Fatwa: Kibar Ulama Al-Azhar

Zikir mengingati Allah adalah satu urusan yang terpuji pada setiap waktu dan keadaan, sama ada dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan. Allah menyuruh kita untuk memperbanyakkan mengingati-Nya. Allah berfirman:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللهَ ذِكْرًا كَثِيرًا، وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Wahai orang-orang yang beriman, perbanyakkanlah mengingati Allah serta memujinya pada pagi dan petang! (Surah Al-Ahzab: 41-42)

Tetapi, secara khusus kepada Virus Corona serta luasnya penyebarannya; para pakar perubatan mengatakan virus ini dapat tersebar dengan sebab percampuran dan kesesakan, oleh itu kerajaan-kerajaan dunia telah menetapkan larangan berkumpul.

Demikian juga dihentikan bagi satu tempoh untuk solat Jumaat dan Jemaah. Kerana dengan melakukannya akan menyebabkan pertambahan penyebaran wabak atas isu percampuran dan perkumpulan di satu tempat.

Ia termasuk di dalam isu membawa mudarat kepada diri sendiri dan orang lain.

Sedangkan Allah telah melarang dengan jelas melalui firman-Nya:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Jangan campakkan diri kamu ke dalam lembah kebinasaan!
(Al-Baqarah: 195)

Demikian juga, tiada sebarang suruhan agama untuk berkumpul apabila berlakunya wabak dengan tujuan berdoa dan beristighfar.

Telah berlaku Taun pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab, tetapi beliau tidak menyuruh rakyat berkumpul untuk berdoa, beristighfar dan solat supaya dihilangkan bahaya wabak.

Sesiapa yang mengajak orang untuk berkumpul dengan tujuan doa dan istighfar dalam keadaan wujud kemudaratan yang telah dikenalpasti, maka dia telah berdosa dan menyanggahi syariat Allah.

Apa yang dikehendaki di dalam agama ialah, setiap orang berdoa di rumah mereka dengan merendah diri, merasa hina serta meminta Allah memberikan kesihatan dan mengangkat wabak ini. Akhirnya, ia dapat melindungi diri mereka dan orang ramai daripada bala ini.

#AlAzharAlSyarif
#KesatuanKibarUlama
#Corona

Terjemahan: Al-Azhar Al-Syarif Bahasa Malaysia​