif #Azhar #Covi19 #Corona #Virus

Terjemahan oleh: Al-Azhar Al-Syarif Bahasa Malaysia